Remaja lelaki nyaris diculik
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Julai 2012
TUMPAT – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berdepan detik cemas apabila nyaris diculik dua lelaki apabila dia ditarik masuk ke dalam sebuah van ketika melintas jalan untuk ke sekolahnya di Pasir Pekan, kelmarin.
Bagaimanapun pelajar terbabit berjaya melepaskan diri selepas tangan kirinya terlepas daripada pegangan penculik itu.
Kejadian berlaku apabila pelajar terbabit didatangi sebuah van yang bergerak perlahan menghala ke Jambatan Sultan Yahya di sini dalam keadaan mencurigakan lalu menghampirinya.
Ibu mangsa seorang guru sains di sebuah sekolah rendah di sini yang enggan dikenali memberitahu, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.50 petang apabila anaknya berjalan kaki bersendirian untuk melintas jalan di hadapan gerai buger berdekatan dengan stesesen minyak Petronas Pasir Pekan.
“Dia keluar dari rumah berjalan kaki ke sekolahnya di seberang jalan untuk latihan sukan.
“Nasib baik anak saya berjaya melepaskan diri walaupun berlaku tarik menarik antara anak saya dengan salah seorang penculik itu,” katanya.
Menurutnya, selepas tangannya terlepas daripada penculik itu, anaknya terus melarikan diri ke seberang jalan dan terus belari masuk ke kawasan sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima kejadian tersebut.
“Saya nasihatkan kepada pelajar supaya berhati-hati sekiranya didatangi orang yang tidak dikenali, ibu bapa juga perlu mengawasi anak masing- masing untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti ini,” katanya.
Like this:
Like Loading...