Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun – Bernama


Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun

29 Julai 2012

Kanak-kanak berusia sembilan tahun, Tuan Mohd Hafiz setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup ketika bermain mercun itu di Kampung Kuala Kangkong. – Foto Bernama
Mohd Sohibullah, 27, dipercayai mungkin buta mata di sebelah kirinya, cedera di bahu dan tangan kiri setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup.
ALOR SETAR – Dua cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup di Kampung Kuala Kangkong, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, kanak-kanak terbabit Tuah Mohd Hafiz Mohd Razli, 9, cedera di dahi dan badan sementara jirannya Mohd Sohibollah Saad, 27, cedera di mata, bahu dan tangan kiri.

Mercun bola itu dibeli Mohd Sohibollah di Bazar Ramadan di Tandop dua hari lepas dan merancang untuk bermain bersama Tuah Mohd Hafiz sementara menunggu waktu berbuka puasa, petang semalam.

“Masa kejadian…saya yang pegang mercun dan dia menyalakan api sebelum sumbu mercun tersebut jatuh ke dalam bekas plastik berisi 40 biji mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam semalam.

Katanya, sumbu mercun yang terjatuh dan masih menyala itu tidak sempat dibuang dari bungkusan mercun bola yang berada berdekatan.

Rentetan itu, satu letupan kuat berlaku dan Mohd Hafiz terpelanting dan tidak sedarkan diri, kata Mohd Sohibollah yang bekerja di sebuah syarikat percetakan di sini.

Katanya, panik dengan keadaan yang menimpa Tuah Mohd Hafiz, dia segera mendapatkan bantuan jiran dan kedua-dua mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Simpang Empat sebelum dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Mohd Ghazali berkata Sohibollah telah selesai menjalani pembedahan pada matanya dan kini ditempatkan di wad mata hospital berkenaan.

“Dia ditempatkan di wad itu untuk pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara Tuah Mohd Hafiz yang sebelum ini dirawat di wad Kanak-kanak HSB telah dibenarkan pulang.- Bernama

3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan – Bernama


3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan
16:04:55 PM Cetak Emel Kawan

SEREMBAN: Tiga remaja ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri selepas mereka bertindak cuba melanggar seorang anggota JPJ yang mengadakan sekatan di Jalan Datuk Muda Linggi, di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah, berkata remaja terbabit yang masing-masing berusia 16, 18, dan 19 tahun menaiki dua motosikal jenis Honda EX5 dipercayai bertindak demikian untuk melarikan diri berikutan kedua-dua motosikal yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Bagaimanapun mereka gagal melarikan diri dan ditahan anggota kita yang bertindak cekap.
“Ketiga-tiga remaja itu akan diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam manakala anggota JPJ berusia 30-an yang cuba dilanggar remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Katanya, dalam sekatan yang diadakan sempena Operasi Praperayaan yang bermula jam 8.30 malam itu, 201 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu 49 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal, 32 kepada pemandu kereta dan dua saman terhadap pemandu lori.

“Saman ini dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan merangkumi penggunaan lampu HID,” katanya.
Beliau berkata, 25 motosikal dan sembilan kereta disita selain 110 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1) dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutama membabitkan kesalahan pengubahsuian kenderaan dan tiada cermin sisi.

“Operasi itu yang diadakan serentak oleh JPJ seluruh negara adalah bagi mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal, terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini.

