17 remaja bergaduh ditahan – Sinar Harian


17 remaja bergaduh ditahan
ROSDALILAH ZAHARI
29 Disember 2013
  • Remaja ditahan curi novelAsisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif
< 1 / 1 >

BATU GAJAH – Perang mulut di antara dua individu berlarutan dan menyebabkan dua kumpulan bergaduh hingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian di hadapan sebuah pusat snooker di Taman Baru Pusing, di sini, awal pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ketika kejadian jam 11.30 malam itu, seorang remaja berusia 16 tahun bersama lima rakannya yang berada di pusat snooker berkenaan didatangi seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.

Menurutnya, mereka mula bertengkar dan remaja itu mula tolak menolak dengan lelaki terbabit.

Katanya, lelaki itu tidak berpuas hati dan meminta bantuan rakan-rakannya.

“Berikutan itu, berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan tersebut sehingga mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Shaharon berkata, susulan kejadian tersebut, polis menahan 13 lelaki berusia antara 15 hingga 19 tahun termasuk remaja terbabit di Taman Pusing Mewah di sini.

Katanya, empat lagi lelaki berusia antara 17 hingga 19 tahun termasuk suspek yang dipercayai memulakan pergaduhan ditahan di hadapan pusat snooker di Jalan Pusing.

“Daripada 17 lelaki ditahan, sembilan daripadanya di bawah umur dan mereka semua direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shaharon berkata, 10 orang daripada lelaki yang ditahan mengaku bersalah kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Jumaat lalu.

Katanya, bagaimanapun, mahkamah memerlukan laporan akhlak dari Pegawai Kebajikan Masyarakat memandangkan lima daripada tertuduh adalah remaja bawah umur.

“Berikutan itu, mereka dikenakan ikat jamin RM1,000 bagi tertuduh di bawah umur manakala selebihnya dikenakan wang jaminan RM1,200 dan 10 Februari 2014 ditetapkan untuk sebutan semula kes dan menjatuhkan hukuman,” katanya.

Harga tambang bas sekolah perlu wajar – Sinar Harian


Harga tambang bas sekolah perlu wajar
MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON
29 Disember 2013
  • Harga tambang bas sekolah perlu wajarKhairul Azwan (duduk) menyerahkan baucar peralatan sekolah kepada mangsa banjir sambil di pasaraya Kip Mart, semalam.
< 1 / 1 >

SEGAMAT – Pemuda Umno meminta Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) mengkaji semula hasrat menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40 peratus mulai 1 Januari 2014.

Naib ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, pihak terbabit perlu memberi justifikasi jelas terhadap kenaikan dinyatakan berikutan ia melibatkan peratusan besar dan tinggi.

“Kenaikan tersebut tidak bolehlah sampai 40 peratus, perlu ada kewajaran dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.

“Kita sudah kaji bahawa kenaikan harga minyak berbanding peratusan yang diminta mereka (persatuan bas) adalah sangat tinggi.

“Namun, saya percaya jika kenaikan kos tersebut selari dengan mutu perkhidmatan ditawarkan, kebanyakan pengguna akan setuju. Ini tidak, kos naik, tetapi bas digunakan adalah bas lama dan tiada perubahan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran Bantuan Persekolahan Mangsa Banjir Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di pasaraya Kip Mart Segamat, petang semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat dan Adun Pemanis, Lau Chin Hoon.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat PPPBSM yang mahu menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40 peratus mulai 1 Januari 2014 jika Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mengumumkan kenaikan kadar baharu sehingga hujung tahun ini.

Khairul Azwan berkata, Pemuda Umno turut meminta SPAD mempertimbangkan permohonan PPPBSM kerana tidak mahu tambang bas sekolah yang dinaikkan secara mendadak dan tergesa-gesa membebankan ibu bapa.

Katanya, pihaknya turut menegaskan kenaikan harga tol tidak sepatutnya berlaku terutama di laluan yang menguntungkan syarikat konsesi berkenaan.

“Selain itu, kami turut menentang kenaikan tambang sistem transit aliran ringan (LRT) akibat peningkatan tarif elektrik.

“Sebelum ini telah berlaku kenaikan harga minyak dan kerajaan menasihatkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, sekarang tambang pengangkutan awam pula turut naik.

“Saya sudah cadangkan kepada kerajaan supaya mengecualikan kenaikan taraf elektrik baru kepada pengangkutan awam seperti LRT.

“Pemuda Umno berjuang untuk penyelesaian yang membawa nilai kepada rakyat. Kajian menyeluruh perlu atas setiap perkara ini,” katanya.

