Warga Bangladesh dipenjara 13 tahun, 5 sebatan rogol pelajar lembam – Bernama


Warga Bangladesh dipenjara 13 tahun, 5 sebatan rogol pelajar lembam
16:59:46 PM Cetak Emel Kawan

PETALING JAYA: Seorang pencuci kereta warga Bangladesh dipenjara 13 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana merogol seorang pelajar perempuan lembam.

Hakim Yasmin Abdul Razak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mamun, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes ini. Yasmin memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Februari 2011.
Tertuduh didakwa merogol pelajar tingkatan satu yang berusia 12 tahun sembilan bulan itu di dalam sebuah kedai kosong, Jalan PUJ, 3/12, Taman Puncak Jalil, Selangor, 14 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Gurmit Singh yang mewakili Mamun, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon supaya diberikan peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

Timbalan Pendakwa Raya Chong Yin Xin memberitahu mahkamah tertuduh sepatutnya berfikir dahulu sebelum melakukan kesalahan itu lebih-lebih lagi dia adalah seorang bapa.
Di mahkamah sama, seorang buruh binaan dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan merogol pelajar sekolah rendah, dua tahun lalu.

Yasmin membuat keputusan tersebut di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Misnam Asmawi, 24.

Misnam yang diwakili peguam Esther Tan, didakwa merogol pelajar perempuan berusia 12 tahun itu, di Lot 3311-14 Kg Paya Jaras Hilir, Sungai Pelong, Selangor, antara Oktober 2010 hingga November 2010.

Sepanjang perbicaraan empat saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan.

– BERNAMA

Cuepacs: Semak pekeliling perkhidmatan lapuk – Bernama


Cuepacs: Semak pekeliling perkhidmatan lapuk

23 Julai 2012

Lim Guan Eng (kanan) bersalaman dengan Omar Osman semasa menerima kunjungan kesatuan itu di pejabatnya di Georgetown, hari ini. – Foto Bernama
GEORGETOWN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di DalamPerkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya menyemak semula pekeliling perkhidmatan awam yang dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, terdapat beberapa pekeliling perkhidmatan awam yang diamalkan sehingga kini tidak melambangkan perkhidmatan awam yang baik dan mendatangkan kesukaran kepada penjawat awam.

“Banyak dasar yang lama dulu dah tak relevan lagi, pekeliling-pekeliling lama dah tak sesuai lagi…perlu dibuat penambahbaikan seperti yang disebut Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa) iaitu merakyatkan perkhidmatan awam.

“Contohnya, kalau penjawat awam ditawar satu jawatan awam dan dia tidak terima dia kena senarai hitam selama setahun. Ini semua tidak menggambarkan perkhidmatan awam. Ini semua perkara yang sedang kita lihat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini hari ini.

Omar berkata, pekeliling yang ada sekarang seharusnya selaras dengan dasar semasa kerajaan supaya perkhidmatan awam dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan tidak ketinggalan.Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan hubungan dengan penjawat awam dalam pelaksanaan sesuatu dasar baharu supaya apa yang diputuskan mendapat persetujuan bersama.

“Tetapi jangan buat sesuatu dasar baharu itu, kita tidak ada perbincangan terus nak laksana, kita pun rasa kurang fahamlah. Kita tak setuju cara begitu.

“Sekarang ini konsep kita nak ada perbincangan, hubungan yang baik supaya sesuatu perkara itu tidak dipertikaikan kemudian. Barulah dasar baharu itu berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, Cuepacs akan berbincang dengan pihak-pihak tertentu berhubung perkara tersebut supaya sesuatu dasar baharu itu dapat difahami lebih jelas dan dapat disampaikan kepada penjawat awam. – Bernama

4 termasuk 3 pelajar maut nahas di Pahang – Bernama


4 termasuk 3 pelajar maut nahas di Pahang
14:49:54 PM Cetak Emel Kawan

KUANTAN: Tiga pelajar lelaki dan seorang warga emas lelaki maut dalam tiga kemalangan berasingan di Pahang, semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 5 jalan lama Bentong-Gombak dekat Bentong, penunggang motosikal, Muhammad Iwan Radzuan, 16, dan pemboncengnya, Muhammad Iqbal Ahmad Fahairol, 13, maut selepas motosikal mereka terbabit nahas dengan sebuah lori.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim dalam kejadian jam 3.30 pagi itu pelajar tingkatan empat dan satu itu dipercayai terbabas di satu selekoh dan memasuki laluan bertentangan.
“Mengakibatkan mereka bertembung dengan lori berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Gombak menuju ke Bentong, kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan dan disahkan mati di tempat kejadian.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian lain, seorang pelajar kolej swasta, Muhammad Nur Nikmat Mohd Soffian Solian, 18, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang elektrik di KM148 Jalan Kuantan – Segamat dekat Rompin.

“Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang ke Melaka melalui Jalan Segamat.
“Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai terlanggar lopak air di sisi jalan sebelah kiri lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terlanggar tiang elektrik,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian lain, seorang warga emas, Tew Chai, 72, dari Jalan Bahagia, Taman Angkasa di sini, maut selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Air Putih, dekat sini.

“Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa dari arah Semambu menuju ke Air Putih membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kereta berkenaan secara bertentangan,” katanya.

Mangsa disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

– BERNAMA

Cuepacs gesa kerajaan naik gred gaji guru – Sinar Harian


Cuepacs gesa kerajaan naik gred gaji guru
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
23 Julai 2012

Omar (dua, kiri) pada sidang media di Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bayan Baru, hari ini.
BAYAN BARU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menaikkan gred gaji guru yang telah tamat pengajian dalam bidang Ijazah sejak dua tahun lalu kepada DG41 secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan gred gaji guru harus dilaksanakan segera bagi menjamin kualiti pendidikan pada masa hadapan.

Katanya, perkara ini tidak harus dipandang ringan berikutan guru menjadi tunjang utama kepada pelajar untuk mendidik dan mengajar di sekolah.

“Sekiranya isu ini dipertikai, ia akan memberi kesan negatif kepada kualiti pendidikan guru.

“Cuepacs akan cuba membantu para guru menangani masalah ini secepat mungkin kerana ia melibatkan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media di pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bayan Baru, hari ini.

Omar berkata, penangguhan kenaikan gred gaji guru dianggap tidak adil kerana mereka telah berkorban masa dan wang ringgit untuk melanjutkan pelajaran demi menambah ilmu untuk mendidik anak bangsa sendiri.

Katanya, Cuepacs belum pasti apakah masalah yang dihadapi oleh kerajaan sehinggakan terpaksa berbuat demikian.

“Kita akan meneliti dan berbincang dengan kerajaan untuk mengetahui apakah faktor utama menyebabkan guru tidak mendapat hak mereka,” katanya.

Sementara itu, Cuepacs amat mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memberikan bonus kepada kakitangan awam sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Kita ingin merasai nikmat pemberian bonus daripada kerajaan setelah dua tahun tidak menerimanya. Sebagai kakitangan awam, kita tidak mahu elaun yang diberikan sebulan dua kali iaitu RM500 pada awalnya dan selebihnya pada akhir bulan.

“Memandangkan keadaan ekonomi negara pada tahun ini baik, amat diharapkan Perdana Menteri dapat memberi bonus kepada semua kakitangan awam secara adil,” katanya.

“Dia bukan ayah saya” – Sinar Harian


“Dia bukan ayah saya”

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2012
Mohd Saiful
Mohd Saiful yang tidak dapat menahan sebak sebaik menatap mayat arwah bapanya ditenteramkan ahli keluarga.
Anggota bomba
Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan mayat Zakaria setelah dua jam tersepit dalam kepala lori yang tertimbus dengan muatan batu selepas lori dipandu terbabas ke dal

DUNGUN – “Dia bukan ayah saya, mustahil ayah saya mati, baru pagi tadi kamu sahur bersama,” kata Mohd Saiful Zakaria, 14, yang tidak dapat menerima berita kematian bapanya, Zakaria Shapiee, 41, mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 3.30 petang di tapak kuari dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori baru mengambil batu kelikir dari kuari Sunway, Tebing Tembah, Paka untuk dibawa ke satu kawasan pembinaan di Sri Bandi, Kemaman.

Bagaimanapun, selepas memulakan perjalanan kira-kira 300 meter dari kuari terbabit, lori dipandu arwah dikatakan mengalami masalah enjin pada kotak gear lalu gagal membrek menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.

