BERNAMA nafi keluar berita bonus Hari Raya – Bernama


BERNAMA nafi keluar berita bonus Hari Raya
16:00:27 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: BERNAMA tidak mengeluarkan berita yang melaporkan kononnya kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada semua penjawat awam untuk sambutan Hari Raya Puasa tahun ini, kata Ketua Pengarangnya, Datuk Yong Soo Heong.

Berita palsu itu disiarkan Isnin lalu dalam sebilangan akaun Facebook selepas mereka yang tidak bertanggungjawab itu menampalkannya pada satu halaman portal berita “myMetro”, untuk membuatkannya kelihatan sahih. “Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pengguna siber yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
“Sementara BERNAMA sentiasa bersyukur apabila semua berita kami diakui dan diiktiraf, tapi ianya bukan sesuatu yang lucu apabila nama kami disalahguna,” katanya.

Yong berkata, satu laporan polis akan dibuat hari ini. – BERNAMA

Saluran darah Fatihah semakin mengecil – Sinar Harian


Saluran darah Fatihah semakin mengecil
NOR RAIDAH AWANG
4 Julai 2012

3 beradik menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta
penjagaan rapi perlu bantuan
SHAH ALAM – Kesihatan Nurul Fatihah Zanery, 8, berada di tahap yang membimbangkan apabila saluran darah di tangan kanannya semakin mengecil.

Ibunya, Adiana Othman, 34, berkata, kesan daripada masalah itu, Fatihah tidak lagi dapat menggerakkan tangannya dan sering mengadu kesakitan.

“Setakat ini, pihak hospital tidak memberi sebarang ubat tahan sakit kepada Fatihah dan saya terpaksa meletakkan ais bagi mengurangkan kekejangan di bahu dan tangannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Adiana, pihak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memaklumkan akan membuat pembedahan pada Ramadan ini, namun ia bergantung kepada keputusan ujian imbasanmagnetik resonan (MRI).

“Saya berharap keputusan yang akan diterima esok (hari ini) positif, kerana jika tidak, masa depan Fatihah akan gelap memandangkan tangan kanannya tidak lagi dapat bergerak seperti sebelumnya,” ujarnya.

Sementara itu, anak sulung pasangan ini, Nurul Huda, 12, yang menghidap tiroid berada dalam keadaan kritikal kerana semakin kerap muntah berdarah dan memerlukan rawatan dengan segera.

Manakala anak keduanya, Muhammad Amir, 11, yang mengalami penyakit saraf tunjang kongenital dan masalah kawalan ke atas saluran kencing, menunjukkan tahap kesihatan yang tidak menentu.

Justeru itu, mereka yang prihatin dan berhasrat untuk menyumbang boleh menghubungi di talian 013-293 4873 atau terus ke akaun Maybank Adiana bernombor 162508103642.

Tidak mampu tampung pelajar – Sinar Harian


Tidak mampu tampung pelajar
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2012

Dewan serba guna diperlukan untuk menampung pertambahan bilangan pelajar.
JENGKA 16 – Ibu bapa dan guru meminta pihak berwajib membina dewan serba guna dan lebih banyak kelas untuk menampung jumlah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jengka 16 yang semakin meningkat.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahmad Awang berkata, ia berikutan sudah sampai masanya dewan sedia ada berganti baru.

“Dewan serba guna penting untuk menganjurkan pelbagai acara gilang-gemilang di sekolah ini. Tambahan pula, pelajar menggunakan bahagian terbuka di bawah bangunan yang kadangkala tidak cukup untuk menampung pertambahan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, dengan jumlah pelajar yang semakin meningkat, mereka memerlukan lebih banyak kelas baru.

“Kelas sedia ada tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar yang kini mencecah lebih kurang 560 orang,” katanya.

Beliau berkata, permohonan dibuat sejak sekolah tersebut dibina pada 2000 dan difahamkan ia sudah dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

“Saya diberitahu ia dimasukkan di dalam RMK10. Justeru saya berharap pembinaan tersebut dapat dijalankan segera kerana semakin hari, jumlah pelajar semakin bertambah.” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Pengetuanya, Mohd Mohd Nor ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Pendidikan 2012 di sekolah itu, Khamis lalu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Rusdi Ismail dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Maran, Baharom Mamat.

Program berlangsung selama tiga hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang bukan hanya disertai pelajar, malahan penduduk setempat.

Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas terima suntikan – Sinar Harian


Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas terima suntikan
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2012

Yauza dan Hanisah saling bekerjasama mengangkat Muhamad Muhaimin ke atas tilam dari kerusi roda di rumahnya dekat Kampung Pondok Paku.
JABI – “Akibat masalah itu, dia terlantar lebih setahun di rumah sebelum dapat menyabung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabu awal tahun ini.” Demikian Yauza Jusoh, 51, yang memohon simpati orang ramai untuk membantu merawat anak lelakinya berusia 17 tahun yang lumpuh anggota badan kerana menghadapi masalah saraf sejak lebih setahun yang lalu.

Yauza dari Kampung Pondok Paku dekat Kerandang di sini berkata, anaknya Muhamad Muhaimin, lumpuh kedua belah-belah kaki dan tangan kanan didakwa akibat selepas menerima suntikan kesihatan.

Menurutnya, anggota badan Muhammad Muhaimin mula lemah selepas suntikan pada 8 November 2010 ketika belajar dalam Tingkatan Tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang.

“Akibat masalah itu, dia terlantar lebih setahun di rumah sebelum dapat menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabu awal tahun ini,” katanya.