Jarang ganti seragam sekolah – Sinar Harian


Jarang ganti seragam sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Disember 2013
  • Jarang ganti seragam sekolahAbdul Latiff menyarungkan pakaian kepada salah seorang pelajar yang terpilih dari Dun Mengkebang.
< 1 / 1 >

KUALA KRAI – Kekangan kewangan menyebabkan seorang ibu tunggal dari Kampung Padang Kebun Pisang, Chenulang, dekat sini, pasrah apabila pakaian seragam sekolah-anaknya jarang diganti baharu.

Sebaliknya, setiap kali menjelang penggal baharu persekolahan, Che Sakinah Saat, 45 akan membasuh pakaian seragam sekolah lama tujuh anaknya dan dia bersyukur apabila mereka seolah-olah faham dengan keadaan yang dilalui.

Menurut Che Sakinah, kesemua anak-anaknya sedar keadaan kewangan keluarga terhad dan mereka tidak merengek untuk mendapatkan seragam sekolah baharu.

“Saya gembira mempunyai anak-anak yang memahami keadaan hidup kami sekeluarga. Tiga anak saya masih di sekolah rendah, tiga di sekolah menengah manakala seorang lagi baru menjejakkan kaki ke alam pendidikan awal.

“Anak-anak sudah biasa dengan situasi ini dan saya bersyukur apabila ada kalanya terdapat pihak tertentu memilih anak-anak saya untuk menerima bantuan persekolahan,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan pakaian sekolah daripada Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman, kelmarin.

Tambah Che Sakinah, walaupun tidak semua anak-anaknya mendapat seragam sekolah baharu, dia tetap gembira kerana sekurang-kurangnya masih ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

Katanya, selain dapat mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan seperti dirinya, bantuan yang diberi sekurang-kurangnya dapat memberi dorongan kepada anak-anak untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

“Saya tidak bekerja dan setiap bulan kami hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Duit itulah saya gunakan untuk persekolahan anak-anak dan juga perbelanjaan harian kami sekeluarga. Kerana itulah saya sangat menghargai setiap sumbangan yang dihulurkan kepada anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban rakyat kurang berkemampuan.

Menurutnya, golongan seperti itu merupakan golongan yang paling merasai kesan setiap kali menjelang penggal baharu persekolahan memandangkan pelbagai persediaan perlu dilakukan termasuk pakaian dan keperluan lain seperti buku latihan, alat tulis dan sebagainya.

Skuad Pengguna Sabah Gesa Peniaga Jangan Naik Harga Alat Tulis Dan Buku – mStar


Skuad Pengguna Sabah Gesa Peniaga Jangan Naik Harga Alat Tulis Dan Buku

KOTA KINABALU: Golongan peniaga alat tulis dan buku di Sabah yang bersepakat menaikkan harga barang keperluan itu akan berdepan tindakan tegas mengikut Akta Persaingan 2010.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda, penutupan premis perniagaan selainbarangan jualan dirampas jika disabitkan kesalahan.

Menegaskan demikian, Pengerusi Skuad Pengguna Sabah Datuk Amisah Yassin berkata para peniaga tidak harus sewenang-wenang menaikkan harga alat tulis dan buku kerana membebankan rakyat terutama ibu bapa apabila barang keperluanm persekolahan dinaikkan.

“Saya minta peniaga alat tulis supaya jangan ambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati mereka. Kalau benar berlaku, kita minta pihak berkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan ahli-ahli Skuad Pengguna seluruh Sabah turun padang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Amisah berkata golongan peniaga sepatutnya bertimbang rasa dan turut samamembantu kerajaan dalam menangani isu itu.

Dalam pada itu, Amisah berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarangaduan berhubung kenaikan harga barangan secara tidak munasabah.-BERNAMA

Tergelincir selepas bermain – Metro


Tergelincir selepas bermain

Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Jertih: Seorang bapa tidak menyangka mimpi anaknya terjatuh ke dalam sungai yang hanya dianggap sebagai mainan tidur menjadi kenyataan apabila anaknya ditemui lemas di Sungai Kampung Bukit Payong, Pasir Akar, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa, Mohammad Alif Haikal Mat Arif, 6, ditemui bapanya, Mat Arif Dollah, 30, bersama penduduk kampung jam 3 petang ketika mencari mangsa yang tidak pulang ke rumahnya selepas keluar bermain jam 11 pagi.
Difahamkan, mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik keluar bermain bersama beberapa rakannya tidak jauh dari rumahnya.

