‘Kami nak raya sama mama, abah’ – Sinar Harian


‘Kami nak raya sama mama, abah’
NORHAFIZA MUSA
26 Julai 2012

Abd Ghani (duduk tengah) bersama empat cucunya diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh Great Clean Servis di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, semalam.
KUALA TERENGGANU – Tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang anak melainkan dapat menyambut hari raya bersama kedua ibu bapanya. Namun harapan itu hanya tinggal kenangan bagi empat beradik yang berasal dari Pulau Duyong ini setelah ditinggalkan ibu bapa mereka.

Apalah yang difahami Kamarul Hamizan Ahmad Kamal, 10, Nur Balqis, 8, Fatin Nurzalia, 5 dan Faris Fauzan, 4 akan erti hidup berkeluarga apabila mereka dipaksa menerima kenyataan membesar sebagai ‘anak yatim piatu’ biarpun kedua ibu bapa mereka masih hidup.

Biarpun pilu melihat kanak-kanak lain mempunyai tempat mengadu dan bermanja namun jiwa luhur mereka bagi menggantung harapan untuk beraya bersama ibu bapa tersayang.

Lebih malang, apabila datuk mereka, Abd Ghani Jusoh, 64 yang bekerja sebagai nelayan terpaksa melepaskan hak penjagaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dua tahun lalu kerana faktor usia dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sejak itu, empat kanak-kanak tersebut menghuni Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi di Teluk Ketapang, Seberang Takir bersama keluarga angkat.

“Saya ingin beraya bersama abah dan mama, kami sangat rindukan mereka. Rabu lepas, abah ada datang jumpa kami, dia pesan supaya kami belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang baik,” kata Kamarul Hamizan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu.

Mereka ditemui Sinar Harian ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama datuknya yang dianjurkan Great Clean Servis di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong.

Sementara itu, kata Abd Ghani, bukan niatnya untuk tidak mahu menjaga cucunya tetapi dia mengalami masalah kesihatan dan kurang mampu dari segi kewangan.

“Tinggal di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi makan minum lebih terurus dan ada yang menjaganya. Saya memang tidak mampu untuk menjaga mereka. Bukan hanya tidak mampu sediakan makan dan minum tetapi juga tidak mampu menjaga mereka kerana masalah kesihatan.

“Dengan usia mereka sekarang, sangat lasak terutama yang kecil tidak mampu dijaga dengan kudrat yang ada,” katanya.

Katanya, demi masa depan mereka, dia terpaksa mengambil keputusan begitu kerana jika ingin meminta bantuan anak yang lain, mereka juga ada masalah kewangan dan tidak mampu untuk menyara mereka.

Walaubagaimanapun, sekali-sekala dia akan menjenguk cucunya itu untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu.

“Jika ada kenduri atau pada hari raya saya akan membawa pulang untuk beraya bersama mereka,” katanya.

Walaupun begitu, Abd Ghani tidak akan membenarkan sama sekali empat cucunya itu dipisahkan.

“Jika ada yang ingin mengambil anak angkat mereka perlu mengambil kesemua mereka, jika tidak, tak payahlah,” katanya.

Sinar Harian difahamkan bapa kepada kanak-kanak ini dikatakan sering keluar masuk pusat pemulihan manakala ibu mereka tidak dapat dikesan sejak dua tahun lalu.

Terlepas tuduhan cabul budak perempuan – Metro


Terlepas tuduhan cabul budak perempuan
KLANG: Seorang pekerja pasar mini warga Indonesia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, daripada tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, tahun lalu.

Majistret Azlinda Mohd Sharif membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Muntasir, 24.
Sepanjang perbicaraan pada peringkat kes pendakwaan, seramai lima saksi tampil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Muntasir didakwa melakukan perbuatan itu di pasar mini Samudera, Lot 1849, Kampung Sungai Pinang, Tanjung Syawal, Jalan Kapar di sini, antara jam 3 hingga 3.30 petang, pada 27 September tahun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala, Muntasir diwakili peguam Rasshidi Syed.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26

Remaja serah diri – Metro


Remaja serah diri
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang diburu polis selepas menikam bekas kekasihnya tampil menyerah diri di Balai Polis Sentul, di sini, semalam.

