Pelajar sekolah tikam bekas kekasih kerana cinta – Bernama


Pelajar sekolah tikam bekas kekasih kerana cinta

25 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Cinta tiga segi remaja berusia 15 tahun berakhir dengan tragedi apabila seorang pelajar perempuan ditikam tiga kali menggunakan pisau dapur manakala bekas kekasihnya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian pukul 4 petang, Jumaat lepas, pelajar perempuan itu ditikam sebanyak tiga kali di bahagian perut dan pinggang oleh bekas kekasihnya itu.

Katanya kejadian yang berlaku di Pangsapuri Taman Datuk Senu di sini itu turut disaksikan oleh kekasih baharu mangsa yang dipercayai menemani mangsa berjumpa bekas kekasihnya itu.

“Sebelum kejadian, dipercayai pelajar tersebut telah bertengkar dengan bekas kekasihnya yang tidak dapat menerima dirinya ditinggalkan pelajar perempuan itu kerana mempunyai kekasih baharu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Zakaria berkata selepas menikam mangsa, suspek panik dan tertinggal pisau di tempat kejadian semasa melarikan diri sebelum kekasih baharu pelajar perempuan itu menjerit meminta bantuan.

Beliau berkata ketiga-tiga pelajar adalah dari sekolah menengah yang sama di Sentul.

Beliau berkata mangsa yang mengalami cedera parah kini stabil dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Zakaria berkata suspek yang menyerah diri semalam kini ditahan reman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. – Bernama

Ibu bapa digalak jalani pemeriksaan cegah Sindrom Marfan – Bernama


Ibu bapa digalak jalani pemeriksaan cegah Sindrom Marfan

25 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan anak yang mempunyai simptom seperti kaki dan tangan yang panjang serta bentuk jari-jemari seakan labah-labah digalakkan menjalani ujian mengesan penyakit ‘Sindrom Marfan’, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Sae Kie.

Beliau berkata ‘Sindrom Marfan’ ialah penyakit genetik yang boleh menyebabkan masalah injap jantung berkembang sehingga mungkin mengakibatkan pesakit mati mengejut.

Pesakit biasanya dikesan menghidap penyakit, yang sudah mencapai tahap serius, kerana penyakit genetik ini tidak mudah dikesan pada peringkat awal,katanya.

“Oleh itu, jangan pandang ringan terhadap simptom-simptom itu, sesiapa yang mempunyai simptom sedemikian diminta menjalankan pemeriksaan kesihatan di mana-mana hospital bagi pencegahan awal,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak menghidap penyakit ‘Sindrom Marfan’, Choong Kai Sheng, 11, di Hospital Selayang, hari ini.

Kai Sheng, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur setelah mengadu sakit dada lalu pengsan pada 21 Jun lepas, disahkan menghidap penyakit itu selepas ayahnya meninggal dunia secara mengejut pada dua tahun lepas.

Kanak-kanak itu dipindahkan ke Hospital Selayang pada Jumaat lepas setelah keadaannya bertambah serius dan kini berada dalam keadaan koma.

Menurut Heng, selain Kai Sheng, dua lagi adik-beradiknya iaitu abangnya, Kai Yin, 14, dan adik perempuannya, Pui Leng, 9, turut disahkan menghidap penyakit genetik itu tetapi masih terkawal.

“Mereka sekeluarga termasuk ibunya akan menerima peruntukan daripada Yayasan Kebajikan Masyarakat di bawah kementerian sebanyak RM300 bermula 1 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr Mohd Suhaimi A. Majid berkata apabila ibu atau bapa dikesan menghidap penyakit itu, risiko anak-anak yang menghidap penyakit ini adalah 50 peratus.

