NUTP: Masa yang tepat penstrukturan semula tingkatan enam – Bernama


NUTP: Masa yang tepat penstrukturan semula tingkatan enam

6 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat sekarang merupakan masa yang tepat bagi kerajaan melakukan penstrukturan semula terhadap tingkatan enam supaya setaraf dengan pendidikan pra universiti.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata usaha tersebut patut diberi perhatian kerana berdasarkan keperluan sekarang ia sangat relevan bagi mempertingkatkan sistem pendidikan tingkatan enam.

“Kena struktur lebih teratur supaya kokurikulum dan akademik menjadi seimbang dan tidak seperti sekarang yang mana bagi tingkatan enam mereka lebih menekankan akademik berbanding kokurikulum,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata jika kerajaan bersedia mengkaji tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran, ia juga perlu mengkaji sistem kokurikulum serta silibus mata pelajaran yang diguna pakai hari ini.

“Jika kerajaan mahu tempoh pembelajaran tersebut sama dengan matrikulasi atau pusat asasi yang ada sekarang, mereka perlu meneliti setiap dasar kokurikulum dan silibus sedia ada kerana silibus sekarang banyak dan ia perlu dipendekkan supaya dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berpendapat pelajar tingkatan enam di sekolah harian sepatutnya diberi layanan istimewa berbanding pelajar tingkatan lain, dengan kemudahan-kemudahan setaraf dengan pelajar kolej matrikulasi atau pun mahasiswa peringkat diploma di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya sememangnya pelajar tingkatan enam setaraf dengan pelajar matrikulasi dan diploma yang mana mereka perlu diasingkan dengan bangunan baru atau pun menubuhkan satu lagi sekolah khususnya untuk pelajar tingkatan enam dan dilengkapi dengan kemudahan asrama.

“Kebanyakan sekolah yang mempunyai pengajian tingkatan enam terletak di kawasan bandar, pelajar yang tinggal di kawasan kampung terpaksa berulang-alik dan mengambil masa lama dalam perjalanan ke sekolah,” katanya.

Beliau juga berkata kelayakan guru yang mengajar tingkatan enam juga amat penting kerana pada masa ini, kebanyakan guru tingkatan enam pada masa yang sama turut mengajar tingkatan lain di sekolah menengah harian.

“Setakat ini tiada masalah bagi bilangan guru yang mengajar tingkatan enam di seluruh negara tetapi jika guru-guru diberi pengkhususan dalam mengajar subjek tingkatan enam sahaja, mutu pembelajaran dan proses pengajaran akan menjadi lebih berkesan,” katanya.

Mohamed Sabri berkata memandangkan struktur penilaian tingkatan enam tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berdasarkan kepada penilaian berterusan mencakupi kerja kursus, maka tugas guru tingkatan enam akan menjadi lebih berat dan tidak hanya kepada tugas mengajar sahaja.

Seorang guru tingkatan enam yang enggan dikenali, menyambut baik cadangan yang ingin dibuat oleh kerajaan dalam penstrukturan tersebut kerana ia akan menjadi lebih sistematik dalam sistem pendidikan pada masa depan.

“Sangat bagus jika tingkatan enam akan distruktur semula kerana ia lebih teratur, mungkin jika ia distruktur semula akan wujud peraturan, dasar-dasar sendiri dan tidak bercampur dengan sekolah harian seperti sekarang,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mencadangkan supaya pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti seperti di Kolej Matrikulasi dan Pusat Asasi Sains.

Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihatkan bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan Pusat Asasi Sains anjuran universiti-universiti awam tempatan. — Bernama

Guru bersara ditemui mati berhampiran bilik air – Bernama


Guru bersara ditemui mati berhampiran bilik air

6 Julai 2012
MELAKA – Seorang pesara guru yang berumur sekitar 70-an ditemui mati dengan kepala berlumuran darah di dalam rumahnya di sebuah taman perumahan di Bukit Katil di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Muhammad Koey Abdullah berkata polis menemui mayat tersebut kira-kira 10 pagi, selepas menerima aduan daripada jiran mangsa yang terhidu bau busuk dari rumah itu sejak beberapa hari lalu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pintu rumah mangsa didapati tertutup menyebabkan pihak polis terpaksa memecah masuk rumah berkenaan sebelum menjumpai mangsa terbaring di atas lantai berhampiran bilik air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa yang tinggal berseorangan dipercayai mati kira-kira empat hari lalu akibat pendarahan yang banyak dipercayai selepas terjatuh di dalam bilik air.

