Tawaran “one-off” kepada pelajar India penuhi kekosongan tempat matrikulasi – Bernama


Tawaran “one-off” kepada pelajar India penuhi kekosongan tempat matrikulasi

KUALA LUMPUR 2 Julai – Kementerian Pelajaran akan membuat tawaran secara “one-off” atau sekali sahaja kepada 557 pelajar kaum India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak bagi memenuhi kekosongan tempat untuk mengikuti kursus matrikulasi sesi akademik 2012/2013.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu dibuat kepada para pelajar untuk sesi ambilan ketiga dan akan ditempatkan di 13 buah kolej matrikulasi kerajaan di seluruh negara.

Pelajar-pelajar yang layak akan menerima surat tawaran secara manual yang akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 11 Julai dan mereka perlu mendaftarkan diri pada 18 Julai, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA

 

Kementerian kesal, projek sekolah gagal siap ikut jadual – Bernama


Kementerian kesal, projek sekolah gagal siap ikut jadual

2 Julai 2012
MIRI – Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi hari ini meluahkan rasa kesal kerana pembinaan blok baharu dan surau Sekolah Menengah Sains (SMS) Miri gagal disiap mengikut jadual.

Katanya projek tersebut sepatutnya siap dua bulan lepas, namun agensi pelaksana projek gagal berbuat demikian dengan pelbagai alasan termasuk kekurangan pekerja.

“Saya dah empat kali buat lawatan ke sekolah ini dan kali terakhir Januari lepas. Saya harap projek ini tidak dikategori projek sakit kelak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek, di sini hari ini.

Pembinaan blok baharu dan surau SMS Miri bernilai RM10.9 juta itu bermula November lepas setelah cadangan memindahkan guru dan pelajar dari sekolah itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar dibatal, susulan bantahan banyak pihak kerana kedudukan SMK Tinjar yang terletak 120 km dari Miri selain hanya boleh dicapai dengan kenderaan pacuan empat roda.

Isu itu turut dibawa ke Parlimen untuk kajian semula dan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Mengenai isu lain, Mohd Puad berkata kementerian itu akan memperuntukkan RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan Sayed Othman bagi mengatasi masalah anai-anai.

Katanya peruntukan itu adalah penyelesaian sementara bagi sekolah yang terletak di tengah bandar raya Miri tersebut sebelum cadangan menaik taraf blok sedia dipertimbang.

Beliau berkata kerajaan pusat telah memperuntukkan RM125.8 juta kepada Sarawak untuk melaksanakan 553 projek di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) yang bermula bulan ini dengan jangkaan siap dari hujung tahun ini sehingga 2014.

Mohd Puad berkata secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM900 juta untuk semua sekolah di negara ini menerusi PRK. – Bernama

Terengganu terima RM8.88j bagi projek naik taraf kemudahan sekolah – Bernama


Terengganu terima RM8.88j bagi projek naik taraf kemudahan sekolah

2 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pelajaran memperuntuk RM8.88 juta bagi dua projek iaitu penyelenggaraan sekolah serta menaiktaraf surau sekolah di negeri ini pada tahun ini.

Peruntukan ini adalah di bawah Projek Transformasi Luar Bandar bagi Pakej Rancangan Khas (PRK).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata bagi projek penyelenggaraan sekolah, ia melibatkan 49 sekolah dengan kos RM4.9 juta manakala projek penyelenggaraan serta menaiktaraf 51 buah surau sekolah melibatkan RM3.98 juta.

“Majlis hari ini adalah bagi program penyelenggaraan dan ubahsuai/naiktaraf surau sahaja melibatkan 40 buah sekolah dengan peruntukan RM2.488 juta.

“Tiga buah surau di bawah program itu dengan peruntukan RM177,848 masih belum dikeluarkan waran buat masa ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan inden projek transformasi dan naiktaraf surau sekolah luar bandar kepada kontraktor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kontraktor yang mendapat projek menaiktaraf surau sekolah-sekolah berkenaan supaya menjalankan tanggungjawab menyiapkannya dengan amanah dan sempurna mengikut masa ditetapkan.

