Pelajar maut motosikal rempuh kereta – Bernama


Pelajar maut motosikal rempuh kereta

31 Julai 2012
KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Felda Lepar Hilir 4 dekat sini malam tadi.

Muhammad Amirul Ermey Anuar, 17, dari Felda Lepar Hilir 4, Gambang mati ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Rizal Abdullah berkata dalam kejadian 11.30 malam itu pemandu kereta terbabit yang datang dari arah Felda Hilir 4 sedang membelok ke kanan untuk masuk ke rumahnya.

“Ketika membelok ke simpang kanan, keretanya dirempuh motosikal yang ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal mangsa tiada lampu dan kawasan itu juga agak gelap,” katanya di sini hari ini.

Mohd Rizal berkata mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gambang untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan pada 1.30 pagi tadi.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

Operasi ponteng PPD Kota Bharu, 12 pelajar ditahan – Bernama


Operasi ponteng PPD Kota Bharu, 12 pelajar ditahan

31 Julai 2012
KOTA BHARU – Masalah tiada anggota keluarga mahu menghantar ke sekolah antara alasan yang diberikan oleh seramai 12 pelajar sekolah menengah di bandar ini yang ditahan kerana ponteng dalam operasi yang dijalankan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu hari ini.

Mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar bandar ini termasuk di Raja Sakti, Telipot, Pintu Geng dan Tanjung Chat serta sedang bermain snuker di sebuah pusat beli-belah.

Kesemua pelajar yang ditahan itu dikumpulkan di Masjid Telipot bagi mengikuti sesi kaunseling bersama imam muda masjid berkenaan, Ahmad Yunus sebelum diserahkan kepada sekolah masing-masing untuk tindakan lanjut.

Seorang pelajar Tingkatan Empat mendakwa dia terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak lima kilometer dari rumahnya di Pintu Geng kerana tiada anggota keluarganya yang mahu menghantarnya ke sekolah.

“Saya ke sekolah pada pukul 9 pagi, ketika sampai di taman permainan kanak-kanak berdekatan sekolah, saya ditahan beberapa anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA),” kata anak bongsu daripada 10 beradik itu ketika ditemui di masjid itu.

Seorang pelajar Tingkatan Dua pula berkata dia memang berniat untuk ponteng hari ini, namun tidak menyangka akan ditahan dalam operasi tersebut ketika sedang melepak bersama beberapa rakannya.

“Saya pakai baju dua lapis hari ini, di luar baju sekolah dan di dalam baju biasa bagi mengaburi ibu dan ayah saya. Saya memang kerap ponteng sekolah kerana sering ikut kawan melepak di beberapa tempat di sekitar bandar ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab Aziz Daud berkata operasi itu adalah kali kedua dilakukan pihaknya dengan bantuan 80 anggota RELA, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Majlis
Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

“Ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa supaya mereka tahu PPD sering mengadakan operasi ponteng. Jadi saya minta pada ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak agar mereka datang ke sekolah,” katanya. – Bernama

Rogol ramai-ramai, dua lagi dijel – Sinar Harian


Rogol ramai-ramai, dua lagi dijel
KHALILAH GUSTI HASSAN
31 Julai 2012
SHAH ALAM – Susulan kejadian rogol beramai-ramai pada bulan Ramadan dua tahun lalu terhadap seorang pelajar berusua 16 tahun, dua lagi dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kedua-duanya yang bekerja di kilang membaiki piano merogol remaja itu ketika mangsa tidak sedarkan diri selepas diberikan dadah dan alkohol ke dalam minumannya, tanpa disedari.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadap Majirin Masungkit, 31, manakala rakannya, Saladin Ajim, 33, dikenakan 10 tahun penjara dan tiga sebatan kerana bersubahat dengan Majirin.

Saladin merupakan bapa kepada empat anak.

Hakim turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tangkap kedua-dua tertuduh iaitu pada 28 Ogos 2010.

Majirin mengaku salah merogol mangsa di tingkat atas rumah kedai di sebuah taman perumahan di Serendah, antara jam 4 pagi dan 10.30 malam pada 27 Ogos 2010.