Pelajar lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong sayur itu dilaporkan bertindak menikam bekas kekasihnya itu sebanyak tiga kali di perut dan pinggang selepas tidak dapat menerima pelajar perempuan berkenaan meninggalkannya dan bercinta dengan orang lain yang juga rakan sekolahnya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek akan direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu di pangsapuri di Taman Datuk Senu, di sini, Jumaat lalu, mangsa yang ditemani kekasih barunya bertemu dengan suspek di lokasi kejadian.
“Sebelum kejadian, mangsa dipercayai bertengkar dengan suspek kerana remaja itu tidak dapat menerima dirinya ditinggalkan pelajar perempuan berkenaan.
“Suspek yang hilang pertimbangan kemudian menikam mangsa sebelum melarikan diri. Namun, akibat panik, suspek tertinggal pisau berkenaan di lokasi kejadian,” katanya memberitahu teman lelaki baru mangsa yang menyaksikan kejadian berkenaan segera menjerit meminta bantuan orang ramai.

Zakaria berkata, mangsa yang mengalami cedera parah kini dilaporkan stabil namun masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Menurutnya, ketiga-tiga pelajar terbabit adalah dari sekolah menengah yang sama di Sentul dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26

Ditemui merayau – Metro


Ditemui merayau
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Menyedihkan apabila seorang pelajar madrasah ditemui berkeliaran tanpa hala tuju dalam keadaan berkaki ayam dan berpakaian lusuh di pekan ini, Isnin lalu.

Mangsa berusia 13 tahun yang memakai seluar dan baju sukan berwarna kuning serta bertopi merah itu ditemui kebingungan oleh anggota keselamatan kira-kira jam 9 malam.
Sumber berkata, beberapa anggota keselamatan yang melihat gerak-geri mangsa mendekatinya dan meminta dia menunjukkan rumahnya.

“Anggota keselamatan kemudian membawa pelajar itu ke beberapa rumah di sekitar pekan ini, namun penghuninya menafikan itu adalah anak mereka.
“Selepas buntu mencari rumahnya, pelajar itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya di sini, semalam.
Katanya, pelajar malang itu dihantar ke JKM bagi mendapatkan perlindungan sementara sebelum usaha mengesan ibu bapanya dilakukan.
Pegawai JKM Daerah Alor Gajah, Shahrawati Shahruddin berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima pelajar terbabit yang ditemui merayau di sekitar pekan ini, kelmarin.
Katanya, mangsa dihantar dua anggota keselamatan kira-kira jam 2 petang dan pihaknya mendapati pelajar itu seperti ketakutan dan hanya mendiamkan diri.

“Selepas dipujuk, pelajar itu memberitahu dia tinggal di Tanjung Agas, Port Dickson. Kami kemudian terus ke rumah keluarganya dan diberitahu mangsa masih bersekolah di sebuah madrasah di Gadek, dekat sini, sebelum membawanya ke sana.
“Pengetua madrasah mengakui budak itu adalah pelajarnya dan memberitahu sudah membuat laporan polis berhubung kehilangannya,” katanya.
Menurutnya, pelajar itu kemudian diserahkan kepada madrasah berkenaan memandangkan dia masih belajar di sana.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan terus memantau pergerakan pelajar terbabit bagi mengelak kejadian sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26

‘Saintis’ pencuri – Metro


‘Saintis’ pencuri
Oleh Norasikin Daineh
norasikin@hmetro.com.my

KENINGAU: Minat terhadap mata pelajaran sains sesuatu yang positif, namun keadaan menjadi sebaliknya bagi seseorang pelajar apabila dia menjadikan bilik tidurnya seperti makmal mini menggunakan peralatan dipercayai dicuri dari makmal di sekolahnya.

Kegiatan pelajar berusia 16 tahun itu terbongkar selepas ibunya yang meninjau keadaan bilik anaknya menemui pelbagai jenis peralatan sains bernilai tinggi sebelum memaklumkan perkara itu kepada pengurusan sekolah.
Selepas pengurusan sekolah membuat laporan polis, pelajar itu bersama dua rakannya yang berusia 11 tahun, ditahan jam 10 malam kelmarin.

Pemeriksaan polis di dalam bilik pelajar berkenaan menemui mikroskop, penunu bunsen, tukul, ragum, balang gas dan model rangka arnab yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3,500.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga pelajar itu memecah masuk makmal di sekolah mereka untuk melarikan barangan berkenaan.
Menurutnya, semua pelajar terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan semua peralatan makmal yang hilang berjaya ditemui.

“Tiga pelajar itu ditahan di Kampung Moloson dan seorang daripada mereka mengaku menyembunyikan barangan makmal yang mereka ambil di sekolah di rumahnya.
“Ketika soal siasat, ketiga-tiga mendakwa hanya mahu melakukan eksperimen sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26

Remaja dituduh membunuh – Utusan


Remaja dituduh membunuh

PETALING JAYA 25 Julai – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang ejen pengangkutan, akhir tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh A. Murugaiyah, 24, di persimpangan lampu isyarat, Batu 16, Sungai Pelong, Jalan Kuala Selangor, di sini antara pukul 3 pagi dan 5 pagi, 12 Disember tahun lalu.

Tertuduh dari Sungai Buloh, dekat sini mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahab.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Ahmad rayu bantuan rawat penyakit mental isteri, anak – Utusan


Ahmad rayu bantuan rawat penyakit mental isteri, anak
Ahmad Ali dan Sanah Mat (kanan) bersama tiga anak mereka (dari kiri), Siti Musliha, Mohd. Firdaus dan Mek Ah yang menghidap penyakit mental di Kampung Relong, Mukim Jeneri, Sik, Kedah, semalam.
SIK 25 Julai – Sama seperti tahun sebelumnya, sepasang suami isteri, Ahmad Ali, 54, dan Sanah Mat, 46, bersama tiga anaknya menyambut Ramadan dalam serba kekurangan di sebuah rumah usang di Kampung Relong, Jeneri dekat sini.

Mereka yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebaliknya hanya mampu mengharapkan belas kasihan sanak-saudara.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Sanah dan anak-anak mereka iaitu Mek Ah, 15, Siti Musliha, 14, dan Mohd. Firdaus, 10, kini menderita selepas disahkan doktor menghidap penyakit dikenali Mental Retardation (MR).

Impikan beraya bersama ibu – Utusan


Impikan beraya bersama ibu
Roni Abdul Ghani membaca doa berbuka puasa bersama cucu-cucunya dari kiri, Kamarul Hamizan Ahmad Kamal, Kamalina Nur Balqism, Faris Fauzan dan Fatin Nurzalina ketika dipertemukan di Riyaz Heritage, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU 25 Julai – Kamarul Hamizan Ahmad Kamal, 10, tidak tahu mengapa ibu dan ayahnya meninggalkannya bersama tiga lagi adiknya dan hilang begitu sahaja daripada hidup mereka sejak dua tahun lalu.

Namun, kanak-kanak itu mengagak mungkin dia dan adik-adiknya sering menyusahkan ibu dan ayah mereka kerana acap kali meminta dibelikan sesuatu.

Akibat ditinggalkan ibu bapa mereka, Kamarul bersama adiknya Kamalia Nur Balqis, 8; Fatin Nurzalia, 5; dan Faris Fauzan, 4, kini menetap di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi di Teluk Ketapang, Seberang Takir, dekat sini sejak lebih setahun lalu.

Bonus Aidilfitri: Cuepacs ucap terima kasih – Bernama


Bonus Aidilfitri: Cuepacs ucap terima kasih

25 Julai 2012

Cuepacs
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pemberian bonus dan juga Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap dedikasi penjawat awam serta pesara kerajaan.

“Pemberian bonus dan bayaran khas ini memang sungguh bermakna khasnya kepada penjawat awam yang berpendapatan sederhana terutamanya bagi membuat persiapan perayaan (Aidilfitri) yang bakal tiba,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pemberian bonus dan bayaran khas yang akan dibuat pada 9 Ogos itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Omar turut berharap penjawat awam dan pesara kerajaan akan menggunakan pemberian bonus dan bayaran khas itu dengan sebaik-baiknya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, bayaran khas itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap para pesara yang dahulunya pernah berkhidmat dan berkorban tenaga dalam proses pembangunan negara.

Katanya ini menunjukkan Najib, seorang pemimpin yang bersikap mulia dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam serta pesara kerajaan.

Pesara kerajaan hendaklah menggunakan bonus secara berhemah, berjimat-cermat untuk melakukan perkara yang berfaedah, katanya.

Bagi penjawat awam yang masih berkhidmat, beliau menasihatkan mereka harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang boleh diterjemahkan untuk kejayaan negara. – Bernama