“Kita tidak mahu kontraktor yang mendapat projek, membuat kerja sambil lewa sehingga projek yang diserahkan kepada mereka tidak siap atau terabai begitu sahaja sehingga merugikan banyak pihak,” katanya. – Bernama

Hati-hati golongan muda, diabetes tidak kenal usia – Bernama


Hati-hati golongan muda, diabetes tidak kenal usia

2 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Semasa bertatih-tatih, Nursyahirah Samsuri menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya, apa tidaknya, kerana mempunyai pipi yang gebu dan badan yang montel.

Bagaimanapun, apabila meningkat usia 18 tahun lain pula ceritanya. Berat badannya semakin bertambah terutama pada tempoh tiga tahun kebelakangan ini daripada 50 kilogram, meningkat kepada 80 kilogram sekarang ini.

Beliau terus dirundung masalah. Hasil ujian ‘Impact Glucose Test Tolerance (IGTT)’ baru- baru ini mendapati beliau berhadapan dengan peringkat pra diabetes iaitu gula dalam darah lebih tinggi daripada normal dan berisiko menghidap diabetes jika tidak dikawal dan dirawat.

Gaya Hidup Kurang Sihat

Nursyahirah, anak bongsu daripada dua beradik, langsung tidak mengetahui risiko penyakit diabetes yang dihadapinya lantaran tidak ada sebarang tanda.

Beliau berasa kesihatannya sentiasa berada pada tahap yang cukup baik.

Beliau hanya mengetahui mengenainya ketika membuat pemeriksaan kesihatan untuk kemasukan ke sebuah pusat pengajian tinggi awam baru-baru ini.

Hasilnya, doktor mengesahkan kandungan gula dalam darahnya sangat tinggi iaitu 16. Selain itu warna kencingnya tidak normal dan dikhuatiri ia turut memberi kesan kepada buah pinggangnya.

Bapanya, Samsuri Husin mengakui Nursyahirah kurang mengambil berat soal pemakanannya dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Aktiviti hariannya ialah menonton drama bersiri Korea hingga sanggup menghabiskan masa seharian di hadapan kaca televisyen.

“Masa menonton itu, makanan ringan dan minuman bergas sentiasa ada di sebelah untuk menemaninya,” katanya.

“Dia kurang makan nasi, tapi banyak makan pizza, makanan segera dan ringan. Selain itu, beliau jarang bersenam atau melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh,” katanya.

Kini Nursyahirah terpaksa melakukan pemeriksaan rutin di hospital untuk memastikan kandungan gula dalam badannya sentiasa terkawal terutama bagi memastikan buah pinggangnya tidak rosak.

Golongan Muda

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Diabetes Negara (NADI) Datuk Prof Emeritus Mustaffa Embong, peningkatan mereka yang menghidap diabetes bukan sahaja di kalangan dewasa malahan golongan muda.

Ramai di kalangan mereka yang berumur 18 hingga 45 tahun tidak sedar yang mereka menghidap diabetes sehinggalah berhadapan dengan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, rabun, masalah jantung atau sehingga anggota badan perlu dipotong.

“Kanak-kanak seawal empat tahun pernah dikesan menghidap penyakit ini. Ada kes kanak-kanak berusia enam tahun menghidap diabetes Type 2, malah ada juga yang baru lahir dengan masalah sama yang mereka mewarisi daripada ibu yang

Beliau berkata lebih membimbangkan apabila ramai di kalangan pesakit muda yang menghidap diabetes Type 2, yang biasanya berlaku kepada golongan dewasa.

Ini kerana mereka tidak merasai tanda-tanda kewujudan penyakit itu.

Punca masalah

“Banyak puncanya, ada yang diturunkan daripada ibu ketika mengandung. Bila lahir anak saiz besar, kita anggap anak itu comel sebab nampak gemuk dan sihat.

“Sedangkan kanak-kanak dengan masalah obesiti berisiko tinggi mendapat diabetes kerana kebiasaannya susah nak turunkan berat badan mereka. Ia dibawa hingga dewasa, ditambah dengan gaya hidup masa kini yang kurang bersenam dan pemakanan tidak seimbang, meningkatkan lagi risiko untuk mendapat diabetes,” katanya.

Jumlah pesakit diabetes, termasuk wanita mengandung, disebabkan faktor keturunan dan obesiti meningkat sebanyak 25 hingga 30 peratus dan yang paling membimbangkan mereka tidak mengetahuinya sehinggalah menghidap pelbagai penyakit.

