Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang – Bernama


Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang

15 Julai 2012

Sukma 2012
KUANTAN – Pelajar sekolah agama, Muhamad Hazizul Hakim Md Sukor, muncul juara tinju kategori berat badan 52 kilogram lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang berlangsung di Dewan Bitara, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin hari ini.

Muhamad Hazizul Hakim dinobat sebagai pemenang pingat emas selepas menewaskan peninju Pulau Pinang A. Jagadish dengan kiraan mata 20-15.

Pingat gangsa milik Mohd Azman Mohd Azhar dari Kelantan dan peninju Pahang Mohd Zulfadlie Ibrahim.

Muhamad Hazizul Hakim, yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Al-Quran Waddin, berkata beliau bersyukur dengan kejayaan itu dan ia sesuatu yang besar untuk diri sendiri selain hadiah kepada ibu bapa serta jurulatih yang banyak memberi dorongan kepadanya selama ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Tinju Amatur Johor yang banyak membantu saya,” kata.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mengakui memilih sukan tinju kerana dapat melepaskan tekanan ketika beraksi.

Anak kelahiran Larkin itu juga berhasrat mencontohi idolanya, peninju negara Muhamad Farkhan Mohd Harun, yang disifatkan mempunyai gaya bersahaja ketika beraksi.

“Saya amat tertarik dengan gaya Muhamad Farkhan dan berharap dapat menjadi seorang peninju yang baik seperti beliau satu hari nanti,” katanya yang mula meminati sukan itu sejak berusia 13 tahun.

Muhamad Hazizul Hakim berkata ada juga rakan yang memintanya meninggalkan sukan itu namun beliau enggan berbuat demikian.

“Sukan tinju telah menjadi darah daging saya, tidak mungkin saya akan beralih darinya,” katanya. – Bernama

Pelajar tingkatan empat dipukul 18 rakannya dipercayai curi duit – Bernama


Pelajar tingkatan empat dipukul 18 rakannya dipercayai curi duit

15 Julai 2012
IPOH – Seorang pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kampung Gajah dekat sini, mengalami lebam-lebam akibat dipukul oleh rakan-rakannya kerana dikatakan mencuri wang RM100 milik seorang pelajar di asrama sekolah itu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian selama kira-kira tiga jam bermula pada 1.30 pagi itu, mangsa Muhammad Fareez Akmar Mustapa, 16, dibawa ke sebuah bilik di asrama terbabit sebelum dipukul dengan objek keras menyebabkan dia lebam di belakang badan, betis, peha dan muka.

Mangsa ketika ditemui pemberita di rumahnya di Manjoi hari ini berkata dia dipukul oleh kira-kira 18 orang rakannya apabila tidak mengaku mencuri wang tersebut.

“Saya ditarik oleh pelajar-pelajar itu ke dalam sebuah bilik di asrama sebelum dipukul berkali-kali…guna selipar dan batang penyapu.

“Selepas dipukul, saya terlantar di lantai dan selepas lima minit saya bangun dan telefon mak saya untuk datang ke asrama,” katanya.

Sementara itu, ibunya Azian Ismail, 40, berkata beliau telah membuat laporan polis dan membawa anaknya ke hospital berhampiran bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Saya mintak pihak hospital berikan cuti untuk anak saya berehat,” katanya.

Azian meminta pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar terlibat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan akan menyiasat kes mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kita sedang mengumpul maklumat daripada pihak pengurusan sekolah dan asrama,” katanya. — Bernama

Guru diminta lebih prihatin terhadap masalah pelajar perempuan – Bernama


Guru diminta lebih prihatin terhadap masalah pelajar perempuan

15 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu meminta pendidik di negeri ini agar lebih prihatin terhadap masalah pelajar, khususnya pelajar perempuan, bagi mengelak gejala sosial seperti melahirkan anak di sekolah atau membuang bayi terus berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Ahmad Razif Abd Rahman berkata walaupun kes sedemikian dikategori sebagai terpencil, namun beliau tetap memandang serius perkara itu.

Beliau berkata guru perlu peka terhadap anak didiknya dengan mengambil berat perkara yang berlaku di sekeliling mereka agar dapat mencegah pelajar daripada terjerumus dalam gejala sedemikian.

“Kita tidak menyalahkan sesiapa dalam kes berkenaan memandangkan pelajar perempuan terbabit baru sahaja memasuki sekolah berasrama berkenaan pada awal tahun lalu.

“Selain itu, pelajar yang menghuni di asrama juga mempunyai banyak cara untuk menyembunyikan kandungannya serta bijak mengaburi mata guru di sekolah pada zaman sekarang,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kes buang bayi melibatkan pelajar sekolah di Terengganu.

Ahmad Razif juga berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu dan menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, akhbar melaporkan tembelang seorang pelajar perempuan yang mengadu sakit perut sebelum mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, akhirnya pecah apabila mengaku baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayinya dalam sebuah beg galas.

Beg berisi bayi perempuan yang dilahirkan pukul 1 pagi pada 3 Julai itu kemudian diserahkan kepada rakan pelajar tersebut tanpa memaklumkan isi kandungannya.

Mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu ditemui selepas doktor yang merawat pelajar tersebut menghubungi rakan terbabit dan memintanya membawa beg galas berkenaan pada 6 petang hari yang sama.

Polis menahan seorang remaja lelaki untuk membantu siasatan berhubung kes itu beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati remaja lelaki itu dan pelajar perempuan berkenaan bukan pasangan kekasih namun mereka dipercayai mengadakan hubungan seks sebanyak dua kali pada tahun lepas. — Bernama

100 penghuni asrama terjejas, pagar asrama turut runtuh – Sinar Harian


100 penghuni asrama terjejas, pagar asrama turut runtuh
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Julai 2012

Keadaan tangki air pecah yang terletak di atas menara setinggi kira-kira 10 meter.
PAKA – “Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan, seketika kemudian air keluar dari tangki sehingga melimpah di sekitar pagar berdekatan asrama sekolah.

Demikian kata Mohd Redzuan Zamri, 31, saksi kejadian tangki air pecah di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tangki air Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka yang terletak di atas menara setinggi kira-kira 10 meter itu pecah, menyebabkan air takungannya mencurah keluar sehingga kawasan berdekatan digenangi air.

Pagar asrama sepanjang kira-kira 10 meter juga turut runtuh, selain bumbung sebuah bangunan berdekatan mengalami kerosakan teruk terkena air yang jatuh dari tangki air terbabit.

Ketika kejadian, terdapat hampir 80 pelajar perempuan mendiami asrama tiga tingkat yang terletak kira-kira 50 meter dari menara menempatkan tangki air berkenaan, selain hampir 40 pelajar lelaki yang difahamkan sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.

Menceritakan detik sebelum kejadian itu, Redzuan yang juga pengawal keselamatan di sekolah berkenaan berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di pondok pengawal, beberapa meter dari menara tangki air terbabit.

Menurutnya, sebaik mendengar bunyi letupan, dia terus bergegas keluar untuk meninjau apa yang berlaku sebelum melihat air mencurah-curah keluar dari tangki yang pecah itu.

“Mula-mula saya terkejut juga, ingat apa yang meletup.

Rupa-rupanya tangki air pecah, nasib baik tiada pelajar yang cedera,” katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapat ulasan pihak pengurusan sekolah bagaimanapun gagal apabila pengetua sekolah berkenaan tidak menjawab panggilan yang dibuat.

Kejadian itu merupakan tragedi runtuhan yang pertama sejak sekolah berkenaan beroperasi lebih lima tahun lalu.

Akibat kejadian itu, sebahagian besar penghuni asrama lelaki dan perempuan juga difahamkan terpaksa pulang ke rumah masing-masing kerana menghadapi masalah gangguan air.

Pelajar ditemui mati tergantung – Sinar Harian


Pelajar ditemui mati tergantung
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Julai 2012

Anggota polis memakai sarung tangan sebelum menurunkan mayat mangsa.
KULIM – Seorang pelajar tingkatan lima ditemui matidalam keadaan tergantung di tapak medan selera yang tidak lagi diusahakan, kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.

Mayat pelajar berkenaan ditemui penduduk Taman Selasih yang kemudiannya menghubungi polis. Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abd Kadir berkata, ketika ditemui mangsa memakai baju T dan seluar seragam sekolah.

Dari siasatan awal dijalankan mendapati, sebelum ini mangsa bersekolah di Lunas bagaimanapun terpaksa berpindah ke Kulim.

“Mangsa berusia 17 tahun dan masih bersekolah di tingkatan lima. Mayat mangsa ditemui oleh orang awam dalam keadaan tergantung di mana lehernya terjerut dengan tali nilon.

“Ketika pemeriksaan dijalankan terhadap mayat mangsa, polis turut menemui sekeping nota yang ditulis mangsa di atas singki berdekatan dengannya, ” katanya.

Menurutnya, dalam nota itu bertulis, ‘tiga nama ini harus berada di hari pengebumian saya’ mayat mangsa kemudiannya di bawa ke bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Hasil maklumat waris mangsa, mangsa merupakan seorang pelajar pintar dan disenangi keluarga.

Mohd Azlan berkata, keputusan bedah siasat menunjukkan mangsa mati tergantung dan polis tidak menemui sebarang perlakuan jenayah terhadap mangsa dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Pesta liar bawah umur – Metro


Pesta liar bawah umur
Oleh HADZLAN HASSAN, SHAMRAN SARAHAN dan NURUL HUSNA MAHMUD
metahad@hmetro.com.my

RISAU… Zulkifli bersama laporan polis yang dibuatnya.

LUCAH… antara perbualan anaknya dalam laman sembang.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja, majoritinya masih di bawah umur, dikesan membentuk satu forum sosial lebih 3,500 ahli di facebook dan twitter semata-mata untuk bergabung menyertai beberapa siri pesta liar.

Kumpulan lelaki, perempuan, pondan dan lelaki lembut itu menggunakan laman sosial terbabit untuk berinteraksi bagi menetapkan tarikh dan lokasi pertemuan mereka.

Yang menakutkan, pertemuan dirancang rangkaian sosial itu bukan keraian biasa, sebaliknya pesta liar dinamakan ‘parti lolipop’ yang diadakan di beberapa pusat hiburan.

Difahamkan, ada pusat hiburan menganjurkan parti dengan nama lolipop sama seperti sambutan ‘ladies night’, dan lolipop didakwa merujuk kepada ahlinya yang sebahagian besar remaja bawah umur.
Lebih menyedihkan, parti berbaur maksiat dari satu lokasi ke satu lokasi itu turut menghidangkan arak selain pil khayal yang dikhuatiri boleh membawa kepada hubungan seks haram.

Terpaksa makan pasir – Metro


Terpaksa makan pasir
Oleh RASHIDI KARIM
am@hmetro.com.my

PADANG BESAR: Masalah kebuluran rakyat Somalia sehingga mengakibatkan kanak-kanak kelaparan, termasuk makan pasir, menyentuh perasaan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini, untuk mencari dana bagi membantu mereka.

Penderitaan kanak-kanak Somalia itu didedahkan sukarelawan Mercy Malaysia, Dr Iqbal Muhamad, yang menyertai misi bantuan di negara itu pada Majlis Taklimat Komuniti Inovatif MRSM yang dihadiri lebih 200 pelajar maktab berkenaan di sini, semalam.
Dr Iqbal yang juga Pengarah Pusat Kesihatan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, sejuta rakyat Somalia berdepan konflik perang saudara dan secara tidak langsung, turut terdedah dengan masalah kebuluran melampau serta sangat memerlukan bantuan.

“Berdasarkan maklumat terkini, ramai rakyat Somalia, terutama kanak-kanak, meninggal dunia setiap hari disebabkan masalah kebuluran selain penularan penyakit cirit-birit.
“Menerusi misi bantuan Mercy baru-baru ini, saya terkejut apabila berdepan beberapa kes kanak-kanak yang mengalami masalah ketagihan pasir. Kami dimaklumkan kanak-kanak ini terpaksa makan pasir kerana tiada makanan,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Jamsari Jamaludin yang mewakili beliau untuk merasmikan majlis itu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Muhammad Azip Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd, Mazlee Md Ramli dan Pengetua MRSM Beseri, Mohd Salim Lebai Bulat.
Justeru, Dr Iqbal mengharapkan pembabitan pelajar MRSM untuk menjayakan kempen kutipan dana membantu mangsa kelaparan di Somalia menerusi peranan mereka dengan memikirkan kaedah dan inovasi terbaik untuk mengumpul sumber kewangan.

Lebih 10,000 pelajar membabitkan 46 MRSM di seluruh negara menjayakan pertandingan mencari dana anjuran bersama Al Niaga, YIM, Mercy Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara).
Program dikenali Ideapreneur MRSM akan memilih MRSM yang melakukan kaedah mencari dana paling berinovasi dengan pemungut jumlah terbesar sebagai pemenang bagi menerima Anugerah Inovasi Perdana 2012 pada November depan.