Pelajar mengaku sembunyi bayi dalam beg galas hingga mati – Bernama


Pelajar mengaku sembunyi bayi dalam beg galas hingga mati

20:21:10 PM Cetak Emel Kawan

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar berusia 16 tahun yang mengadu sakit perut dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, akhirnya mengaku dia baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayi itu dalam sebuah beg galas.

Beg galas yang mengandungi bayi perempuan yang dilahirkan pada jam 1 pagi Selasa itu kemudian diberi kepada rakan perempuannya tanpa memberitahu isi kandungan beg itu. “Mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dalam beg galas itu apabila doktor yang merawat pelajar terbabit menghubungi rakan pelajar itu dan memintanya membawakan beg berkenaan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan.
Beliau berkata, penipuan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini itu terbongkar pada 6 petang Selasa lalu apabila doktor yang merawatnya mendapati dia baru melahirkan anak.

“Pelajar berusia 16 tahun itu kemudian mengaku kepada doktor itu bahawa dia melahirkan seorang bayi perempuan di asrama sekolahnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat pelajar itu melahirkan bayinya, polis menemui gunting yang dipercayai diguna untuk memotong tali pusat bayi dan dibuang dalam tong sampah.

“Berdasarkan laporan bedah siasat terhadap bayi itu mendapati ada kesan lebam pada kepala dan terdapat air dalam paru-paru serta pendarahan yang teruk,” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. – BERNAMA

Subjek PKRS di sekolah mampu bendung kepincangan sosial remaja – Bernama


Subjek PKRS di sekolah mampu bendung kepincangan sosial remaja

SUNGAI PETANI 5 Julai – Kementerian Pelajaran berharap mata pelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang bakal diperkenalkan kepada pelajar sekolah tidak lama lagi, berupaya membendung dan mengurangkan kepincangan sosial generasi muda.

Timbalan Menterinya, Dr. Puad Zarkashi berkata menurut kajian yang lakukan, ramai remaja di negara ini tidak mengetahui fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan wanita. – BERNAMA

Pendidikan tingkatan enam akan lalui penjenamaan semula: Muhyiddin – Bernama


Pendidikan tingkatan enam akan lalui penjenamaan semula: Muhyiddin
16:41:54 PM Cetak Emel Kawan

YOGYAKARTA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara langkah-langkah yang akan diambil ialah memisahkan pelajar berkenaan dari sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat pengajian khas untuk tingkatan enam. “Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa),” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak semalam kerana menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi menjayakan cadangan itu, pelajar tingkatan enam wajar ditempatkan di pusat-pusat pengajian khas kerana bilangan mereka kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu atau dua kelas di sekolah tertentu.

Tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar matrikulasi di seluruh negara.

Langkah untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar pra universiti.
Umum pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam adalah kesinambungan daripada pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka enam adalah dalam kategori yang berbeza dan lebih matang daripada segi pemikiran, katanya.

Muhyiddin berkata, penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran universiti awam tempatan.

Persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi adalah lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.

Masyarakat, katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya, pencapaian pelajar tingkatan enam malah lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

Sehubungan itu, pelajar lepasan SPM harus juga melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga merupakan antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra universiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester namun secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian mereka enam bulan lebih awal.

Mengulas kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran di kolej matrikulasi, beliau berkata perkara itu akan dikaji oleh Kementerian Pelajaran.

Muhyiddin hari ini berlepas ke Bali untuk meneruskan lawatan enam hari ke Indonesia sejak 3 Julai lalu dalam rangka meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk berbincang dengan Naib Presiden Indonesia Boediono mengenai isu-isu dua hala antara kedua negara, khususnya yang berkaitan dengan tenaga kerja, masalah di kawasan sempadan maritim yang dipertikaikan serta masalah budaya masyarakat. – BERNAMA