Ibu bapa sekarang merasa bersalah sekiranya anak mereka kurang makan hingga mereka bertindak memberi makan secara berlebihan daripada apa yang diperlukan oleh badan.

“Saya perhatikan sikap ibu bapa sekarang juga kurang membenarkan anak melakukan aktiviti luar, bermain di padang permainan, berlari mengeluarkan peluh, terutama yang tinggal di kawasan bandar.

“Mereka lebih suka, anak duduk di rumah menonton televisyen atau bermain ‘game’ dan makan,” katanya.

Lakukan Pemeriksaan Awal

Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia kini menduduki tangga pertama di rantau Asia dalam bilangan pesakit diabetes dan tersenarai di tangga ke-10 dunia bagi penyakit itu selepas Asia Barat dan Asia Pasifik.

Mengikut rekod, terdapat 2.6 juta pesakit diebetis berusia lebih 30 tahun. Daripada jumlah ini, separuh atau 1.3 juta tidak sedar mereka mempunyai diabetes.

Sejak 26 tahun lepas, pesakit diabetes di negara ini meningkat ketara iaitu 6.3 peratus pada tahun 1986, 8.3 peratus pada 1996, 14.9 peratus tahun 2006 dan 18 peratus tahun lepas.

Angka ini amat menakutkan kerana jumlah itu meningkat setiap tahun kerana kebanyakannya lambat melakukan pemeriksaan dan mendapat rawatan.

Mustaffa berkata ramai yang tidak melakukan pemeriksaan gula dalam darah selain enggan menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup mereka.

“Ramai yang tahu tentang penyakit diabetes, risiko yang bakal dihadapi, namun untuk mempraktikkan langkah-langkah pencegahan itu amat sukar. Masalah sikap ini menyebabkan mereka, terutama di kalangan orang Melayu, menyerahkan kepada takdir apabila mendapat penyakit itu.

“Kerana itu mereka tidak ambil kisah akan penyakit itu walaupun tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti obesiti dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes,” katanya dan menambah kata wanita terutama suri rumah adalah golongan paling tinggi menghidap diabetes berbanding lelaki.

Beliau menyarankan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa aktif, menjaga pemakanan dengan memakan apa yang diperlukan oleh badan sahaja serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Pemeriksaan Percuma

Menyedari ramai rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah obesiti dan diabetes, pusat perubatan Tropicana Medical Centre (TMC) mengadakan program LEAP ‘Living Everyday Actively & Progressively” (Hidup Setiap Hari dengan Aktif dan Progresif) bagi tempoh satu tahun.

Ia memberi fokus kepada empat aspek iaitu mengambil pemakanan seimbang, melakukan aktiviti dan senaman, tidur yang mencukupi dan sentiasa mengawal emosi agar tidak tertekan bagi menjalani kehidupan yang sihat.

Penting untuk setiap rakyat Malaysia mengetahui awal tanda-tanda mereka mengalami obesiti dan diabetes yang menjadi masalah kesihatan utama masyarakat hari ini, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Erica Lim.

Melalui program LEAP, pemeriksaan percuma kandungan gula dan obesiti disediakan kepada orang ramai yang menyertai setiap program yang dianjurkan.

“Selain itu nasihat pemakanan seimbang bagi mengawal obesiti turut diberikan oleh pakar nutrisi serta baucar bagi mengajak rakyat Malaysia melakukan senaman di gim Fitness First turut disediakan,” katanya dan menambah kata pengacara televisyen terkenal, Jojo Struys telah dilantik sebagai duta program LEAP. – Bernama

IPGM Terengganu anjur Bicara Tokoh Datuk Razali Ismail – Bernama


IPGM Terengganu anjur Bicara Tokoh Datuk Razali Ismail

2 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail akan menganjurkan Program Bicara Tokoh Allahyarham Datuk Razali Ismail di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, esok.

Setiausaha program Zahar Ibrahim berkata usaha itu sebagai penghargaan kepada bekas timbalan menteri pelajaran tersebut selain mahu masyarakat mencontohi ketokohan Razali dalam memimpin bidang pendidikan.