Beliau berkata walaupun peratusan penghidap penyakit ini adalah kecil, orang ramai digalakkan menjalani pemeriksaan di klinik ataupun hospital berdekatan dengan memberi sampel darah untuk mengesan penyakit genetik itu. – Bernama

Semakan Keputusan KURSUS INDUKSI SISTEM SARAAN MALAYSIA (KISSM) 2012 bagi Perkhidmatan Guru Kelolaan Jabatan Pelajaran Negeri


Semakan Keputusan KURSUS INDUKSI SISTEM SARAAN MALAYSIA (KISSM) 2012 bagi Perkhidmatan Guru Kelolaan Jabatan Pelajaran Negeri

Sukacita dimaklumkan, semakan Keputusan KURSUS INDUKSI SISTEM SARAAN MALAYSIA (KISSM) 2012 bagi Perkhidmatan Guru Kelolaan Jabatan Pelajaran Negeri boleh dibuat mulai 25 Julai 2012 (Rabu). Calon boleh menyemak keputusan tersebut dengan melayari laman sesawang : http://www.moe.gov.my

Tarikh Mula Siar : 25 Julai 2012 ( Rabu )
Tarikh Akhir Siar : 31 Dis 2012 (Isnin)
url: Klik di sini

PM: Bonus raya setengah bulan – Bernama


PM: Bonus raya setengah bulan

25 Julai 2012

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan,” katanya.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara. – Bernama

Link lain berkaitan: http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=683147

Penjual batu permata didakwa culik anak Datuk – Bernama


Penjual batu permata didakwa culik anak Datuk

25 Julai 2012
SHAH ALAM – Seorang penjual batu permata dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menculik, mengurung dan menahan seorang budak lelaki berumur sembilan tahun yang juga anak kepada seorang ‘Datuk’, bagi menuntut wang tebusan RM850,000 tujuh tahun lepas.

K. Sangelee Thevan, 38, dari Kulim, Kedah, didakwa bersama V. Ayakannu, 39, yang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan sama serta dua lagi yang masih bebas melakukan perbuatan itu di Seksyen 13 di sini, kira-kira 1.30 tengah hari pada 4 Mac 2005.

Sangelee Thevan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang ditangkap pada 12 Julai lepas mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, namun tiada pengakuan direkodkan. Majistret Nurul Syahida Zainal menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 2007, Ayakannu, seorang buruh kontrak, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas dia mengaku bersalah terhadap kesalahan itu. – Bernama

Remaja didakwa bunuh seorang lelaki – Bernama


Remaja didakwa bunuh seorang lelaki

25 Julai 2012
PETALING JAYA – Seorang remaja yang menganggur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang lelaki tahun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian pada tahun lepas didakwa membunuh A.Murugaiyah, 24, di lampu isyarat Batu 16, Sungai Pelong, Jalan Kuala Selangor, di antara 3 pagi hingga 5 pagi, 12 Disember 2011.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

SKSS 1 juara taekwondo – Sinar Harian


SKSS 1 juara taekwondo
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Peserta taekwondo yang mengambil bahagian pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung selama tiga hari di Dewan SK Sultan Sulaiman I.
KUALA TERENGGANU – Atlet taekwondo Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung di Dewan SKSS I baru-baru ini.

Selaku tuan rumah kejohanan yang julung kali diadakan itu, SK Sultan Sulaiman I berjaya meraih 10 pingat emas, dua perak dan 10 gangsa dalam dua kategori yang dipertandingkan bagi lelaki dan perempuan peringkat sekolah rendah.

Tempat kedua pula menjadi milik atlet dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman II dengan kutipan dua pingat emas, empat perak dan enam gangsa.

Manakala, milik tempat ketiga yang bergaya dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa jatuh kepada atlet taekwondo cilik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud, Besut.

Bagi Kategori Sekolah Menengah pula, juara menjadi milik pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut dengan kutipan empat emas, lima perak dan dua pingat gangsa mengalahkan MRSM Kota Putra di tempat kedua dengan kutipan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Penganjur kejohanan yang juga ketua jurulatih Kelab Taekwondo Teguh, Mohd Salihin Abdullah berkata, penganjuran kejohanan bagi kali pertama itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan ia bakal dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet taekwondo berbakat negara.

