‘Saya tak kisah pandangan umum’ – Metro


‘Saya tak kisah pandangan umum’
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

KENANGAN…antara video perkahwinan Syafiq dan Yana dalam YouTube.
PEKAN: Video majlis perkahwinan pengantin muda, Syafiq, 16 dan Yana, 14, yang dipaparkan di YouTube hingga menarik perhatian lebih setengah juta penonton mengejutkan ayah pengantin lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 37.

Man berharap, majlis perkahwinan anaknya itu tidak dijadikan isu kerana berkahwin pada usia muda seakan-akan sudah menjadi tradisi dalam keluarganya.

“Hampir semua ahli keluarga kami, baik di sebelah keluarga saya mahupun isteri menamatkan zaman bujang masing-masing pada usia muda iaitu 14 hingga 19 tahun.

“Saya berkahwin pada usia 19 tahun dan sehingga kini rumah tangga saya bahagia tanpa sebarang masalah, ” katanya ketika dihubungi.

 

Man agak keberatan untuk mengulas lanjut mengenai perkahwinan itu dan enggan membenarkan Harian Metro berjumpa serta menemu bual anak dan menantunya.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/28

Remaja didakwa bunuh ibu angkat – Metro


Remaja didakwa bunuh ibu angkat
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

DIDAKWA…remaja bawah umur (kanan) bersama kakak tirinya dibawa ke mahkamah, semalam.
KLANG: Seorang pelajar berusia 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh ibu angkat berusia 72 tahun dengan cara menekup muka mangsa dengan bantal di Klang dekat sini, dua minggu lalu.

Remaja itu dan pekerja, Zahidah Ahmad, 29, yang memakai baju lokap berwarna ungu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Sepanjang prosiding, remaja itu dilihat mengalirkan air mata, manakala Zahidah kelihatan tenang.

 

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa membunuh Tanziah Zainuddin yang juga guru agama di sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar, Klang jam 5.30 petang pada 14 Julai lalu.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/28

Individu lahir sebelum 1989 perlu saringan hepatitis – Bernama


Individu lahir sebelum 1989 perlu saringan hepatitis
03:39:59 AM Cetak Emel Kawan

Petaling Jaya: Kementerian Kesihatan menasihati rakyat Malaysia, khususnya yang lahir sebelum 1989, agar menjalani saringan penyakit hepatitis.

Ini berikutan, bilangan kes baru terutama Hepatitis B dan C meningkat sekali ganda tahun lalu berbanding 2010, iaitu daripada 640 kes kepada 1,250 kes bagi Hepatitis B dan 724 kepada 1,047 untuk Hepatitis C.

Berikutan itu, orang ramai diminta mengambil kesempatan menjalani saringan percuma yang ditawar 20 hospital kerajaan di seluruh negara sempena kempen Hari Hepatitis Dunia 2012.
Dianggarkan ada tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus daripada mereka berusia 25 hingga 55 tahun” – Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ramai yang berpendapat hepatitis sudah tidak wujud dan tidak mengambil vaksin.

“Dianggarkan ada tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus daripada mereka berusia 25 hingga 55 tahun,” katanya.

Liow berkata, walaupun Malaysia diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencapai matlamat mengawal Hepatitis B menerusi program vaksin untuk kanak-kanak yang dilancar pada 1989, mereka yang lahir sebelum itu mungkin menyumbang kepada peningkatannya sekarang.

Beliau juga bimbang penyakit itu yang lebih mudah dijangkiti berbanding HIV dan dikenal pasti antara penyumbang kepada 1.4 juta penghidap barah hati di negara ini akan menjadi satu epidemik jika tiada tindakan diambil.
“Penyakit maut ini berada di luar radar pengawasan kita buat sekian lama dan diabaikan sekalipun notifikasi jangkitan hepatitis adalah mandatori mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

Kempen yang bermula semalam hingga Ahad di pusat beli-belah One Utama di sini itu bertemakan Its Closer Than You Think, antara lain menumpukan usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap penyakit itu. – BERNAMA

Mayat guru dalam tandas – Berita Harian


Mayat guru dalam tandas
03:22:56 AM Cetak Emel Kawan

Pasir Mas: Kehadiran banyak lalat dan bau busuk dalam tandas di Masjid Kempas, Lati di sini, membawa kepada penemuan mayat guru sekolah agama yang dipercayai meninggal dunia dua hari lalu.

Mohd Khairudin Nordin, (kanan) 55, yang dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, mengajar di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Rantau Panjang, Banggol Kulim dan ditemui dalam keadaan terduduk.

Sebelum itu, seorang bilal yang curiga dengan kehadiran lalat dan bau busuk cuba membuka pintu tandas berkenaan, namun ia berkunci dari dalam sebelum memaklumkan setiausaha masjid dan polis.
Selepas pintu tandas dipecahkan anggota bomba, mereka menemui mayat beliau.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, berkata bilal masuk ke dalam tandas jam 2.50 petang, kelmarin, dan curiga banyak lalat dan bau busuk sebelum memaklumkan kepada polis.

Isteri pertama mangsa, Rahimah Mohd Nor, 56, yang dimaklumkan kejadian itu oleh polis, berkata beliau menyangka suaminya tidak pulang kerana bermalam di rumah madunya.

“Isteri keduanya (madu Rahimah) pula beranggapan suami bermalam di rumah saya, masing-masing beranggapan begitu dan tidak mengesyaki sebarang perkara buruk.
“Kali terakhir saya menemui suami, petang Isnin lalu sebelum berbuka puasa apabila arwah pulang mengambil makanan untuk berbuka di masjid sebelum bermalam di rumah isteri kedua,” katanya.