PEMAKLUMAN GANGGUAN CAPAIAN PORTAL RASMI SPP


PEMAKLUMAN GANGGUAN CAPAIAN PORTAL RASMI SPP

SPP akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Portal Rasmi SPP pada 6 Julai 2012. Oleh itu, gangguan capaian ke Portal Rasmi SPP akan berlaku pada 6 Julai 2012 mulai jam 8.30 pagi sehingga 7.00 petang. Sebarang kesulitan berhubung ini adalah amat dikesali.
Muat naik pada 5 Julai 2012

Penjara 20 tahun – Metro


Penjara 20 tahun
Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

MELAKA: Padah merogol anak sendiri empat tahun lalu, seorang bapa enam anak dihukum penjara 20 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. Hukuman itu, dijatuhkan Hakim Abu Bakar Katar terhadap tertuduh berusia 39 tahun dari Batu Gajah, Melaka.

Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Dalam perbicaraan bermula 15 Februari lalu, 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan melakukan persetubuhan dengan anaknya berusia 15 tahun tiga bulan di Batu Gajah, Merlimau, Jasin kira-kira jam 1 pagi, 28 Mac 2008.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan ia kesalahan pertamanya.

“Saya mempunyai tanggungan isteri dan anak yang ramai dan selepas dibebaskan, mahu menyara mereka,” katanya.
Bagaimanapun, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan alasan perlakuan itu memberi mudarat kepada mangsa dan tertuduh yang melarikan diri lebih dua tahun selepas laporan dibuat, tidak menunjukkan keinsafannya.

“Kesalahan tertuduh tidak boleh dimaafkan kerana sebagai ketua keluarga, tertuduh sepatutnya menjadi pemimpin dan membimbing keluarga bukannya memperkosa anak sendiri.
“Malah, hukuman berat yang ditetapkan Parlimen dalam jenayah seperti ini menunjukkan hasrat kerajaan melindungi kanak-kanak daripada ahli keluarga yang bersifat kebinatangan,” katanya.
Abu Bakar yang mendengar hujah kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Oktober 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05

3 budak tujuh tahun belasah rakan – Metro


3 budak tujuh tahun belasah rakan
SANTUBONG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di seluruh badan apabila dibelasah tiga kanak-kanak sebaya selepas gagal menyerahkan wang seperti diarahkan dalam kejadian di Kampung Rampangi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk dahi, pipi serta mulut dipercayai dibelasah bertalu-talu tiga kanak-kanak itu.
Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa didatangi ketiga-tiga kanak-kanak terbabit sambil mengugut mangsa menyerahkan wang.

“Bagaimanapun, mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang menyebabkan mereka membelasah mangsa tanpa belas ihsan.
“Dalam keadaan kesakitan, mangsa merayu supaya memberhentikan perbuatan itu namun ketiga-tiga kanak-kanak terbabit tidak mempedulikan rayuan sebalik membelasahnya sehingga berdarah.
“Sebaik melihat mangsa tidak bermaya, ketiga-tiga mereka melarikan diri. Mangsa pulang ke rumah dan memberitahu ibunya mengenai kejadian,” katanya.

Terkejut dengan keadaan mangsa, ibunya berusia 50 tahun membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Santubong pada hari kejadian.
Katanya, kanak-kanak terbabit turut dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan tidak serius.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05

Jangan terlalu ghairah jaguhi isu pendidikan: Raja Muda Perak – Bernama


Jangan terlalu ghairah jaguhi isu pendidikan: Raja Muda Perak
15:20:19 PM Cetak Emel Kawan

SERI MANJUNG: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak terlalu ghairah menjaguhi isu-isu pendidikan sehingga meletakkan masa depan negara berakhir dengan situasi ‘satu negara-pelbagai warga’.

Baginda bertitah agenda pendidikan nasional perlu dicanai untuk mencapai matlamat berjaya menyatukan pelbagai kaum, hidup rukun dalam semangat ‘satu negara-satu warga’, selaras dengan semangat 1Malaysia. “Membina satu warga tidak bermakna menghapuskan mana-mana kaum, tidak bermakna menghapuskan mana-mana budaya, tidak bermakna menghapuskan mana-mana agama, tidak bermakna menghapuskan mana-mana bahasa,” titah baginda ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera di sini hari ini.
Baginda bertitah sekolah perlu menjadi kawasan larangan kepada sebarang unsur politiking kerana peranan sekolah sebagai platform untuk menyatupadukan rakyat adalah satu kewajipan bukan satu opsyen.