Mangsa dipercayai cuba merangkak keluar dari bilik air selepas terjatuh, katanya. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – Bernama

49 anak yatim serah kad kepada PM – Bernama


49 anak yatim serah kad kepada PM

6 Julai 2012
PUTRAJAYA – Sekumpulan 49 anak yatim dari Rumah Jagaan Sinthamani, Jinjang Utara hari ini menyerahkan kad sempena Hari Bapa untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.

Kad berukuran tiga kaki tinggi dan dua kaki lebar itu diterima Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Gazali Ibrahim.

Pengasas rumah kebajikan itu, B. Praveendran berkata anak-anak yatim yang berusia antara dua hingga 17 tahun itu mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan kad tersebut.

Mereka mengambil inisiatif ini kerana menganggap Perdana Menteri seperti bapa mereka sendiri, apatah lagi rata-rata mereka tidak mempunyai bapa, katanya kepada pemberita selepas penyerahan kad tersebut.

“Kami berbangga dengan jasa-jasa Perdana Menteri yang telah banyak menyumbang untuk membangunkan negara dan kami menyokong kepimpinannya,” katanya. – Bernama

Bersiap ke sekolah – Metro


Bersiap ke sekolah
JOHOR BAHRU: Persiapan tiga beradik yang baru dibawa pulang selepas terkandas dua tahun di Lampung, Indonesia, untuk memasuki alam persekolahan berjalan lancar apabila impian itu disokong pelbagai pihak yang prihatin.

Selepas menyelesaikan urusan pendaftaran dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor kelmarin, tiga beradik itu dibawa membeli belah kelengkapan persekolahan masing-masing di Plaza Angsana oleh Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, semalam.
Tiga beradik itu, Nur Masyita Amiera, 8, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Fitri Nordi, 11, ditemani bapa mereka, Nordi Adi, 57, serta Ketua Pemuda Umno Johor Bahru, Khalid Mohamed.

Masing-masing begitu gembira memilih pakaian dan kasut sekolah sebagai persediaan memulakan persekolahan Isnin ini.
Nurul Safiza berkata, dia begitu teruja selepas menerima pelbagai kelengkapan sebelum memulakan persekolahan.
“Saya seronok, dapat baju dan celana baru, adik-adik juga seronok.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang berguna satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06

Tinggal kakak seorang – Metro


Tinggal kakak seorang
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Selepas puas menelefon, akhirnya saya dapat bercakap dengan Karsini dua hari lalu, namun dia tidak berhenti menghamburkan kata-kata kesat kepada saya dan mengatakan saya suami yang tidak bertanggungjawab.

“Saya terlalu bimbang dengan keselamatan anak sulung kami, Siti Norzana, 12, yang kini bersama Karsini. Saya risau dia diperlakukan dengan kejam oleh saudara mara Karsini,” kata Nordi Adi, 57, bapa kepada empat beradik yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka, Karsini Kaslam, 25, di Lampung, Indonesia.
Menurut Nordi, dia merayu supaya proses membawa pulang Norzana dipercepatkan ekoran bimbang kejadian buruk akan menimpa anaknya itu.

“Saya kemudiannya memarahi Karsini selain bertanya kepadanya berapa bayaran yang diterimanya sekiranya dia mahu menjual Norzana.
“Saya sendiri sebenarnya tidak tahu sama ada Karsini mahu menjual Norzana atau sebaliknya. Saya hanya bimbangkan keadaan Norzana hinggakan sering terfikir perkara yang bukan-bukan,” katanya, di sini, semalam.
Menurut Nordi, dia tidak mahu Norzana dicederakan dan berharap kanak-kanak berkenaan dapat pulang ke pangkuannya serta hidup bersama tiga adiknya yang lain di sini.

Nordi yang menetap di Taman Kempas, Kempas dengan tiga anaknya itu berkata, dia yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah menghabiskan kira-kira RM92,000 untuk diserahkan kepada Karsini.
“Sekiranya Norzana kembali ke pangkuan saya, saya tidak sekali-kali membenarkannya diambil semula.