Saladin pula mengaku salah bersubahat dengan Majirin dan dua lagi rakan mereka merogol pelajar itu di tempat dan pada masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mereka yang berasal dari Sabah menukar pengakuan selepas selepas 11 saksi pendakwaan tampil memberi keterangan.

Sebelum ini, Slamat menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan masing-masing terhadap dua lagi rakan tertuduh, Mohamad Yasar Wandi Modin, 22, dan Suhimin Tius, 21 yang mengaku salah merogol remaja sama.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.

Fakta kes menyebut mangsa dihubungi teman lelakinya, Mohamad Yasar untuk bertemu di warung bersama-sama Suhimin.

Selepas minum mangsa pitam dan apabila tersedar dia dalam keadaan bogel dikelilingi lima lelaki juga bogel, yang sedang tidur.

Mangsa cuba melarikan diri, tetapi terlanggar botol arak menyebabkan rakan teman lelakinya tersedar.

Mereka kemudian mengikat remaja itu dan dan menindih kakinya dengan batu, sebelum merogolnya beberapa kali pada pagi, tengah hari dan malam.

Salah seorang daripada mereka mentertawakan mangsa yang melawan sebelum merogol remaja itu secara bergilir-gilir.

Mangsa dibiarkan keletihan tanpa diberi makan atau minum sehingga dia berjaya melepaskan diri.

Lima beradik perlukan bantuan – Bernama


Lima beradik perlukan bantuan

31 Julai 2012
PENGKALAN HULU – Seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah di Kelian Intan di sini dengan pendapatan RM600 sebulan hanya mampu meraih simpati bagi membesarkan dan menyekolahkan lima anaknya.

Zaleha Ahmad, 49, sentiasa bimbangkan masa depan anak-anaknya itu selepas kematian suaminya Mohd Yusof Ali, 59, akibat kemalangan jalan raya pada hari pertama Ramadan ini.

Lebih memeritkan lagi, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan kepada allahyarham suaminya sebelum ini yang menghidap sakit jantung juga telah dihentikan.

“Setiap hari persekolahan saya memerlukan wang sekurang-kurangnya RM15 sehari, tidak termasuk belanja dapur untuk kami empat beranak makan secara ala kadar sejak arwah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Penempatan Semula Masyarakat di Kampung Bukit Buluh di sini hari ini.

Anak sulungnya, Nur Hakimah, 15, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban di sini, Mohd Hazrul Nizam, 13, di Sekolah Menengah Pengkalan Hulu, Nurul Shakila, 12, tinggal di asrama Pengajian Agama Al Taqwa di sini, Mohd Ikhrul Ikhwan, 10, di Sekolah Kebangsaan Kelian Intan sementara anak bongsu, Mohd Ashraf berusia enam tahun.

Zaleha yang bersyukur kerana Nurul Shakila kini tinggal di asrama anak anak yatim Al Taqwa berkata:”Saya tidak mampu menyediakan pakaian hari raya untuk anak anak”.

Setiap hari kerja dia akan ke lombong seawal 7 pagi dan pulang ke rumah pukul 3 petang.

Ketika ibunya bekerja, Nur Hakimah terpaksa memasak sebaik pulang dari sekolah.

Penderitaan lima beranak ini mendapat perhatian Naib Ketua Umno Bahagian Gerik, Aznil Ibrahim yang tampil menghulurkan sumbangan wang bagi meringankan beban keluarga ini.

“Saya berharap, pihak JKM daerah akan dapat menyambung bantuan bulanan kepada Zaleha dalam kadar segera memandangkan kesempitan hidup yang ditanggungnya,” katanya.

Lebih menyedihkan, rumah mereka hanya mempunyai dua lampu sahaja iaitu di bahagian ruang tamu dan di bilik dapur.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, boleh menyumbang melalui Bank Islam atas nama Nur Hakimah Mohd Yusuf (Nombor Akaun: 02048020477018). – Bernama

Pengetua wanita bergelut dengan peragut – Sinar Harian


Pengetua wanita bergelut dengan peragut
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012

Asistan Komisioner Azham Othman
KOTA BHARU – Seorang wanita yang juga pengetua sebuah sekolah berusia 51 tahun serta membawa senaskhah al-Quran ketika keluar membeli belah di kedai buku di sini terselamat dari diragut apabila dia dibantu orang ramai dalam kejadian di Jalan Maju di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa memegang al-Quran di tangan kanannya sementara beg tangan digalas di bahu kiri.