Menurutnya, seramai 700 peserta daripada 250 sekolah rendah dan menengah daripada lapan negeri mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.

“Antara negeri yang turut serta termasuklah Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Terengganu sendiri selaku tuan rumah.

“Malah, kejohanan ini juga turut melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah Kluster dan juga sekolah berprestasi tinggi (SBT) dari seluruh negara,” katanya.

Kejohanan itu anjuran bersama Kelab Taekwondo Teguh, Kelab Taekwondo Action.

Sementara itu, SK Sultan Sulaiman 1 selaku tuan rumah turut diiktiraf Kementerian Pelajaran Malaysia terutama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

Remaja 15 tahun cederakan ibu, ugut guna sabit – Sinar Harian


Remaja 15 tahun cederakan ibu, ugut guna sabit
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang
TELUK INTAN – Niat seorang ibu menegur anaknya yang berusia 15 tahun tidak berpuasa pada bulan Ramadan, membawa padah apabila wanita itu nyaris ditetak di rumahnya di Chenderong Balai, di sini, petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, wanita yang berusia 40-an itu terlihat anak lelakinya sedang makan lalu menegurnya.

Menurut Kok Liang, wanita itu menegur anaknya supaya tidak makan di hadapan adik-beradik yang lain kerana perbuatan itu tidak sopan dan teguran itu menyebabkan remaja berkenaan tidak berpuas hati.

“Teguran wanita itu mengundang kemarahan anaknya dan dia bertindak agresif dengan menumbuk muka serta mencekik leher wanita itu sehingga mengakibatkan kecederaan di beberapa bahagian wajahnya,” katanya.

Remaja berkenaan yang bekerja di kedai memproses ayam dekat sini, turut mengugut akan mencederakan wanita itu dengan lebih teruk kerana dia mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Tambah beliau, wanita terbabit dikatakan dalam proses penceraian dengan ayah remaja berkenaan dan proses itu sudah berjalan kira-kira tiga bulan.

“Namun begitu, wanita itu menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh suspek sehingga menyebabkan suspek menjadi semakin berang dan bertindak mengambil sebilah sabit untuk tujuan mahu menetak ibu kandungnya sendiri.

“Wanita terbabit berusaha untuk melepaskan diri dan berjaya melarikan diri ke rumah jirannya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, wanita itu telah membuat laporan polis kelmarin, kira-kira jam 10 pagi dan berdasaran laporan yang dibuat, pihaknya melancarkan usaha mencari suspek.

“Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama ibunya membuat laporan.

”Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja – Sinar Harian


Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
SABAK BERNAM- Perubahan sikap seorang guru wanita yang menjadi pasif dan pendiam membongkar rahsia dia dirogol rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 5 pagi, 14 April lalu, mangsa yang baru bangun dari tidur diterkam suspek berusia 37 tahun di ruang tamu rumahnya sebaik sahaja dia membuka pintu.

“Suspek seorang guru sekolah rendah bertindak menerkam dan merogol mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah.

“Bagaimanapun tiada ugutan yang dibuat dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Noor Mushar, disebabkan kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun itu trauma dan berubah sikap menjadi pasif serta pendiam yang kemudiaannya perubahan itu disedari oleh suami mangsa.

“Mangsa yang pada mulanya takut menceritakan tragedi itu akhir terpaksa mengakui menjadi mangsa rogol selepas didesak berkali-kali oleh suaminya.

“Mangsa ditemani suami kemudiaannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, kira-kira jam 2 petang, Ahad lalu,” katanya,

Berdasarkan laporan yang diterima, polis bertindak menahan suspek yang sudah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata itu di kediamannya di sekitar Sungai Besar kira-kira jam 10 malam, pada hari sama laporan dibuat.

“Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Sementara itu, katanya, orang ramai diminta segera membuat laporan dan tidak mendiamkan diri sekiranya menjadi mangsa jenayah.

“Laporan itu penting bagi memudahkan siasatan dijalankan dan membolehkan tindakan segera diambil ke atas penjenayah,” katanya.