Raja Dr Nazrin bertitah sekolah adalah ‘tapak semaian’ memastikan ‘benih-benih’ diberikan ruang untuk dapat ‘tumbuh segar’ dan dilindungi daripada menjadi mangsa kepada eksperimen dan permainan politik.

“Kerana itu semua pihak perlu menghormati batas sempadan penglibatan, perlu menjauhkan diri daripada campur tangan yang keterlaluan, semoga menjamin tidak berlakunya pencerobohan dalam perkara berkaitan sekolah dan pelajaran hingga akibatnya anak-anak di sekolah menjadi mangsa, dan hasrat untuk membina warga
yang bersatu tidak akan tercapai,” titah baginda.
Raja Dr Nazrin bertitah kesemua kumpulan politik tanpa mengira fahaman dan ideologi, pemimpin kaum dan agama serta seluruh rakyat perlu mendukung wawasan perpaduan bersama-sama dan wajib membantu memastikan sistem persekolahan berjaya memenuhi misi membina perpaduan kaum dalam semangat ‘satu negara-satu warga’.

Dalam titah itu baginda turut berkongsi pengalaman semasa melalui alam persekolahan rendah dan menengah rendah di sekolah yang terletak di bawah tadbiran Kementerian Pelajaran.

Baginda bertitah baginda sangat menghargainya kerana membantu baginda memperkayakan nilai sosial dan kemanusiaan di dalam diri selain mengalami suasana harmoni di kalangan murid, guru, tenaga pentadbir dan staf sokongan, merangkumi pengusaha kantin sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Alam persekolahan ketika itu dipenuhi pelbagai aktiviti kokurikulum yang terbuka lagi liberal tanpa mempamerkan sifat dominan mana-mana kaum atau agama, malah memperimbangkan keperluan dan sensitiviti kumpulan etnik dan agama, titah baginda.

Baginda bertitah alam persekolahan semasa itu juga memperlihatkan interaksi harian dialami para pelajar berjaya mengeratkan silaturahim di kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama.

“Demikian mutiara berharga yang pada satu masa dahulu, terdapat di dasar lautan falsafah pendidikan negara. Di mana hilangnya mutiara berharga tersebut? Mengapakah mutiara berharga itu dibenarkan tertimbus?

“Jika ia masih belum hilang, jika ia sekadar tertimbus atau jika ia sekadar di bawa arus politiking yang keterlaluan, maka mutiara berharga itu perlu dikembalikan, supaya kekal berada di dasar sistem persekolahan nasional,” titah baginda.

Pada majlis itu baginda yang turut diiringi Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara turut melawat pameran kreatif hasil pembelajaran murid-murid SK Seri Samudera antaranya dalam mata pelajaran Sains, Kajian Tempatan, Matematik dan Bahasa Inggeris.

SK Seri Samudera yang mempunyai 18 bilik darjah dibina dengan kos RM11.37 juta itu mula dibuka pada 13 Jun tahun lepas dan kini mempunyai 580 murid, 43 guru dan dua kakitangan sokongan. – BERNAMA

Senarai Peminjam Tegar Kementerian Pelajaran Malaysia Sehingga Bulan Jun 2012


Senarai Peminjam Tegar Kementerian Pelajaran Malaysia Sehingga Bulan Jun 2012

Dimaklumkan bahawa dilampirkan senarai Nama Peminjam Tegar Kementerian Pelajaran Malaysia bagi bulan Jun 2012. Peminjam Tegar diminta menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Perjanjian, Bahagian Tajaan Pendidikan, KPM dengan kadar segera untuk rundingan bayaran balik pinjaman.

[Muat turun Senarai Peminjam Tegar]

Sila hubungi:

Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 1, Blok 2251, Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor.
Talian Hotline : 03-8321 7124 atau Faks : 03-8321 7103, Emel : penguatkuasaan@moe.gov.my

Muat turun
Senarai Peminjam Tegar Sehingga Jun 2012