PMR: MMP cipta kejayaan – Sinar Harian


PMR: MMP cipta kejayaan
SAPINAH AB GHANI
22 Disember 2013
  • PMR: MMP cipta kejayaanWajah ceria pelajar cemerlang PMR 2013 MMP sebaik menerima keputusan masing-masing.
< 1 / 1 >

KOTA BHARU – Susulan kejayaan cemerlang 190 pelajar Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) yang memperoleh semua A dalam sembilan mata pelajaran diambil ketika Penilaian Menengah Rendah baru-baru ini, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat rakam tahniah.

Menurutnya, pencapaian cemerlang tersebut membuktikan kejayaan sistem pendidikan berteraskan Islam dan pentadbiran yang Membangun Bersama Islam.

“Alhamdulillah, tahun ini MMP mencapai kelulusan 100 peratus, malah merupakan kejayaan paling cemerlang dalam rekod pencapaian PMR sejak 1999,” katanya dipetik dari laman sosial Facebooknya di sini, semalam.

Sambil berharap agar kecemerlangan itu dapat dikekalkan pada masa akan datang lebih- lebih lagi selepas ia digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun depan, Nik Abdul Aziz berkata, tanpa gandingan mantap semua pihak mungkin kejayaan itu sukar dicapai.

“Tahniah kepada semua yang terlibat termasuk para pentadbir, guru-guru dan ibu bapa serta semua yang terlibat membantu kejayaan pelajar-pelajar di MMP ini,” katanya.

Sementara itu, keputusan PMR yang diumumkan Khamis lalu turut menyaksikan seramai 79 pelajar MMP memperoleh 8A, selain 36 yang lain berjaya meraih 7A.

Difahamkan keputusan PMR tahun ini merupakan pencapaian paling cemerlang MMP berbanding tahun lalu apabila 163 sahaja yang mendapat 9A, dan 165 pada tahun 2011.

MMP merupakan antara sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan, dan kejayaan cemerlang pelajar-pelajarnya antara yang menjadi mencipta rekod dalam sistem pendidikan yayasan berkenaan.

Jaring mayat – Metro


Jaring mayat

Oleh MOHAMAD HAIRI AZMI THAM

Sungai Siput: “Saya terkejut sebaik melihat mayat manusia sudah kembung tersangkut pada jaring di dalam sangkar ikan,” kata Abdul Rahman Abu Bakar, 58, yang menemui mayat remaja, Muhammad Ismail Mazalan, 13, yang hilang selepas lemas sejak petang Khamis lalu.

Dia yang bertugas di Lembaga Koperasi Kospeta Malaysia Berhad menemui mayat remaja itu ketika turun ke sangkar ikan di petak A berhampiran tebing Sungai Perak, Kota Lama Kiridi sini, untuk melakukan pemeriksaan rutin sekitar jam 8.30 pagi semalam.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat satu objek hitam terlekat pada jaring di dalam sangkar ikan itu. Saya kemudian memerhatikannya secara lebih dekat sebelum mendapati ia mayat manusia.

 

“Mayat itu berseluar pendek dan tidak berbaju. Saya yakin mayat itu remaja lelaki yang dicari anggota penyelamat sejak petang Khamis lalu di sepanjang Sungai Perak,” katanya.
Menurutnya, pasukan polis dan bomba kebetulan sedang melakukan tugas mencari mangsa di kawasan berhampiran sangkar ikan itu. “Susulan itu saya segera mengejar mereka dan menjerit memanggil anggota penyelamat bagi memaklumkan penemuan mayat itu,” katanya.
Menurutnya, mayat remaja itu yang terapung di dalam sangkar ikan kemudian dikeluarkan anggota penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk tindakan lanjut.

 

FotoANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat yang tersangkut pada jaring ikan. Gambar kecil Muhammad Ismail.

“Penemuan mayat remaja itu amat mengejutkan dan saya bagai diberi ‘tanda’ awal. Malah saya tidak lena tidur sejak malam kelmarin tanpa sebab. Hati saya kerap teringatkan sangkar ikan seolah-olah ada sesuatu akan berlaku di situ,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput (Utara), Deputi Superintendan Ernest John yang dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi dia terjatuh pada jam 1.30 tengah hari, Khamis lalu.

 

Menurutnya, hujan lebat malam kelmarin di hulu Sungai Perak dipercayai menghanyutkan mayat mangsa ke sangkar ikan berkenaan. “Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian,” katanya.
Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa yang sedang memancing ikan bersama empat rakan lain berhampiran Jambatan Victoria, Karai di sini, dikatakan lemas dan tenggelam ketika cuba mengalihkan kayu besar yang terapung.
Mangsa yang cuba diselamatkan rakan-rakan dikatakan terlepas pautan tangan sebelum dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/22