‘Sekolah Dalam Hospital bernas’
Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my
2011/07/23
Kementerian Pelajaran setuju bantu laksana agenda murni: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif Yayasan Nurul Yaqeen menggerakkan program Sekolah Dalam Hospital (SDH) sebagai langkah amat bernas dan tepat pada masanya ketika kerajaan berusaha menjadikan Malaysia tempat tinggal terbaik buat generasi akan datang.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mendapat sokongan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan yang masing-masing menyediakan khidmat berkaitan bagi memastikan agenda berkenaan mencapai kejayaan.
“Untuk merealisasikan idea yang baik, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan bersetuju membantu menggerakkan agenda murni ini,” katanya pada majlis Malam Apresiasi 20 tahun Yayasan Nurul Yaqeen dan pelancaran Projek Hati Nurani, di sini malam tadi.
Projek Hati Nurani adalah program di bawah yayasan berkenaan yang dinaungi isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman.
Satu daripada program utama Yayasan Nurul Yaqeen yang bermatlamat meninggikan taraf pencapaian ekonomi, pendidikan dan kebudayaan adalah pembentukan SDH dengan pelancaran rasminya dijadual disempurnakan 26 Julai ini di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Muhyiddin berkata, selain HKL, dua lagi perintis SDH adalah di Hospital Ampang dan Hospital Serdang dengan segala kelengkapan disediakan Kementerian Kesihatan manakala Kementerian Pelajaran pula membekalkan tenaga guru terlatih.
“Program ini menggunakan sukatan pelajaran sedia ada di peringkat sekolah rendah dan menengah biasa,” katanya yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen.
Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan di atas sokongan semua pihak sejak 20 tahun lalu bagi membolehkan yayasan berkenaan menjalankan program membina modal insan cemerlang dengan menyerlahkan kualiti diri luar biasa.
Program SDH dilaksanakan di bawah dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan tiga hospital dan fasa kedua dijangka diperluaskan ke hospital lain seluruh negara menjelang akhir tahun depan.
Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut menerima sumbangan RM2.15 juta yang didermakan pelbagai pihak, termasuk syarikat korporat bagi membantu menjayakan program dirangka Yayasan Nurul Yaqeen.