“Pada program itu nanti tiga panel yang merupakan orang paling dekat dengan Allahyarham dijemput iaitu anak sulungnya, Mohd Norazli, bekas setiausaha sulitnya, Wan Hashim Mohd dan S.M. Nor yang merupakan sahabat Allahyarham sejak kecil.

“Ketiga-tiga panel tersebut akan membicarakan pelbagai aspek mengenai ketokohan sebagai seorang bapa, penjawat awam dan politik serta seorang rakan yang amat baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga merupakan bekas pelajar Allahyarham akan menjadi moderator program.

Katanya program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri itu akan dirasmi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Kira-kira 2,000 orang dijangka menyertai program tersebut merangkumi golongan pendidik, pensyarah dan guru pelatih serta bekas pengarah IPGM wilayah Timur.

Allahyarham Razali yang berasal dari Hulu Terengganu merupakan bekas pengarah IPGM kampus itu sebelum dipilih menjadi Anggota Parlimen Kuala Terengganu, dan dianggap arkitek pendidikan di negeri ini.

Razali meninggal dunia pada 28 November 2008 ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. -Bernama

Guru juara timang bola – Metro


Guru juara timang bola
GEORGETOWN: “Terima kasih kepada Harian Metro kerana menyediakan program seperti ini, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai khususnya pembaca menyertainya,” kata J Mahendran, 33, seorang peserta pertandingan menimang bola yang dibawa khas Skuad Sorak Goool Cruiser Harian Metro di Restoran Nasi Kandar Nashmir, Jelutong, kelmarin.

Dalam pertandingan berkenaan, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Georgetown itu berjaya menimang bola 21 kali, sekali gus menerima hadiah sagu hati daripada penaja.
Mahendran antara salah seorang daripada puluhan orang ramai yang menyertai pertandingan itu, sekali gus menceriakan suasana di restoran dikunjungi.

Selain menimang bola, pelanggan juga turut menerima hadiah daripada Skuad Sorak Goool Cruiser Harian Metro dengan menjawab beberapa soalan mudah. Di samping itu, pelanggan yang menikmati maggi turut menerima hadiah daripada penaja.
Cheah Siew Sean, 24, berkata, dia terkejut apabila didatangi ahli skuad berkenaan yang mahu memberi hadiah melalui pertandingan menimang bola. Katanya, meskipun tidak berjaya menimbang lebih 20 kali, dia gembira kerana turut mendapat hadiah daripada pasukan itu.
“Saya terkejut apabila ahli skuad ini mempelawa saya menyertai pertandingan ini (menimang bola). Memang saya tak mahir, tetapi saya cuba juga dan ia menyeronokkan. Program ini sangat menarik dan memeriahkan suasana,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan pasukan USM FC, Mohd Fahmi Mohd Yusoff, 28, berkata, Harian Metro bijak memikat pembaca setianya dengan mengadakan pelbagai acara menarik di samping memberi hadiah kepada orang ramai.
“Saya juga mendapat hadiah daripada Maggi apabila menikmati hidangan Maggi. Terima kasih kepada Harian Metro dan penaja yang menyediakan program seperti ini,” katanya.

‘Ikut jejak’ pak cik – etro


‘Ikut jejak’ pak cik
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

IPOH: “Kami sekeluarga tidak menyangka lombong berkenaan kembali ‘meragut’ nyawa seorang lagi ahli keluarga kami dalam tempoh lapan tahun,” kata Normaskana Husain, 37, ibu saudara Muhammad Hanafi Radzi, 10, mangsa lemas di lombong bijih tinggal di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.25 malam di Kampung Seri Rahmat, Pasir Puteh itu, mayat mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Puteh ditemui terapung di permukaan lombong oleh pekerja warga Bangladesh yang kebetulan berada di situ.
Sekitar lapan tahun lalu, bapa saudara arwah turut lemas di lombong sama dipercayai tergelincir ketika memancing, malah beberapa nyawa lain turut melayang di lombong berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Normaskana ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) malam kelmarin berkata, dia tidak percaya arwah sanggup ke lombong itu kerana sepanjang pengetahuannya, mangsa tidak pernah mendekati kawasan lombong itu apatah lagi mandi di situ.
Katanya, dia dan ibu arwah, Siti Fatimah Husain, 29, sering menasihatkan arwah supaya tidak mendekati lombong berkenaan selepas kejadian lemas menimpa bapa saudara mereka pada 2005.
“Arwah tidak pernah mendekati kawasan lombong itu sejak kecil biarpun jaraknya dengan rumah kurang 200 meter. Sebelum kejadian, arwah bersama saya ketika menghadiri kenduri tahlil di rumah jiran berdekatan sebelum dia menghilangkan diri jam 5 petang. “Selepas menyedari kehilangan arwah, saya bersama abangnya, Norfitri, 12, keluar mencarinya merata tempat termasuk di padang permainan dan kafe siber, namun gagal menjejakinya sebelum didatangi rakan sekolah arwah yang memaklumkan arwah lemas di lombong,” katanya.