“Saya hanya akan benarkan Karsini datang melawat anak, namun tidak akan termakan rayuannya jika dia mahukan kembali anak untuk dipelihara,” katanya yang menambah Biro Aduan Komuniti Umno akan ke Lampung dalam usaha untuk mendapatkan Norzana dalam masa terdekat.
Sementara itu, tiga adik Norzana, Nurmasyita Amiera, 8, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Futri, 11, juga mempunyai harapan sama seperti bapa mereka.
Malah Safiza berkata, dia sudah hilang rasa sayang terhadap ibu tirinya selepas menderita selain kerap dimarahi dan dipukul jika melakukan kesalahan walaupun sedikit.
Empat beradik berkenaan turut didakwa dipaksa bekerja sepanjang masa berada di Lampung.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan keempat-empat anak Nordi dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut lelaki berkenaan.
Namun, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Umno, tiga daripadanya dapat diselamatkan dan tiba di tanah air pada 30 Jun lalu.
Penderitaan mereka bermula apabila Nordi mengahwini Karsini sebagai isteri kedua selepas isteri pertama menghilangkan diri.
Nordi membuat keputusan berhijrah bersama anaknya ke Lampung bagi memulakan kehidupan bersama isteri baru serta keluarga mentuanya, namun kecewa apabila ditipu sebaik tiba di sana.
Nordi dipaksa memindahkan semua wang simpanannya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun milik wanita terbabit berjumlah RM77,000.
Nordi dan empat anaknya kemudiannya ditinggalkan sehelai sepinggang di rumah ibu Karsini sebelum lelaki berkenaan kembali ke Malaysia bagi mengumpul wang untuk membawa pulang keempat-empat anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06

Mayat Bayi Dalam Beg Sekolah – mStar


Mayat Bayi Dalam Beg Sekolah
Oleh FARIK ZOLKEPLI

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun telah menyimpan beg rakan sekelasnya untuk 17 jam tanpa menyedari di dalamnya terdapat mayat bayi yang baru dilahirkan.

Rakan sekelas itu telah diserahkan sebuah beg sejurus selepas rakannya melahirkan bayi perempuan di hostel sekolah berkenaan kira-kira pukul 1 pagi pada Selasa.

Doktor yang mendapat tahu mengenai kelahiran itu telah merawat gadis berkenaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, apabila dia mengadu sakit perut.

“Satu pemeriksaan mengesahkan bahawa dia telah melahirkan bayi,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan pada Khamis.

“Pelajar perempuan itu memaklumkan bahawa dia menyimpan bayi itu di dalam beg sekolahnya.”

Doktor meminta pelajar itu untuk memanggil rakannya untuk membawa beg berkenaan ke hospital.

“Mereka menjumpai mayat bayi perempuan di dalam beg. Rakan pelajar itu mengalami trauma apabila difahamkan dia telah membawa beg yang mengandungi mayat seorang bayi,” kata Manoharan kepada pemberita.

Polis telah merampas gunting yang digunakan untuk memotong tali pusat bayi itu.

Manoharan berkata, bedah siasat menunjukkan bahawa bayi tersebut berjaya dilahirkan tetapi mempunyai kesan lebam di kepala dan terdapat air pada paru-parunya.

“Kami masih menyiasat punca kematian. Kes ini akan sedang disiasat atas sengaja menyebabkan kematian bayi,” kata beliau, sambil menambah pihak polis sedang mengesan bapa kepada bayi berkenaan atas tuduhan melakukan hubungan seks dengan perempuan bawah umur.

35 tahun masih DG41 – Berita Harian


35 tahun masih DG41

07:09:44 AM Oleh S Anand Kumar CetakEmel Kawan

15,000 guru ada sijil, diploma patut naik gred: NUTP

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kira-kira 15,000 guru lepasan sijil dan diploma perguruan yang berkhidmat lebih 35 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan ke gred DG41. Ia dianggap wajar berdasarkan pengalaman dan jumlah tahun mereka berkhidmat sebagai menghargai jasa guru berkenaan.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berpendapat adalah wajar pengalaman perkhidmatan guru terbabit dijadikan sebagai asas untuk kenaikan gred dan bukannya mengutamakan kelayakan akademik.

“Walaupun sudah berkhidmat lebih 35 tahun, NUTP mendapati ada sebilangan guru yang masih kekal di gred DG34 dan DG38 kerana kenaikan (gred) adalah berdasarkan kelayakan akademik.

“Jika mahu dilihat dari segi kelayakan akademik, kita berasakan tidak wajar kerana segelintir mereka sudah berusia lebih 50 tahun dan ada juga yang hampir bersara,” katanya kepada BH, semalam.

Mac tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had usia pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.
Syarat mohon ke PPG

Sebelum itu, syarat bagi permohonan ke PPG tidak melebihi 45 tahun, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan kementerian.

Hashim berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan cadangan itu yang sudah dipanjangkan kepada JPA, baru-baru ini.

“Tempoh perkhidmatan lebih 35 tahun adalah satu pengalaman cukup luas selain warga pendidik itu juga sudah menghadiri pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kita melihat pengalaman itu cukup wajar untuk mereka menikmati kenaikan gred,” katanya.

Beliau berkata, NUTP juga akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji secara komprehensif perkhidmatan awam negara.

‘Larang politik di sekolah’ – Bernama


‘Larang politik di sekolah’

06:19:14 AM Cetak Emel Kawan

Raja Nazrin dan Tuanku Zara mendengar penerangan daripada pelajar selepas merasmikan SK Seri Samudera, Manjung, semalam.
Tolak negara pelbagai warga: Raja Nazrin

Seri Manjung: Raja Nazrin Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu ghairah menjaguhi isu pendidikan sehingga meletakkan masa depan Malaysia sebagai ‘negara pelbagai warga’. Raja Muda Perak bertitah, agenda pendidikan nasional perlu dicanai untuk mencapai matlamat berjaya menyatukan pelbagai kaum, hidup rukun dalam semangat ‘satu negara-satu warga’, selaras semangat 1Malaysia.
“Membina satu warga tidak bermakna menghapuskan mana-mana kaum, tidak bermakna menghapuskan mana-mana budaya, tidak bermakna menghapuskan mana-mana agama, tidak bermakna menghapuskan mana-mana bahasa,” titah baginda ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, semalam.

Hadir sama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Baginda bertitah sekolah perlu menjadi kawasan larangan kepada sebarang unsur politiking kerana peranan sekolah sebagai platform menyatupadukan rakyat adalah satu kewajipan bukan satu pilihan.

Raja Nazrin bertitah sekolah adalah tapak semaian memastikan benih diberi ruang untuk dapat ‘tumbuh segar’ dan dilindungi daripada menjadi mangsa eksperimen dan permainan politik.
“Justeru, semua pihak perlu menghormati batas sempadan pembabitan, perlu menjauhkan diri daripada campur tangan keterlaluan, semoga menjamin tidak berlaku pencerobohan dalam perkara berkaitan sekolah dan pelajaran hingga akibatnya anak di sekolah menjadi mangsa dan hasrat membina warga yang bersatu tidak akan tercapai,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah kesemua kumpulan politik tanpa mengira fahaman dan ideologi, pemimpin kaum dan agama serta seluruh rakyat perlu mendukung wawasan perpaduan bersama dan wajib membantu memastikan sistem persekolahan berjaya memenuhi misi membina perpaduan kaum dalam semangat ‘satu negara-satu warga’.

Baginda turut berkongsi pengalaman ketika melalui alam persekolahan rendah dan menengah rendah di sekolah yang terletak di bawah tadbiran Kementerian Pelajaran. – BERNAMA

Sekolah agama tetap terima peruntukan bentuk modal insan – Sinar Harian


Sekolah agama tetap terima peruntukan bentuk modal insan
NURUL ZAILA MOHD TAHIR
6 Julai 2012

Tengku Mahkota ( kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.
KUANTAN – Dalam usaha membentuk modal insan cemerlang, kerajaan negeri sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan dan tidak ketinggalan perhatian terhadap sekolah agama.

Bagi memastikan perkembangan sekolah-sekolah agama di seluruh Pahang bergerak seiring dengan sekolah lain, jumlah peruntukan yang besar turut disalurkan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sekolah agama di Pahang menerima peruntukan RM53.5 juta setahun.

Menurutnya, pelbagai pendekatan baru yang dijalankan juga memberi perubahan kepada sekolah-sekolah agama, sekali gus menarik minat masyarakat untuk menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan.

“Daripada jumlah peruntukan yang diberikan ia disalurkan kepada 18 buah sekolah agama di seluruh negeri.

“Sehingga kini, sistem yang diguna pakai di sekolah agama juga mengalami banyak perubahan termasuk kokurikulum kebangsaan dan kurikulum agama Islam.

“Dwi kokurikulum yang digunakan menarik minat masyarakat sehinggakan jumlah permohonan melebihi kapasiti disediakan,” titah baginda.

Baginda bertitah sempena majlis pengurniaan anugerah kecemerlangan pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang kali ke-11 bertempat di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Tengku Mahkota bertitah, menerusi program transformasi pendidikan yang telah dirangka ia turut meliputi sekolah agama.

“Sekolah agama tidak lagi dikategorikan sebagai sekolah swasta yang sebelumnya menyebabkan saluran bantuan sukar diberikan.

“Perubahan dan peningkatan harus berterusan dan sekarang masih terdapat banyak ruang kosong untuk diisi dengan pelbagai program di sekolah-sekolah agama.

“Beberapa perkara juga harus diberi penekanan termasuk aspek kemudahan, keperluan sumber manusia contohnya menyediakan guru terlatih seperti yang dilakukan kerajaan di sekolah biasa iaitu seratus peratus tenaga pengajar berkelulusan ijazah.

“Sekolah agama juga harus mempertahankan jati diri sebagai institusi berpandukan modal insan berpengetahuan tinggi, berakhlak mulia bagi memastikan potensi lepasan sekolah agama digembleng secara optima,” titah baginda.

Lebih 100 pelajar dari seluruh sekolah agama Pahang menerima anugerah kecemerlangan dalam pelbagai kategori sempena majlis itu.

25 pelajar keracunan makanan – Sinar Harian


25 pelajar keracunan makanan
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Julai 2012

Seorang kakitangan klinik (tengah) mengambil maklumat daripada seorang pelajar terlibat.
PORT DICKSON – Seramai 25 pelajar di sebuah sekolah kebangsaan, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Port Dickson setelah mengalami keracunan makanan disyaki selepas menikmati makanan nasi ayam dalam satu program di sebuah sekolah di Pasir Panjang, kelmarin.

Difahamkan, kesemua pelajar tahap dua sekolah tersebut tiba di klinik dengan dihantar oleh guru selepas mereka mengadu sakit perut ketika sesi pembelajaran di sekolah, semalam.

Salah seorang bapa pelajar berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia mendapat panggilan daripada pihak sekolah mengatakan anaknya dibawa ke klinik selepas mengalami cirit-birit kerana keracunan makanan.

“Pihak sekolah menelefon saya kira-kira jam 10 pagi memaklumkan anak saya mengalami sakit perut. “Malam tadi (semalam) anak saya ada juga mengadu sakit perut, namun saya fikir ia sakit biasa sahaja dan hanya menyuruhnya berehat, namun tidak menyangka ia akibat keracunan makanan,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Port Dickson, semalam.

Seorang pelajar pula mendakwa, dia makan nasi ayam namun tidak tahu sama ada sudah basi ataupun tidak. “Ketika itu, saya lapar dan hanya makan begitu juga dengan rakan-rakan lain,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di klinik berkenaan mendapati beberapa pelajar sedang mendapatkan ubat sambil ditemani guru dan ibu bapa.

Kesemua pelajar terbabit bagaimanapun dilihat meninggalkan klinik selepas kira-kira dua jam kemudian. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, semua pelajar yang terlibat berada di dalam keadaan stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat punca kejadian ini kerana ia adalah sesuatu perkara yang serius dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Ismail turut memberi amaran kepada pengusaha kantin sekolah dan mana-mana pengusaha makanan agar memastikan makanan yang disediakan kepada pelajar atau pelanggan sentiasa bersih.

“Kita mempunyai undang-undang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut dan mereka yang didapati bersalah tidak akan terlepas,” katanya.