Dia yang berjalan menuju ke tempat letak kereta tidak jauh dari kedai buku itu bagaimanapun dihampiri dua lelaki sebelum pemboncengnya meragut beg tangan wanita itu.

Ketua Polis Daerah, Asistan Komisioner Azham Othman berkata, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan lelaki berusia 21 tahun itu terjatuh dari motosikal dinaiki.

“Orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian membantu mangsa dan menahan suspek, bagaimanapun rakannya itu berjaya melarikan diri dengan memecut motosikal jenis Yamaha 125Z.

“Beg tangan mangsa selamat dan dia hanya mengalami luka kecil di pergelangan tangan dan siku,” katanya kepada Sinar Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Azham berkata, suspek yang berasal dari Pasir Pekan, Tumpat kini ditahan reman manakala rakannya diminta tampil untuk membantu
siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut,” katanya.

Remaja lemas lepas bersih tebing – Sinar Harian


Remaja lemas lepas bersih tebing
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012

Priasamy (dua, kanan) menceritakan sesuatu kepada pegawai bomba di tempat kejadian.
SUNGAI SELISEK – Mayat remaja yang mati lemas selepas mandi berseorangan di Sungai Bernam berjaya ditemui jam 9.30 malam, semalam.

Operasi menyelamat kali kedua yang dilakukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya menemui mayat mangsa selepas percubaan kali pertama gagal.

Mangsa, C Partiban, 16, dikatakan mandi kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas membersihkan kawasan tebing sungai itu bersama beberapa rakan dan penduduk kampung bagi persiapan sambutan Taipusam 2 Ogos ini.

Bapa mangsa, S Chandran, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di kilang besi Behrang 2020, Perak dekat sini sebelum menerima panggilan rakannya berhubung kejadian itu.

“Saya bergegas pulang dan ketika itu anggota bomba sedang mencari anak saya yang dikatakan tenggelam di lubuk sungai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saksi kejadian, K Priasamy, 53, berkata, dia cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana turut disedut air.

Menurutnya, dia cuba menarik rambut mangsa tetapi sedutan air di lubuk itu sehingga menenggelamkannya memaksa dia melepaskan rambut mangsa lalu menyelamatkan diri.

“Saya turut tenggelam disedut air jadi saya terpaksa selamatkan diri naik ke tebing.

“Sebelum itu, dua rakan Partibhan sudah cuba menyelamatkannya tapi mereka tidak pandai berenang, jadi mereka mengalah,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian dia menasihati mangsa supaya tidak mandi di sungai berkenaan namun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Katolik, Tanjung Malim itu tidak mengendahkan tegurannya.

Jelasnya, melihat mangsa mandi dia membaling batu ke sungai sambil menjerit jangan mandi dan ketika itu mangsa dilihat tenggelam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

Ponteng sekolah jaga ayah – Sinar Harian


Ponteng sekolah jaga ayah
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012

Ahmad Hamzah menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada Gunari
MERLIMAU – Dengan pendapatan sekadar RM500 sebulan, sudah pastinya sukar untuk membesarkan lima anak.

Namun, bagi Ros Tumpang, 47, dia tetap tabah biarpun suaminya, Gunari Aril, 48, diserang angin ahmar sejak April lalu.

Bukan setakat itu, empat anaknya berusia 8 hingga 16 tahun terpaksa ponteng sekolah secara bergilir-gilir untuk menjaga ayahnya yang masih terlantar sakit.

Ros berkata, dia bernasib baik kerana masih ada ibu dan adik-beradik yang boleh membantu.

“Saya bekerja di ladang estet Merlimau dari 6 pagi saya keluar rumah sehingga 3 petang.

“Memang saya risau dengan keadaan sekarang hendak memikirkan anak-anak yang masih bersekolah dan menyambut ketibaan Aidilfitri,” katanya ketika menerima kunjungan Konvoi Belia
Prihatin Ramadan 2012 anjuran Majlis Gabungan Belia Malaysia (MGMB) yang diketuai Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah.

Hidung retak disepak senior – Metro


Hidung retak disepak senior
BUKIT MERTAJAM: Hanya kerana tidak sengaja menjatuhkan motosikal rakan, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di sini, retak tulang hidung ditendang seorang pelajar senior dalam kejadian di tingkat bawah blok bangunan sekolah berkenaan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, pelajar terbabit, U Thiagu, 15, berkata, dia dikelilingi sekumpulan pelajar senior tingkatan empat dan lima ketika baru turun dari kelas.
Menurutnya, belum sempat dia bertanya, seorang pelajar senior menendang hidungnya menyebabkannya berdarah.

“Sejurus hidung berdarah, saya meluru ke tandas. Seorang pelajar tingkatan lima yang terkejut melihat keadaan saya membawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan sebelum saya memaklumkan kejadian kepada bapa,” katanya.
Dipercayai, kejadian itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati selepas mangsa secara tidak sengaja menjatuhkan motosikal pelajar sebayanya ketika berjalan bersama seorang lagi rakan untuk menunggu bas, jam 1.10 tengah hari, sehari sebelumnya.
Mangsa dikatakan tidak sedar beg digalasnya tersangkut pada bahagian pemegang motosikal berkenaan sebelum terjatuh.

“Saya tidak tahu kenapa dia (senior) tendang saya sedangkan saya tidak buat salah apa-apa terhadapnya.
“Ketika kejadian, pemilik motosikal yang saya jatuhkan itu ada bersama, tetapi dia tidak berbuat apa-apa. Saya sangka hal saya dengan pelajar itu selesai kerana kami mencapai kata sepakat melupakan hal itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Batu Mukim 11, di sini.

Sementara itu, bapa Thiagu, K Uthayakumar, 47, berkata, dia ke sekolah sejurus menerima panggilan daripada anak bongsunya berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun, dia kecewa apabila guru disiplin memberitahu kejadian berlaku di luar kawasan sekolah dan meminta membuat laporan polis jika tidak berpuas hati.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/31

Dua beradik ditelan ombak – Metro


Dua beradik ditelan ombak
Oleh Norasikin Daineh dan Hayati Nasrah
hmkk@hmetro.com.my

KUDAT: Kegembiraan lima remaja mandi-manda di Pantai Tindakon Dazang, dekat sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka yang juga adik- beradik lemas dihanyutkan ombak, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mayat Jaidi Injau, 24, ditemui ahli keluarga, jam 9.30 malam pada hari kejadian, manakala adiknya, Wilson, 14, ditemui pasukan penyelamat, jam 7.44 pagi, kelmarin.
Difahamkan, dua beradik itu bersama tiga lagi sepupu mereka ke pantai itu untuk mandi sebelum dihanyutkan ombak menyebabkan kelima-lima mereka lemas, manakala tiga lagi sepupu dapat menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Mustama Oyong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.03 petang dan tiba di tempat kejadian sejam kemudian.
“Pihak kami memulakan operasi menyelamat pada jam 4.04 petang dan seramai tiga anggota diarahkan ke pantai ini bagi mencari mangsa yang hilang selain turut dibantu ahli keluarga mangsa.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/31

Polis Sahkan Kematian Seorang Pelajar MTD – Bernama


Polis Sahkan Kematian Seorang Pelajar MTD
KUALA LUMPUR: Polismengklasifikasikan kematian seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi di maktab itu pada Isnin sebagai mati mengejut.

Ketika mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang pelajar lelaki MTD itu, Ketua Polis Daerah Cheras Mohan Singh Tara Singh berkata siasatan awal ke atas mayat pelajar berusia 16 tahun itu tidak menemui sebarang tanda jenayah atau kecederaan fizikal.

“Siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dalam kejadian itu dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata bedah siasat oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) juga menunjukkan tiada tanda-tanda perlakuan jenayah berlaku yang membawa kepada kematian pelajar tingkatan empat itu.

“Siasatan lanjut masih dibuat dan polis berharap kematian itu tidak dispekulasikan,” katanya. -BERNAMA