Muatan batu dalam lori terbabit menghempap bahagian kepala lori menyebabkan mangsa tertimbus lalu tersepit.

Menceritakan detik sebelum tragedi menimpa arwah, Saiful berkata, dia sempat bersahur bersama sebelum bapanya itu keluar dari rumahnya di Sungai Udang seawal jam 4.30 pagi.

Katanya, arwah bapanya  berjanji dengan ibunya, Suriani Mohd Adi,37, untuk berbuka puasa bersama selepas pulang dari kerja.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun itu berkata, dia menerima berita buruk itu daripada seorang jiran yang secara kebetulan bekerja di tempat sama dengan arwah bapanya.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus datang ke sini (tempat kejadian), tapi bila tengok polis bawa turun mayat dari Land Rover, saya tak percaya bahawa dia ayah saya.

“Mustahil itu adalah mayatnya kerana baru pagi tadi kami bersama, lagipun dia janji nak buka puasa bersama,” kata Saiful yang masih trauma.

Bagaimanapun suasana pilu menyelubungi perkarangan Bilik Forensik Hospital Dungun setelah Saiful dibawa masuk untuk mengecam mayat bapanya itu.

Sebaik Saiful membuka kain putih penutup mayat, pelajar tingkatan dua itu tidak dapat menahan sebak apabila mendapati mayat yang terbujur kaku itu sebenarnya adalah insan tersayang yang kali terakhir ditemui waktu sahur sebelumnya.

Saiful yang berlari keluar dari bilik mayat dalam keadaan hiba kemudiannya ditenteramkan ahli keluarga terdekat.

Pasukan penyelamat dengan bantuan kren terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang kemudiannya berjaya dikeluarkan didapati sudah meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan.

Bonus: CUEPACS sambut baik kenyataan PM – Utusan


Bonus: CUEPACS sambut baik kenyataan PM

KUALA LUMPUR 22 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan permintaan bonus kakitangan awam sebelum Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, peningkatan hasil pendapatan negara dan keadaan ekonomi semakin baik sejak kebelakangan ini dilihat mampu memenuhi tuntutan bonus yang dikemukakan pihaknya minggu lalu.

”Walaupun dunia sedang berdepan masalah kegawatan ekonomi, namun ia tidak berlaku di Malaysia kerana kebijaksanaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang berjaya menangani perkara tersebut.

”Sekiranya kerajaan memberikan bonus kepada 1.4 juta kakitangan awam, ia bakal merancakkan ekonomi negara dengan kelancaran aliran wang tunai apabila ia dibelanjakan untuk persiapan Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan kemampuan kewangan negara sebelum memutuskan mengenai permintaan bonus kakitangan awam bersempena Aidilfitri.

Tuntutan bonus itu diputuskan dalam mesyuarat CUEPACS pada 16 Julai lalu yang antara lain meminta kerajaan memberikan sagu hati kepada pesara-pesara bersempena perayaan tersebut.

Ujar beliau, pihaknya berharap kerajaan akan terus membantu dan mempertimbangkan permintaan tersebut untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Omar, permintaan tersebut mampu menyuntik semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik dan bermutu, selain meringankan beban tanggungan 1.4 juta kakitangan awam.

”Bonus dan sagu hati tersebut bakal meringankan beban yang kini ditanggung mereka terhadap peningkatan kos taraf hidup, selain memberi seribu satu wajah kegembiraan kepada kakitangan awam yang selama ini komited kepada usaha dan dasar kerajaan,” katanya.

Kekosongan Jawatan Sebagai Pensyarah Di Kolej-Kolej Matrikulasi


Kekosongan Jawatan Sebagai Pensyarah Di Kolej-Kolej Matrikulasi

Bahagian Matrikulasi mempelawa calon yang berkelayakan berpotensi untuk mengisi jawatan Pensyarah DG44 di kolej-kolej Matrikulasi.Permohonan jawatan boleh dipohon di talian

Mereka berpotensi tinggi: Guru besar – Metro


Mereka berpotensi tinggi: Guru besar

JOHOR BAHRU: Tiga beradik yang kerap ponteng sekolah akibat terpaksa menjual nasi lemak bagi membantu ibu mereka mencari rezeki, disifatkan pelajar berpotensi tinggi dan mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka, Shafiee Omar berkata, tiga kanak-kanak itu masing-masing berada di tahun lima, tiga dan dua sekolah berkenaan sering menunjukkan potensi tinggi dalam pelajaran.
Menurutnya, bagaimanapun, prestasi tiga beradik itu semakin merosot disebabkan mereka sering ponteng sekolah menyebabkan pihaknya menjalankan siasatan dengan melawat rumah mereka.