“Sekatan jalan dilakukan kerana kita mahu pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya memandangkan musim perayaan bakal tiba kelak,” katanya. – BERNAMA

Lagu & Lirik Lagu Tema Hari Kebangsaan Yang Ke-55 : Janji Ditepati


Lagu & Lirik Lagu Tema Hari Kebangsaan Yang Ke-55 : Janji Ditepati

Macam malam ikut siang
Macam bulan ikut matahari
1Malaysia terus berjuang
Janji Kita ditepati

Kata Kita dikota
Janji Kita ditepati
Hidup Rakyat Dibela
Masa Depan Diberkati
Janji sudah ditepati
Kini masa balas budi

(Chorus)
Janji siapa? Janji kita
Janji apa? Janji 1Malaysia
Janji siapa? Janji kita
Janji apa? Janji 1Malaysia

Ini janji kita BR1M 1Malaysia
Ini janji 1Malaysia
TR1M 1Malaysia
Kata kita dikota
Kini 1Malaysia
Janji kita ditepati
Kedai 1Malaysia

Lirik: Rais Yatim

Nyanyian oleh: Aye/Jasnie/Arman E-six

Sumber:  Jabatan Penerangan

Kanak-kanak 9 tahun parah terkena mercun bola – Berita Harian


Kanak-kanak 9 tahun parah terkena mercun bola
13:18:08 PM Cetak Emel Kawan

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 27 tahun berisiko buta mata kiri, manakala seorang kanak-kanak sembilan tahun parah di dahi dan badan selepas mercun bola yang dibakar mereka meletup, petang semalam.

Kejadian berlaku di Kampung Kuala Kangkong, dekat Simpang Empat, di sini apabila mercum bola yang dibakar itu tiba-tiba menyambar muka dan badan masing-masing.

Kanak-kanak itu dikenali sebagai Tuan Mohd Hafiz yang terkena serpihan 40 biji bola mercun.

Menara Bestari Net mudahkan penduduk, pelajar akses internet – Sinar Harian


Menara Bestari Net mudahkan penduduk, pelajar akses internet
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012

Zainol (kanan) berbincang dengan Pengerusi PIBG SMKDS mengenai menara Bestari Net.
LANGKAP – Pemasangan menara pemancar telekomunikasi, Menara Bestari Net di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sagor, di sini yang mendapat kelulusan Sirim tidak memberikan kesan jangka panjang dan pendek kepada penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, ada pihak yang mengatakan menara itu akan memberi kesan radiasi dalam jangka masa tertentu tidak berasas.

Menurutnya, setiap menara pemancar itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Sirim sebelum ia didirikan dan syarat yang ketat telah dikenakan oleh Sirim bagi menjamin keselamatan penduduk sekitar.

“Sebenarnya menara yang dipasang itu memberikan kesan radiasi yang lebih rendah berbanding radiasi pada telefon bimbit.

“Kenyataan ini dibuktikan dengan kajian pakar dan menara yang didirikan di kawasan sekolah itu juga tidak mempunyai kesan radiasi yang tinggi seperti yang pernah diwar-warkan oleh pihak tertentu.

Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan pihak terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana ia membuatkan penduduk di kawasan sekitar rasa khuatir dan bimbang tentang keselamatan mereka.

“Kenyataan yang menakut-menakutkan penduduk tidak wajar berlaku. Jika benar ada pihak mahu memainkan isu berkenaan menara ini, mereka sebenarnya menunjukkan tindakan kurang bijak,” katanya.

Zainol berkata, di daerah Hilir Perak sahaja sebanyak 39 buah menara sudah dipasang dan 13 lagi dalam proses termasuk di dalam kawasan SMK Dato’ Sagor yang akan dimanfaat bersama seluruh sekolah di kawasan Langkap.

Beliau difahamkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memanggil pihak sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan juga Persatuan Guru Ibu Bapa (PIBG) bagi menjelaskan isu berkenaan menara pemancar telekomunikasi terbabit.

Katanya, pemasangan ini penting untuk sekolah luar bandar khususnya di Langkap untuk memudahkan mereka mengakses internet dengan lebih sempurna berbanding sebelum ini.

“Menara Bestari Net ini akan memeulakan operasinya tidak lama lagi dan penduduk di sekitar termasuk warga SMK Dato’ Sagor akan menikmati penggunaan internet sempurna,” katanya.

Polis buru dua kanak-kanak – Sinar Harian


Polis buru dua kanak-kanak
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Julai 2012

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba
KUALA PILAH – Dua kanak-kanak antara suspek yang diburu oleh pihak polis selepas melakukan kegiatan samun di Taman Bukit Intan, kelmarin.

Kejadian itu berlaku jam 12.15 tengah hari ketika mangsa seorang wanita Melayu berusia, 48, tinggal sendirian di rumah.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, tiga suspek itu terdiri daripada seorang lelaki berusia 20-an bersama dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 13 tahun.

Menurutnya, suspek lelaki menggunakan parang panjang manakala salah seorang kanak-kanak itu menggunakan parang pendek.

“Ketiga suspek dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu utama kerana tidak berkunci. Mangsa ketika itu sedang menjahit baju di bilik belakang dan tidak perasan suspek masuk ke dalam rumah.

“Dia hanya terkejut apabila suspek memasuki ke dalam bilik belakang dan dua kanak-kanak terus memegang kedua-dua belah tangannya. Manakala lelaki tersebut terus merampas rantai mangsa.

“Namun rentapan itu tidak berjaya mengambil kesemua rantai kerana terputus dua. Suspek berjaya melarikan loket dan sebahagian rantai anggaran RM1,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Jaafar berkata, sejurus itu mangsa yang berjaya meloloskan diri berlari ke arah belakang rumah untuk meminta pertolongan jiran terdekat.

“Apabila suasana menjadi kecoh, ketiga-tiga suspek sudah berada di dalam kereta milik mangsa selepas mengambil kunci kereta jenis Proton Pesona yang tergantung di dinding, namun cubaan itu tidak berjaya apabila terdengar mangsa menjerit meminta tolong.

“Akibat panik, suspek lelaki berpatah balik dan menyerang mangsa dengan cubaan menetak kepala tetapi berjaya ditahan mangsa. Akibatnya, tangan kanan mangsa luka terkena parang. Ketiga-tiga suspek berlari keluar menaiki kereta jenis perodua Myvi berwarna ‘silver’ yang dipercayai kereta curi dari Mantin,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, mangsa hanya mengalami cedera ringan di tangan kanan kerana parang tersebut tumpul.

“Saya menasihatkan kepada suri rumah agar lebih berhati-hati ketika tinggal bersendirian di rumah dan mengunci pintu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terjadi terutama pada musim perayaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan kerana samun bersenjata berkumpulan.

“Sesiapa yang melihat kejadian itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Normanshah Din menerusi talian 019-2096474 ,”katanya.

Pelajar bawa telefon galak kes kecurian – Metro


Pelajar bawa telefon galak kes kecurian
KUALA LUMPUR: Meskipun cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah akan disertakan beberapa syarat jika dikuatkuasakan, ia dikhuatiri tetap mendatangkan implikasi buruk berbanding kebaikan, termasuk kemungkinan melahirkan pesalah juvana.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata telefon bimbit adalah alat komunikasi yang mempunyai nilai pasaran tertentu, sekali gus memberi peluang kepada pelajar memilikinya meskipun ada antara mereka tiada berkemampuan.
“Kita tidak boleh menafikan risiko berlaku kecurian jika pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit. Mungkin ada pelajar berminat terhadap telefon bimbit milik rakan mereka tetapi dia tidak mampu membeli.

“Kecenderungan untuk mereka mencuri lebih tinggi. Guru dan pengurusan sekolah tidak mampu menangani masalah disiplin pelajar yang ketika ini pun dibebani pelbagai kerenah termasuk salah laku, buli dan ponteng.
“Bagi pihak kami, biarlah satu cadangan itu difikirkan secara lebih mendalam dan terperinci bagi mengelak masalah lebih besar,” katanya di sini, semalam.
Lee berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong kelmarin bahawa keputusan mengenai cadangan itu akan dibuat akhir tahun ini sedikit sebanyak melegakan semua pihak.

Terperosok bawah bas – Metro


Terperosok bawah bas
Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: “Saya mengucap dua kalimah syahadah apabila bas berhenti sebelum turun dan mendapati dua orang tersepit dan terperosok di bawah bas,” kata pemandu bas ekspres, Kamarudin Ibrahim, 48, dalam kemalangan ngeri membabitkan kenderaan dipandunya dengan sebuah kereta di Kilometer 37 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Baging, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 pagi, bas ekspres membawa 25 penumpang dipandunya dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu, Kelantan, dirempuh kereta dinaiki dua remaja, menyebabkan kedua-duanya terbunuh di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.
Mayat pemandu Perodua Viva berkenaan, Che Wan Muhammad Hafizuddin Che Wan Abdullah, 17, dari Kampung Titian Berayung, Kijal, Terengganu hanya dapat dikeluarkan empat jam selepas kejadian apabila tersepit di bawah enjin keretanya yang tercabut yang terperosok di bahagian depan bawah bas.

Seorang lagi mangsa, Mohd Shafawie Ismail, 16, dari Kampung Penunjuk Kijal, Kemaman, Terengganu, tersepit di tempat duduk bahagian depan yang juga terperosok di bawah bas berkenaan.
Kamarudin ketika ditemui berkata, dia bertolak dari Terminal Makmur, di sini, pada jam 1 pagi, namun ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba dia perasan sebuah kenderaan terbabas ke laluan bertentangan dipercayai mengelak lopak air sebelum merempuh bas ekspres dipandunya.
“Pada mulanya saya sangka kenderaan itu adalah motosikal kerana hanya sebelah lampu menyala… lampu sebelah kanan.

“Saya sedaya upaya mengelak dengan memulas stereng bas ke kiri jalan, namun tidak berdaya kerana ‘motosikal’ itu meluru laju dan terus merempuh saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, pagi semalam.
Katanya, akibat rempuhan kuat itu, kereta berkenaan terseret di bawah bas kira-kira 20 meter sebelum kedua-dua kenderaan berhenti di pembahagi jalan.

“Ketika rempuhan itu, saya sekuat hati berpaut pada stereng bas dan sehabis kudrat menekan brek untuk memberhentikan kenderaan.
“Jika tidak memegang kuat stereng, saya kemungkinan besar akan tercampak ke depan memandangkan cermin bas juga pecah,” katanya yang tinggal di Cenderawasih, di sini.
Bapa tiga anak itu berkata, selama 14 tahun pengalamannya memandu bas ekspres, itu kejadian pertama menimpanya.
“Sebelum bertolak saya memang sudah rasa tidak sedap hati ketika berbuka bersama keluarga di rumah.
“Biasanya, saya akan menjamah nasi ketika berbuka namun tidak berbuat demikian petang semalam (kelmarin) menyebabkan isteri menegur.
“Saya hanya minum air dan termenung sebelum menunaikan solat Maghrib dan makan sedikit nasi selepas itu,” katanya yang bersyukur kerana terselamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuantan terbabas ke laluan bertentangan selepas mengelak lopak air.

Kurang ajar! – Metro


Kurang ajar!
Laporan dan foto FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my

TANGKAK: Kurang ajar dan tidak menghormati sensitiviti agama! Itulah dilakukan pengurusan sebuah pusat tuisyen di sini, apabila menggunakan pelbagai karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam nota ringkas subjek Sejarah yang diajar kepada pelajarnya.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, dalam nota itu ada 16 sahabat nabi yang disamakan dengan karikatur dan mencerminkan perwatakan tidak baik.
Katanya, nota tingkatan empat, bab lima, Kerajaan Islam di Madinah memaparkan karikatur 16 sahabat nabi dan paling menyedihkan, watak Zubir Al-Awwam disamakan dengan haiwan berwajah khinzir.

“Lebih biadab apabila menantu Rasulullah iaitu Saidina Uthman Affan dihina dengan karikatur dan digambarkan sebagai lelaki kaki perempuan serta menghina institusi perkahwinan umat Islam.
“Gambaran dilakukan guru sejarah pusat tuisyen itu boleh menimbulkan kemarahan orang Islam kerana rasa terhina atas perbuatan yang dianggap melampaui batas itu.
“Zubir Al-Awwam antara 10 sahabat nabi yang dijamin masuk syurga dan pengiktirafan itu menggambarkan kedudukan tinggi Zubir Al-Awwan di sisi Allah.

“Jadi, adalah tidak wajar sahabat nabi itu digambarkan dengan karikatur haiwan haram berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Daerah, di sini, semalam.
Menurutnya, pejabatnya menerima aduan berbentuk nota yang diserahkan oleh seorang lelaki pada 4 Julai lalu.

Katanya, nota itu ditemui di tepi longkang sebuah sekolah menengah di Tangkak oleh pelajar sekolah itu.
“Ia kemudian diserahkan kepada guru agama sekolah berkenaan sebelum diserahkan kepada anggota kami.
“Berikutan penemuan itu, kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang pada 26 Julai lalu dan mahu polis mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Selain itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas.
Katanya, sebagai pusat tuisyen yang bertanggungjawab, pengurusan premis itu perlu meminta maaf secara terbuka kerana perbuatan itu menyinggung umat Islam negara ini.
“Kami bimbang perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang mempermainkan agama Islam menjadi serius.
“Ini nota yang kita jumpa, yang kita tidak jumpa mungkin lebih teruk lagi. Mungkin mereka melukis karikatur yang lebih teruk.
“Secara peribadi, saya sedih dan marah kerana tindakan menghina sahabat nabi sama seperti menghina Rasulullah.
“Ini kerana mereka (sahabat nabi) adalah pejuang Islam yang mendapat gelaran Radhiallahu ‘anhu yang dijamin syurga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Pelajar Tipu Keluarga Minta Kononnya Diculik & Wang Tebusan RM8,000 – Polis – Bernama


Pelajar Tipu Keluarga Minta Kononnya Diculik & Wang Tebusan RM8,000 – Polis
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Dua sekolah menengah di sini sanggup menipu keluarganya dengan mendakwa dia diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM8,000, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata pelajar lelaki berkenaan berbuat demikian setelah merajuk dan berang dengan bapanya yang melarang dia menggunakan motosikal bapanya.

Katanya pelajar berkenaan bertindak meninggalkan rumahnya di Kampung Machang Lada di Marang pada kira-kira pukul 9 pagi, Selasa lepas dengan menggunakan basikal.

“Namun selepas menunggu sehingga ke malam, anaknya tidak juga pulang ke rumah, bapa pelajar itu yang bekerja sebagai tukang besi membuat laporan polis kira-kira pukul 11 malam hari yang sama,” katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, keesokkan harinya bapa pelajar itu menerima panggilan daripada seorang individu yang tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak RM8,000 untuk membebaskan anaknya, katanya. Katanya lelaki yang bercakap menggunakan dialek tempatan itu meminta tukang besi tersebut meletakkan wang berkenaan di belakang sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Ibai, di sini hari berikutnya.

Pada keesokkan harinya tukang besi berkenaan sekali lagi menerima panggilan daripada orang yang sama memberitahu anaknya akan dikembalikan selepas menerima wang tebusan.

“Bagaimanapun, apabila bapanya melakukan apa yang diarahkan, penculik mahupun anaknya tidak juga kelihatan,” katanya.

Manoharan berkata bimbang dengan keadaan itu, bapa pelajar itu bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan Kuala Ibai dan menemui anaknya kira-kira 5 petang semalam sedang berjalan dengan seorang rakan di hadapan sebuah pasar raya.

Katanya pelajar berkenaan dan rakannya yang berumur 14 tahun kini ditahan reman sehingga Selasa ini untuk siasatan.-BERNAMA