Katanya, dia terus bergegas ke lombong itu sebelum mendapati arwah sudah kaku di tepi lombong sejurus dijumpai pekerja warga Bangladesh berkenaan. Normaskana berkata, dia hairan kerana hanya menemui pakaian dan basikal mangsa di tepi lombong sedangkan rakannya yang lain turut mandi di lombong sama.
Katanya, dia percaya rakan arwah meninggalkannya sejurus melihatnya terkapai-kapai lemas di lombong berkenaan sebelum lemas. “Saya rapat dengannya sejak bayi selepas ibu bapanya bercerai, 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, usaha menemu ramah Siti Fatimah gagal kerana dia terlalu sedih dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.30 malam.
Katanya, sejurus tiba, anggotanya mendapati mangsa meninggal dunia, malah mayatnya sudah dibawa naik ke daratan oleh pekerja warga asing yang bekerja di projek perumahan berhampiran.
“Mayat mangsa dibawa ke HRPB untuk bedah siasat,” katanya.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh pagi semalam.

Kanak-kanak mati lemas di lombong – Bernama


Kanak-kanak mati lemas di lombong

IPOH 1 Julai – Seorang kanak-kanak mati lemas ketika mandi di sebuah lombong tinggal di Taman Shatin Baru, Pasir Puteh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mayat Mohamad Hanafi Radzi, 10, ditemui di dasar lombong berkenaan oleh orang ramai pada pukul 7.15 malam.

Murid Sekolah Kebangsaan Pasir Putih itu dikatakan pergi ke lombong berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya bersama rakan-rakannya pada pukul 5 petang.

Beliau berkata, ketika mereka sedang mandi, Mohamad Hanafi dikatakan tiba-tiba gagal berenang lalu tenggelam.

Rakan-rakannya yang panik dengan kejadian itu segera meminta bantuan orang ramai yang berada di kawasan lombong berkenaan, namun mereka gagal menyelamatkan mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui di dasar lombong dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Mayat mangsa dituntut oleh keluarganya malam tadi untuk dikebumikan. – BERNAMA

PM ketengahkan ciri perlu ada dalam perkhidmatan awam – Bernama


PM ketengahkan ciri perlu ada dalam perkhidmatan awam
11:40:31 AM Cetak Emel Kawan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian.

Beliau berkata, sikap ini pula perlu disokong dengan satu lagi akronim – PCI – ‘Productivity, Creativity an Inovation’, supaya perkhidmatan awam tidak dilihat bagai sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian, atau selesa dengan “business as usual”. Katanya, sektor perkhidmatan awam perlu terus berusaha gigih secara terancang untuk meningkatkan prestasi supaya rakyat berasakan kerajaan dan perkhidmatan awamnya sentiasa dapat memberi kepuasan yang kian meningkat kepada masyarakat.
“Dua akronim ini mencerminkan proses pembaharuan yang perlu kita lakukan, yang lebih inovatif, yang kita inginkan sebagai sebuah perkidmatan kerajaan yang sentiasa mencari idea-idea baru yang lebih bernas untuk rakyat,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Dalam memberi contoh kejayaan PCI ini, Najib merujuk kepada kejayaan kerajaan mewujudkan ‘Urban Transformation Centre’ di Melaka baru-baru ini, yang menurutnya dapat dibangun dengan pantas sekali.

Beliau berkata, ia adalah satu pembaharuan yang ketara apabila badan-badan kerajaan pusat dan juga negeri dapat dihimpun di bawah satu bumbung bagi memudahkan orang ramai berurusan.