 

Bagaimanapun, selepas satu jam bermain, mangsa yang juga kanak-kanak lembam membuang air besar di dalam semak sebelum rakannya menyuruh dia balik ke rumah.
Mangsa bagaimanapun dipercayai tidak pulang ke rumah sebaliknya singgah di sungai berkenaan untuk membersihkan diri selepas membuang air besar sebelum tergelincir ke dalam sungai itu.
Kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah untuk makan tengah hari menyebabkan bapanya mencari anaknya sebelum menemui basikal arwah di tepi sungai kira-kira 120 meter dari rumahnya.

 

Mat Arif berkata, dia ada bermimpi arwah jatuh ke dalam sungai itu tiga hari sebelum kejadian itu dan mula berasa tidak sedap hati sebaik melihat basikal anaknya di tepi sungai berkenaan sebelum segera mencari anaknya.
“Perasaan curiga sesuatu yang buruk menimpa arwah terjawab apabila arwah ditemui tidak bernyawa tidak lama kemudian.

 

“Siapa sangka mimpi yang disangka mainan tidur itu menjadi kenyataan dengan insiden menimpa arwah,” katanya sambil memaklumkan arwah tidak pandai berenang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah di sebalik kejadian ini dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Koma angkara anjing – Metro


Koma angkara anjing

Oleh NUR IZZATI MOHAMAD

Bukit Mertajam: “Kami langsung tak ingat apa-apa dan hanya rasa sakit sebelum jatuh tidak sedarkan diri,” kata Suhail Zolkifly, 14, dan adiknya Omar, 11 diserang anjing liar ketika bermain sekitar kawasan rumah mereka di Taman Cermai, Permatang Pauh, di sini, Rabu lalu.

Menurut Suhail, dia tidak mampu berbuat apa-apa apabila sekumpulan anjing liar menyerang mereka dan ketika itu hanya berfikir untuk lari menyelamatkan diri bersama adiknya.
“Saya hanya terbayangkan wajah adik namun agak sukar menyelamatkannya kerana kumpulan anjing berkenaan terus mengejar dan menyerang kami berdua menyebabkan kami terjatuh.

 

“Selepas itu, saya langsung tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang berlaku,” katanya yang ditemui di Hospital Pantai dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Rabu lalu, dua beradik berkenaan koma dua hari selepas mengalami retak tempurung kepala serta pendarahan dalam otak kerana tersungkur ketika cuba menyelamatkan diri kerana dikejar dan diserang sekumpulan anjing liar.
Bapa mangsa Zolkifly Md Lazim,50, berkata, ketika kejadian, dia berada di Alor Setar, Kedah kerana urusan kerja sebelum menerima panggilan mengenai kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya itu.

 

FotoKEADAAN Suhail yang dirawat di Hospital Pantai.

“Saya terkejut apabila diberitahu anak koma dan mengalami kecederaan serius di kepala serta tempurung otak retak dan tanpa berlengah saya terus bergegas pulang.
“Saya difahamkan kecederaan itu berlaku akibat kepala anak terhentak di permukaan jalan ketika mereka cuba menyelamatkan diri daripada diserang sekumpulan anjing liar,” katanya.

 

Sehubungan itu, Zolkifly berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih kerap membuat tinjauan di kawasan perumahannya kerana kawasan terbabit dilihat mempunyai banyak anjing.
“Kawasan perumahan ini terlalu banyak anjing bahkan anak saya berumur tujuh tahun pernah mengalami kecederaan kecil kerana diserang anjing baru-baru ini.
“Kali ini terjadi lagi kepada dua anak saya dan berharap PBT berbuat sesuatu terutamanya mewujudkan polisi penjagaan haiwan kepada penduduk yang membela haiwan di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Rozali Mohamod berkata, MPSP kesal dengan kejadian yang menimpa dua kanak-kanak itu yang hampir maut apabila diserang anjing liar.
Menurutnya, berikutan kes itu, satu operasi secara drastik diambil MPSP dengan menangkap anjing liar di kawasan terbabit dan pihaknya berjaya menangkap 10 anjing.
“Kita dapat juga kumpulkan satu pasukan untuk menangani kes ini.
“MPSP kesal dalam kejadian dua kanak-kanak yang cedera akibat dikejar anjing liar ini dan akan terus membuat rondaan untuk menangkap baki anjing yang berkeliaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menangkis dakwaan pihak yang mengatakan MPSP mengabaikan isu anjing liar itu, di sini, semalam.
Operasi penangkapan anjing liar itu diadakan di beberapa lokasi termasuk Taman Himilaya dan persekitaran Pasar Awam Sama Gagah, Permatang Pauh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29