“Anak lelaki keluarga itu yang kini menuntut di tahun lima, seorang murid cemerlang dalam kelas. Tetapi, disebabkan kerap ponteng sekolah dan menghidap tonsil pelajarannya semakin merosot.
“Saya yakin sekiranya diberikan peluang belajar dalam keadaan selesa dan baik, dia mampu mengubah nasib keluarganya pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di rumah kanak-kanak itu di Kempas di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23

Si cilik sara keluarga – Sinar Harian


Si cilik sara keluarga
Oleh Mary Victoria Dass dan Siti Nadirah Hafidzin
am@hmetro.com.my

RINGAN BEBAN…Noraini bersama anak-anaknya selepas balik dari menjual makanan.
JOHOR BAHRU: Tiga beradik berusia lapan hingga 11 tahun terpaksa ponteng sekolah kerana keletihan menjual nasi lemak untuk menampung keluarga manakala kakak sulung mereka sudah berhenti sekolah disebabkan malu diejek rakan berikutan gagal menjelaskan yuran sekolah.

Itu pengorbanan dan masalah yang membelenggu empat beradik terbabit dan ibu mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini, 35, amat kecewa kerana anak-anaknya itu tidak dapat meneruskan pelajaran seperti rakan lain, sedangkan mereka ada potensi untuk maju.

“Pengorbanan empat anak saya begitu besar nilainya dan tiada tandingan, malah kerana bersusah-payah membantu saya meneruskan kehidupan seharian dengan menjual makanan setiap hari tanpa mengira panas atau hujan.

“Mereka bukan sengaja ponteng sekolah, sebaliknya disebabkan keletihan kerana berjalan lebih tiga kilometer setiap hari menjual nasi lemak, mi goreng dan bihun goreng yang saya buat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kempas, di sini.

 

Noraini berkata, dia terpaksa bergantung kepada tiga anaknya yang dikenali sebagai Hamirul, 11, Nabila, 9, dan Alyah, 8, untuk mencari wang bagi menampung kehidupan kerana suami meninggalkannya dalam keadaan ‘digantung tak bertali’ sejak lima tahun lalu.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23

 

Belasah anak, bakar rumah – Berita Harian


Belasah anak, bakar rumah
06:01:56 AM Nor Fazlina Abdul Rahim dan Fitri Nizam | nfazlina@bharian.com.my Cetak Emel Kawan

Rumah suspek di Taman Serdang Utama hangus dibakar.
Suspek dipercayai ada masalah mental

Serdang: Seorang lelaki, dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, memukul anak lelakinya berusia 15 tahun sebelum membakar rumahnya dua jam kemudian di Taman Serdang Utama, di sini, semalam. Bapa berusia 53 tahun itu, bagaimanapun, tidak melarikan diri malah berada di kawasan rumahnya yang hangus sebelum ditangkap polis di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei, berkata lelaki itu menyerang dan memukul anaknya pada jam 4 pagi, sebelum isterinya membawa mangsa bersama anak yang lain ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai tukang jahit hampir setiap malam mabuk dan akan memukul isteri serta dua anaknya tanpa belas kasihan, namun tidak pernah bertindak sehingga membakar rumah mereka.

Jiran yang enggan dikenali berkata, sebaik suspek pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, lelaki itu terus mengamuk dan memukul anak lelakinya yang ketika itu sedang tidur sehingga cedera.

Katanya, seorang lagi anak perempuan suspek yang menyaksikan ibu serta adiknya dipukul tampil membantu sebelum turut menjadi mangsa lelaki itu.
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera itu dibawa ke Hospital Serdang dengan bantuan jiran. Suspek yang berada di rumah itu terus mengamuk dan membakar kediaman mereka sehingga merebak ke rumah jiran.

“Jiran yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan penyelamat. Api marak begitu cepat menyebabkan rumah suspek terbakar,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.