Katanya, menerusi usaha itu, orang ramai boleh membuat pelbagai urusan, seperti membayar zakat, cukai, tukar MyKad, urusan pasport, bayar saman dan sebagainya di satu kawasan sahaja.
“Tempoh waktu pejabat ialah antara 8.30 pagi dan 10 malam tiap hari. Ini satu pembaharuan mungkin tidak ada negara lain di dunia yang ada perkhidmatan sebegini, yang mampu kita sediakan untuk memberi kepuasan dan keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri yang memang dikenali ramai sebagai peminat bola seterusnya memberi contoh kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2012 menumpaskan Itali 4-0 awal pagi ini, dicapai apabila pasukan itu menampilkan pendekatan baru dengan beraksi tanpa pemain penyerang, sebaliknya bergantung kepada enam pemain tengah untuk menjaringkan gol.

“Ia adalah satu bentuk formatsi yang ‘unconventional’, ‘untested’, tapi akhirnya berjaya menjadikan dia (Sepanyol) sebagai juara Eropah. Sebagai sebuah kerajaan juga kita sentiasa mencari idea-idea yang ada kelainan,’ katanya.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri atas kejayaan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), apabila badan dunia itu memberikan anugerah ‘United Nations Public Service Awards’ (UNPSA) 2012, kepada usaha ICU dalam membasmi kemiskinan.

Beliau berkata, anugerah itu pengiktirafan ke atas inisiatif ICU membangunkan sistem e-Kasih, yang diberikan di bawah kategori ‘Advancing Knowledge Management in Government’.

Katanya, anugerah itu adalah satu kebanggaan kepada perkhidmatan awam dan kerajaan, walaupun semasa ada pihak-pihak tertentu yang cuba menafikan apa jua kejayaan yang dicapai, semata-mata kerana tujuan politik.

“Kita mesti yakin dengan usaha kita, dengan niat yang baik kita boleh capai kejayaan dan dapat pengiktirafan di peringkat nasional, kita akan teruskan usaha bagi mencapai kejayaan demi kejayaan,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya memberi contoh penyenaraian Felda Global Ventures, yang peringkat awalnya berhadapan dengan pelbagai usaha pihak tertentu yang cuba menggagalkannya, namun apabila disenaraikan ia mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan.

Sistem e-Kasih ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional dan ia boleh diakses serta diguna oleh semua agensi kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi tujuan perancangan, koordinasi dan memantau program membasmi kemiskinan di Malaysia, dan unit ICU mendapat anugerah berkenaan daripada PBB pada 25 Jun lalu. – BERNAMA

Pelajar mahu tikam guru – Sinar Harian


Pelajar mahu tikam guru
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2012

Kamaruddin
JERTIH – Seorang guru lelaki berada di ambang maut apabila seorang pelajarnya dikatakan mahu menikamnya dengan senjata tajam dalam surau sebuah sekolah di sini pada minggu lalu.

Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, pelajar lelaki tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di sini itu didakwa cuba menikam guru berumur 50-an di depan pelajar lain.

Bagaimanapun, tindakan pantas pelajar lain berjaya menghalang pelajar terbabit berbuat demikian.

Difahamkan, pelajar tersebut masuk ke dalam surau berkenaan ketika program tazkirah sedang berlangsung dengan bertindak mengeluarkan senjata tajam lalu mengacunya ke arah guru berkenaan, namun sempat dielak guru tersebut.

Pelajar itu didakwa bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru itu yang mengarahkannya keluar dari surau sebelum itu.

Arahan itu dibuat kerana pelajar itu dikatakan menimbulkan masalah ketika program tazkirah berlangsung.

Guru berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Jertih pada hari yang sama.

Pelajar itu yang menetap di sebuah kampung dekat Seberang Jertih dikatakan telah ditahan polis malam kelmarin di rumahnya pada jam 2.20 pagi. Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak bertindak mengikut emosi selain perlu memiliki perasaan rasa hormat kepada guru kerana sekiranya melakukan perbuatan jenayah, mereka bakal berdepan tindakan undang-undang.

Manakala warga pendidik pula diminta menggunakan pendekatan bersesuaian ketika menegur pelajar bermasalah bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku.