Pelajar ditembak kerana disangka burung – Bernama


Pelajar ditembak kerana disangka burung

19 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar yang disangkakan burung telah ditembak di Kampung Kuala Kejir, Kuala Berang dalam kejadian awal bulan ini.

Dalam kejadian 7 petang pada 2 Julai lalu itu, pelajar berumur 16 tahun tersebut sedang memanjat pokok untuk mengambil sarang burung.

“Melihat pokok tersebut bergoyang, suspek yang sedang berburu lalu mengacukan senapangnya dan melepaskan tembakan ke arah pokok itu dan tidak menyangka seorang budak kemudiannya turun dari pokok itu sambil berkata ‘kena ke tembakan’,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa difahamkan cedera di bahu kiri akibat terkena serpihan satu peluru penabur senapang patah yang tersasar kepadanya.

Dia kemudiannya mendapat rawatan di sebuah klinik di Bukit Payong untuk mengeluarkan serpihan peluru tersebut pada hari berikutnya.

Manoharan berkata sehubungan kejadian itu, suspek berkenaan seorang anggota Rela berumur 40 tahun telah ditahan di rumahnya di Kampung Kuala Kejir malam semalam dan dia kini direman.

Polis turut merampas senapang milik Rela itu, beberapa butir peluru serta buku lesen memiliki senapang.

“Senjata diberikan adalah untuk menjalankan tugas bukannya bagi tujuan persendirian. Perbuatan ini memang serius kerana menyalahgunakan senapang atas tujuan berburu,” tegas beliau.

Beliau berkata penahanan itu dilakukan setelah keluarga pelajar terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Berang petang semalam.

“Keluarga mangsa sebelum ini tidak membuat laporan polis kerana mereka mengenali suspek dan mereka telah berbincang secara baik di mana suspek pada awalnya bersetuju untuk menanggung perbelanjaan perubatan mangsa.

“Namun oleh kerana suspek tidak menepati janji untuk membuat bayaran, barulah keluarga mangsa membuat laporan semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan cedera dengan senjata tanpa alasan yang sah dan di bawah Seksyen 8(b) akta yang sama kerana gagal mematuhi syarat, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000. – Bernama

Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit – Bernama


Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit
18:15:50 PM Cetak Emel Kawan

MUAR: Kementerian Pelajaran akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk masyarakat, guru-guru dan ibu bapa sebelum membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu hanya keputusan pada peringkat Jawatankuasa Disiplin Murid peringkat Kementerian Pelajaran dan belum dimuktamadkan. “Itu hanya keputusan di peringkat jawatankuasa, mereka belum bawa kepada pihak saya sama ada setuju atau tidak.
“Kita akan ambil kira pandangan semua pihak termasuk kesatuan guru yang tidak berapa setuju dengan keputusan itu dan dalam masa yang sama pandangan badan lain juga yang menyokong cadangan itu,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPAd ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong pada Selasa.

Beliau yang sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Mesra Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pesara-pesara kerajaan Parlimen Pagoh di sini, hari ini berkata, cadangan itu sebelum ini diusulkan setelah mengambil kira perkembangan semasa.
“Apabila sampai aspek keselamatan ada pihak yang berpandangan dengan adanya kemudahan seperti telefon bimbit ini pelajar-pelajar boleh hubungi pihak sekolah atau ibu bapa sedangkan peraturan sebelum ini tidak membenarkan.

“Tetapi kita juga ambil kira pandangan kalau itu boleh timbulkan banyak masalah seperti gangguan dalam proses pembelajaran, murid terpengaruh guna telefon bimbit dan internet sewaktu belajar dengan sibuk melayari facebook dan twitter,” katanya.

Katanya, sebelum sebarang keputusan dibuat, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Peguam Negara kerana ia berkaitan undang-undang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas pandangan yang disuarakan menerusi media termasuk daripada kalangan tokoh akademik. – BERNAMA

Belum ada keputusan bawa telefon ke sekolah – Utusan


Belum ada keputusan bawa telefon ke sekolah

PAGOH 19 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa ini ramai yang memberikan pandangan mengenai pro dan kontra cadangan tersebut dan semua maklum balas itu akan diteliti dengan terperinci sebelum keputusan mengenainya dibuat. – UTUSAN

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1433H


SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1433H

Himpunan Berita mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1433H khususnya kepada warga pendidik yang beragama Islam dan seluruh umat Islam di Malaysia.

Semoga puasa pada tahun ini membawa lebih keberkatan dan dimurahkan rezeki oleh Allah swt untuk beramal di Malam Lailatul Qadar.

Editor

Anak dicabul, ibu tunggal dakwa dihalau guru besar – Sinar Harian


Anak dicabul, ibu tunggal dakwa dihalau guru besar
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
19 Julai 2012

Maryam menunjukkan laporan polis dan borang aduan salah laku murid yang dibuat berhubung kejadian cabul melibatkan anak perempuannya, baru-baru ini.
SHAH ALAM – Seorang ibu tunggal mendakwa bukan hanya dimarahi malah dihalau guru besar ketika dia cuba mendapatkan penjelasan berhubung kejadian cabul melibatkan anaknya, baru-baru ini.

Wanita yang mempunyai tiga anak itu, dikenali Maryam, 32, dihalau guru besar di sebuah sekolah agama di sini, kira-kira jam 9.30 pagi, kelmarin.

Maryam mendakwa, guru besar sekolah tersebut memarahi dan menghalaunya kerana dia membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku terhadap anak perempuannya yang berusia 9 tahun itu.

Menurut Maryam, kejadian cabul itu berlaku ketika anaknya berada di sekolah pada 8 Mei lalu.

“Apabila pulang daripada sekolah dia (anak) menceritakan rakan sekelasnya sering usik payu dara dan kemaluannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Maryam yang juga kerani Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu berkata, keesokannya dia bertemu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan menceritakan kejadian itu.

Menurutnya, dia diarahkan mengisi borang aduan salah laku murid dan PKHEM berjanji akan merujuk perkara tersebut dengan guru disiplin serta guru besar.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mendapat sebarang berita berhubung aduan yang dibuat.

“Sekali lagi saya bertemu dengan PKHEM iaitu tiga minggu selepas aduan dibuat, tetapi jawapan yang diberikan amat mengecewakan.

“Setelah berfikir dan mendapatkan nasihat, saya terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis lalu,” katanya.

Maryam mendakwa, dia yang bekerja di pejabat PIBG di sekolah tersebut bagaimanapun diarahkan keluar daripada sekolah selepas laporan polis itu diketahui oleh guru besar.

“Dia (guru besar) kata sekiranya saya tidak berpuas hati dan ada masalah, saya perlu keluar serta membawa semua barang di dalam pejabat,” dakwanya.

Menurutnya, disebabkan itu, dia membuat satu lagi laporan polis di IPD Shah Alam, kelmarin.

Katanya, dia juga sudah membuat aduan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga.

“Saya terkilan dengan apa yang berlaku. Saya mahu menuntut keadilan bagi anak saya tetapi tidak disangka diri saya turut menjadi mangsa,” katanya.

Remaja maut dirempuh Hilux, Alza – Sinar Harian


Remaja maut dirempuh Hilux, Alza
WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Julai 2012

Mangsa yang ditutupi kain batik dikelilingi keluarganya.
JENGKA – Seorang remaja maut apabila skuter yang ditunggangnya terbabas dan seterusnya dilanggar dua kenderaan jenis Helux dan Perodua Alza di KM 53 Jalan Temerloh-Bandar Jengka- Jerantut sekitar jam 6.45 petang kelmarin.

Remaja terbabit, Mohammad Syazwan Amin Sobri, 16, dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya yang terletak di Taman Perumahan Permatang Shahbandar menuju ke Felda Jengka 11 untuk bermain futsal.

Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian terbabit dan mangsa dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

“Skuter yang ditunggang mangsa dipercayai terlanggar belakang kereta Avanza di hadapannya yang dikatakan menekan brek secara mengejut bagi mengelak penunggang basikal di hadapan.

“Disebabkan pelanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak ke sebelah kanan jalan dan dilanggar dua kenderaan iaitu Helux, kemudian Alza yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Saksi kejadian iaitu penumpang Perodua Alza, Khairul Haizam Khamis, 22, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan rakannya yang memandu ketika itu gagal mengelak mangsa.

“Rakan saya yang memandu di belakang Helux ketika itu tidak sempat mengelak mangsa yang dilanggar Helux terlebih dahulu.

“Selepas kejadian, kami memberhentikan kereta namun kedua-dua pemandu Helux dan Avanza meninggalkan tempat kejadian, namun kami sempat mendapatkan nombor plat Helux terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan, kedua-kedua pemandu Helux dan Avanza terbabit membuat laporan di balai polis berdekatan semalam.

Bapa sedih Siti Norzana kena jual – Metro


Bapa sedih Siti Norzana kena jual
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

NORDI bersama Nurul Safiza Fitri (kanan), Muhammad Nurhan dan Nurmasyita masih menunggu kepulangan Siti Norzana (gambar kecil) di kediamannya di Kempas, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Bapa kepada Siti Norzana Nordi, 12, yang dipercayai telah dijual dan menjadi mangsa pemerdagangan orang terkejut dan terlalu sayu mendengar nasib malang yang menimpa anak kesayangannya itu.

“Saya tidak tahu hendak kata apa, saya cukup sedih. Bila menatap wajahnya di akhbar, saya dapat rasa beban yang sedang ditanggungnya,” kata Nordi Adi, 40, ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Nordi yang telah menceraikan isterinya, Karsini Kaslam, 25, percaya, perbuatan menjual anak sulungnya itu didalangi oleh bekas ibu mertua dan bekas iparnya yang menetap di Mesuji, Lampung, Jawa Timur tidak jauh dari kediaman Karsini.

“Saya hampir pasti dan anak saya, Nurul Safiza Fitri turut beberapa kali maklum kepada saya tentang hal ini,” ujarnya sebak.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini juga mengesyaki sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas Siti Norzana namun tidak mahu mendedahkannya selagi anaknya tidak kembali ke Malaysia bersamanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Siti Norzana bersama tiga adiknya iaitu Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut Nordi.

Hasil bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO, kesemua mereka kecuali Siti Norzana dapat dibawa pulang dari Lampung, Indonesia dan selamat tiba di tanah air pada 30 Jun lalu. Dia ketika itu dikatakan tinggal berasingan dengan saudara ibu tirinya di Temusuci, Indonesia.

Kelmarin, Pengerusi biro berkenaan, Datuk Muhd. Khairun Aseh mendedahkan bahawa kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa pemerdagangan dan dipercayai dijaga seorang lelaki yang telah membelinya dan dipaksa menjadi buruh kasar.

“Kami sekeluarga berdoa agar Zana dapat diselamatkan dan saya berhasrat menemui Zana di sana jika diberi peluang,” kata Nordi.u.

Gajet canggih pengganti belaian kasih ibu bapa


Gajet canggih pengganti belaian kasih ibu bapa
KUALA LUMPUR: Ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk mencari nafkah menyebabkan ada kalangan anak-anak terutama remaja sanggup mendapatkan peralatan canggih termasuk gajet sebagai pengganti.

Pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah berkata, kurangnya kasih sayang menyebabkan ada kalangan remaja menjual tubuh semata-mata untuk mendapat bahan berteknologi itu bagi mengisi kekosongan hidup.
“Kalau kita lihat senario semasa ketika ini, ramai kalangan anak-anak ketandusan kasih sayang. Untuk itu mereka berusaha mendapatkan peralatan canggih sebagai pengganti dalam mendapatkan belaian kasih sayang ibu bapa.

“Dalam mencari kekosongan hidup, mereka akan merapati rakan-rakan terdekat. Jika tidak bernasib baik dan mendapat rakan yang buruk perangai, mereka terjebak kepada perlakuan tidak sihat,” katanya.
Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai kegilaan terhadap pelbagai gajet dan alat telekomunikasi canggih menyebabkan seorang gadis berusia 14 tahun menjual tubuh termasuk meniduri lelaki berusia 60-an bagi mendapatkan wang untuk membeli barangan kegemaran.
Perlakuan pelajar tingkatan dua dari Ulu Tiram, Johor itu, terbongkar apabila keluarganya menyedari dia memiliki barangan berjenama serta gajet terbaru yang setiap satu daripadanya berharga ribuan ringgit.

Gadis terbabit pada awalnya mendakwa gajet berkenaan kepunyaan rakan sekolah namun keluarga yang curiga membawanya mendapatkan kaunseling di Pejabat MCA Johor Jaya sebelum dia mengakui menjual tubuh kerana mahu memiliki barangan berkenaan.
Ketika berkongsi pengalamannya, gadis mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dia terbabit kegiatan tidak bermoral itu sejak awal tahun ini, selain mengakui memperoleh RM200 hingga RM300 hingga membolehkannya membeli pelbagai gajet terbaru seperti komputer tablet termasuk iPad dan telefon pintar, BlackBerry selain beg tangan berjenama terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19

Bergelut demi maruah – Metro


Bergelut demi maruah
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

TRAUMA…mangsa menceritakan pengalaman diculik dan dicabul sekumpulan lelaki.
KUALA LUMPUR: “Saya melihat rakan tergolek di jalan sebaik dicampak keluar dari kereta. Pada masa sama, tiga lelaki dalam kereta itu enggan melepaskan saya sebaliknya meraba seluruh badan dan memujuk saya melakukan perkara tidak senonoh.

“Demi mempertahankan maruah, saya memberanikan diri bergelut sebelum nekad terjun dari kereta yang sedang bergerak agak laju meninggalkan kawasan sekolah,” kata pelajar yang mahu dikenali Nor Asmira, 13.

Asmira, seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Kajang, di sini, berkata demikian ketika menceritakan pengalaman dia dan rakannya ‘diculik’ sekumpulan tiga lelaki tidak dikenali ketika makan di taman permainan di hadapan sekolahnya itu dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, kelmarin.

Ketika kejadian, dia dan rakan sekelasnya menjamah makanan di taman berhadapan sekolah.
“Kami dikepung sekumpulan 15 lelaki tidak dikenali yang mengajak kami mengikut mereka bersiar-siar dan berjanji menghantar pulang selepas itu,” katanya.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19