Banjir: Penjawat awam digesa kemuka tuntutan insurans bencana alam – Bernama


Banjir: Penjawat awam digesa kemuka tuntutan insurans bencana alam

2013/12/27 – 18:27:49 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor terdiri daripada penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan, dinasihat mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata tuntutan insurans itu boleh meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya selain kejadian pecah rumah dengan tujuan mencuri semasa kejadian banjir.

Ia turut merangkumi tangki air pecah, kecederaan orang awam atau pihak ketiga akibat kemalangan di dalam rumah, serta perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih kediaman.

Kenyataan itu berkata Bahagian Pinjaman Perumahan berharap mangsa segera mengemukakan tuntutan untuk mempercepatkan proses pembayaran pampasan.

Tuntutan boleh dibuat dengan menghubungi syarikat insurans/takaful yang sedia memberikan perkhidmatan.

Maklumat lanjut boleh dilayari di http://bpp.treasury.gov.my atau menghubungi meja bantuan banjir di talian 03-8880 2121.

– BERNAMA

Gagal selamat anak, bapa pula hanyut – Bernama


Gagal selamat anak, bapa pula hanyut
27 Disember 2013

KOTA KINABALU – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui lemas manakala bapanya masih hilang, dalam kejadian di pantai Kampung Lok Nunuk, Tuaran, dekat sini tengah hari tadi.

Mayat Dickly Mojinis, pelajar tingkatan tiga, ditemui pada pukul 3.25 petang tidak jauh dari lokasi dia dilapor tenggelam ketika mandi bersama-sama anggota keluarganya, kata Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malik.

Menurut Abdul Fuad, usaha mencari dan menyelamat bapa remaja itu, Mojinis Langkum, 40, masih diteruskan.

“Sehingga 5 petang ini, kita masih belum dapat mengesan mangsa yang turut dikhuatiri lemas,” katanya.

Beliau berkata, bapa mangsa dilapor tenggelam ketika cuba menyelamatkan anaknya itu. – Bernama

Kementerian Pendidikan Siap Sedia Hadapi Gelombang Kedua Banjir – mStar


Kementerian Pendidikan Siap Sedia Hadapi Gelombang Kedua Banjir

Oleh L SUGANYA

 

P. Kamalanathan.

 

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan membuat persiapan untuk menyediakan lokasi sementara buat pelajar sekiranya gelombang kedua banjir melanda negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi penerangan kepada para pegawai pendidikan daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlakunya banjir.

“Ini bukan pertama kali kita berhadapan dengan banjir. Ia berlaku setiap tahun tetapi tahun sedikit berbeza kerana kita turut membuat persiapan untuk gelombang kedua.

“Kesemua sekolah terutama yang berhampiran dengan kawasan yang mudah dilanda banjir telah diberikan arahan untuk bersiap-sedia supaya mereka boleh memulakan sesi persekolahan tahun depan dengan selamat,” katanya pada sidang media, Khamis.

Beliau menambah, Kementerian Pendidikan dan MKN serta pihak berkuasa tempatan di ketiga-tiga negeri telah diarahkan untuk menyediakan kemudahan seperti jaket keselamatan dan bot bagi mengelakkan sebarang kesulitan sekiranya berlaku banjir.

Kamalanathan turut berkata bahawa kementerian akan memastikan sesi persekolahan tidak akan terganggu begitu lama.

“Keselamatan para pelajar akan dijamin tetapi ibu bapa mereka dinasihatkan untuk memainkan peranan mereka apabila sekolah dibuka semula.

“Kita sering melihat kanak-kanak bermain dengan air, tetapi dengan keadaan gelombang kedua banjir, ibu bapa dinasihatkan untuk memantau anak-anak mereka semasa dan selepas waktu persekolahan,” katanya.

PMR: 378 dapat semua A – Sinar Harian


PMR: 378 dapat semua A
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Disember 2013

KOTA BHARU – Kesungguhan pelajar, guru, dan ibu bapa antara faktor yang melonjakkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) tahun ini apabila seramai 378 daripada 5,503 pelajar memperoleh semua A dalam sembilan mata pelajaran diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, peningkatan sebanyak 63 orang berbanding tahun lalu itu menunjukkan usaha dan inisiatif dilakukan kerajaan negeri dan seluruh warga sekolah di negeri ini berhasil.

“Pencapaian berdasarkan Tahap Penguasaan Minimum (TPM) iaitu lulus dengan gred A, B, C, dan D dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 64.71 peratus berbanding tahun lalu,” katanya ketika menghadiri Majlis Graduasi Yik di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.

Menurut Dr Mohamad Fadzli, manakala calon yang mendapat 5A hingga 9A meningkat daripada 1331 pelajar tahun lalu kepada 1407 pelajar tahun ini.

“Sebanyak lima sekolah mencapai TPM 100 peratus iaitu daripada Maahad Tahfiz Sains (MTS) Tanah Merah, MTS Bustanul Arifin, Tumpat, MTS Nurul Aman, Kok Lanas MTS Al- Muhammadi Kampung Nipah, Bachok, dan Maahad Muhammadi Perempuan Kota Baharu,” katanya.

Mohamed Fadzli berkata, kecemerlangan pelajar Yik ini juga dapat disaksikan apabila 190 pelajar Maahad Muhammadi Perempuan memperoleh semua A dalam sembilan mata pelajaran diambil.

Begitu juga di MTS Tanah Merah apabila 51 pelajar memperoleh semua A.

Sementara itu katanya, sekolah terbaik bagi Maahad Pilihan disandang Maahad Muhammadi Pasir Pekan dengan 96.67 peratus sebelum diikuti Maahad Amir Indera Petra (89.73 peratus) dan Maahad Ahmadi Tanah Merah (82.56 peratus).

“Manakala sekolah terbaik kategori sekolah bantuan kerajaan milik Sekolah Menengah Agama Arab (SMUA) Syukuriah Lubok Setol dengan capaian 66.67 peratus, selain SMUA Sullamiah Bunut Payong (53.85 peratus dan SMUA Tarbiah Diniah Tok Uban, Pasir Mas (53.06 peratus).

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, Gred Purata Keseluruhan sekolah Yik juga meningkat kepada 2.50 berbanding 2.55 tahun lalu.

Antara mata pelajaran yang diambil pelajar- pelajar sekolah Yik termasuk, Bahasa Melayu, Bahas Inggeris, Bahasa Arab Komunikasi, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu, dan Pendidikan Islam.

Seronok tahap gila – Metro


Seronok tahap gila

Oleh Fazrol Nazir

Kuantan: Tiga lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan empat yang ditahan polis, malam kelmarin kerana melakukan khianat ke atas kenderaan awam termasuk sebuah kereta peronda polis di Teluk Chempedak, di sini, berada di bawah pengaruh alkohol.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, tiga lelaki berusia 16 hingga 23 tahun itu dipercayai mabuk ketika menyembur buih pada kereta yang melalui kawasan berkenaan pada malam sambutan Hari Natal menyebabkan orang ramai menghubungi polis.

“Mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini dan polis sedang mengesan beberapa lagi remaja yang turut terbabit perbuatan itu,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap tiga remaja itu bagaimanapun negatif dadah.

FotoSEKUMPULAN remaja menyembur kenderaan polis di Teluk Chempedak.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan kalau mahu berseronok sekalipun pada musim perayaan, jangan sampai melakukan perbuatan mengganggu orang ramai terutama di tempat awam,” katanya

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Pemakan bangkai sesat masuk rumah – Metro


Pemakan bangkai sesat masuk rumah

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Muar: Seorang guru lelaki sekolah rendah di sini berdepan detik mencemaskan apabila seekor burung hering memasuki pekarangan rumahnya di Taman Seri Aman Sari, Parit Keroma di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari itu, Remy Azman Abdul Rashid, 40, pada mulanya dia menyangka anjing liar dan cuba menghalaunya, namun terkejut apabila melihat ia terbang ke pekarangan rumah.

“Pada mulanya saya ingatkan anjing masuk ke pekarangan rumah saya, namun apabila melihat ia terbang ke dalam rumah, saya dapati ia seekor burung.

“Apabila diamati barulah saya sedar ia sejenis burung hering yang amat jarang ditemui dan pada mulanya saya sekeluarga bercadang menangkap sendiri, namun terpaksa membatalkan hasrat kerana ia bertukar agresif,” katanya.

FotoANGGOTA JPAM memegang burung hering yang ditangkap.

Menurutnya, bimbang kejadian tidak diingini berlaku dia segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Muar untuk mendapatkan bantuan.

Tindakan tegas terhadap pihak naikkan harga alat tulis, buku – Bernama


Tindakan tegas terhadap pihak naikkan harga alat tulis, buku

2013/12/27 – 16:27:47 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia berdepan tindakan tegas di bawah Akta Persaingan 2010 jika menaikkan harga barang sesuka hati.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menegaskan antara tindakan yang boleh dikenakan terhadap persekutuan itu ialah denda, penutupan premis perniagaan selain barang jualan dirampas.

Beliau berkata tindakan itu boleh diambil kerana rancangan persekutuan untuk menaikkan harga barang merupakan aktiviti kartel iaitu bertujuan mengaut keuntungan berlebihan akibat monopoli pasaran.

“Ini satu kesalahan kerana ia perbuatan kartel apabila pengusaha di bawah persekutuan bermuafakat untuk naikkan harga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jualan Kembali ke Sekolah di sebuah pasar raya besar di sini, hari ini.

Hasan berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini yang menyebut pihak persekutuan merancang menaikkan harga alat tulis dan buku antara 20 hingga 30 peratus dalam suku pertama tahun depan.

Presiden persekutuan itu Tey Tong Sing dipetik sebagai berkata kenaikan itu tidak dapat dielak susulan pelaksanaan gaji minimum serta kenaikan kos operasi termasuk pengangkutan dan sewaan premis.

Tey juga mendakwa kadar pertukaran mata wang antara Ringgit dan Yuan Renminbi turut menjadi faktor kenaikan harga barang memandangkan kebanyakan alat tulis serta buku diimport dari China.
Hasan berkata beliau akan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) meneliti semua dakwaan persekutuan terbabit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Mengenai Kempen Jualan Kembali ke Sekolah, Hasan menggesa lebih banyak syarikat peruncitan tampil dan menyertainya kerana ia secara tidak langsung membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi negara.

“Program seumpama ini berkonsepkan menang-menang kerana syarikat mendapat peningkatan jualan, manakala pengguna mendapat lebih banyak pilihan dan penjimatan,” katanya.

Pada majlis itu Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 pelajar kurang bernasib baik di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang.

– BERNAMA