Yauza berkata, anaknya disahkan oleh pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan menghidap penyakit Post Vaccination TT, disyaki akibat kesilapan suntikan.

Walaupun beberapa kali berulang alik menerima rawatan di hospital berkenaan namun keadaannya masih tidak banyak berubah apabila semua anggota badannya yang lumpuh masih belum dapat digerakkan hingga sekarang kecuali tangan kirinya yang dapat digerakkan.

“Dia bersekolahpun kerana semangatnya kuat untuk ke sekolah. Tetapi saya dan isteri, Hanisah Ishak, 46, terpaksa mengendongnya sebelum diletakkan di atas kerusi roda setiap kali dia pergi dan pulang ke sekolah.

“Dalam usia saya sebegini, saya terpaksa menggagahkan diri untuk mengangkat badannya seberat kira-kira 86 kilogram,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini.

Menurutnya, dia tidak dapat melakukan pekerjaan kerana terpaksa menguruskan anaknya untuk pergi dan pulang ke sekolah selain terpaksa bersiap sedia pada bila-bila masa ke sekolah sekiranya Muhamad Muhaimin ingin membuang air besar atau kecil.

Katanya, dia sekeluarga kini hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

“Dengan pendapatan sebegitu, saya sekeluarga tidak mampu membiayai perbelanjaan untuk anaknya mendapatkan rawatan pakar atau secara alternatif,” katanya.

“Tambahan lagi, tiga adik beradik Muhamad Muhaimin masih belajar termasuk kakaknya Nur Izzati, 21, terpaksa berhenti belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebaliknya bertukar belajar di Kolej Kejururawatan di Kuala Lumpur kerana menyedari keluarganya kesempitan wang.

Dua lagi adik Muhamad Muhaimin, Mohd Habib Muizzuddin belajar dalam Tingkatan Dua juga di SMK Jabi dan Muhammad Marzulqi, murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung.

Sehubungan itu, Yauza dan isterinya merayu mana-mana pihak atau individu khususnya Kerajaan Negeri agar dapat membantu merawat anaknya supaya dia dapat bergerak seperti biasa dan masa depannya cerah seperti rakan sebayanya yang lain.

Kisah penderitaan remaja ini pernah disiarkan Sinar Harian April tahun lalu dan sebarang bantuan boleh menghubungi Hanisah di talian 013-9545767 .

Bimbing remaja autisme berdikari – Sinar Harian


Bimbing remaja autisme berdikari
NORHIDAYYU ZAINAL
4 Julai 2012

Afif Zahiruddin diapit kedua ibu-bapanya, Haryanti Tasmiran danRohaizan Abdul Wahab
Bill Gates sebagai Pengasas Microsoft Corporation, manakala Albert Einstein, Isaac Newton yang pakar dalam teori fizik adalah antara tokoh berjaya dalam bidang masing-masing, namun memiliki satu persamaan iaitu pesakit autisme.

Apa itu autisme? Menurut kajian Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) mendefi nisikan autisme ialah satu kekurangan seumur hidup dan menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan pertama seseorang bayi.

Komunikasi antara mereka terbantut dan tidak dapat berhubung dengan secara langsung.

Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku tetapi ada kelebihan intelek yang luas. Kerap kali kanak-kanak istimewa ini menunjukkan kelebihan dalam bidang matematik, mekanikal atau seni muzik. Namun begitu, terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat hari ini bahawa golongan pesakit autisme sukar berdikari berbanding insan normal.

Golongan itu dilihat serba kekurangan daripada segi mental, fi zikal dan intelektual sehingga kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan normal ada kalanya turut dinafikan. Atas sebab berkenaan, Siti Khadijah Md Zamin mengambil keputusan untuk menubuhkan pusat vokasional iaitu Akademi Remaja Islam Autisma bagi memberi bimbingan dan latihan kepada golongan yang menghidapi penyakit tersebut.

Menurutnya, Akademi Remaja Islam Autisma akan berperanan sebagai pusat sehenti khusus kepada golongan belia autisme.

“Pesakit autisme yang menginjak ke usia remaja perlu dilatih dengan kemahiran kendiri dan vokasional supaya mereka dapat hidup berdikari.

“Akademi ini akan menjadi tempat mengasuh, memberikan pendidikan awal dan latihan vokasional kepada mereka selain turut dilengkapi dengan kemudahan lain,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, golongan yang menghidapi autisme berbeza dengan individu yang mengalami sindrom lain seperti Sindrom Down, bisu, pekak dan buta kerana mereka memerlukan pengajaran dan latihan yang lebih berfokus.

“Ini adalah satu perkara yang memberangsangkan kerana mereka akan lebih gembira berada bersama rakan dan guru yang sentiasa memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, idea utama penubuhan Akademi Remaja Islam Autisma disebabkan ketiadaan pusat vokasional yang berdekatan dengan rumahnya bagi mengasuh anaknya yang kini berusia 20 tahun dan menghidap autisme.

Kemahiran vokasional

Siti Khadijah berkata, objektif penubuhan akademi ini adalah untuk membekalkan belia autisme dengan kemahiran kendiri seperti kemahiran menguruskan diri, berinteraksi dengan persekitaran sekeliling dan bersosial.

“Buat masa ini, kami mengajar di akademik peringkat asas seperti membaca, menulis dan mengira. Kami juga mengajar konsep duit dan membeli-belah,” katanya yang menyasarkan 20 belia di pusat ini.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang untuk membekalkan belia autisme dengan kemahiran vokasional seperti menjahit, kerja dobi, membuat roti dan pastri, katering dan perkhidmatan seperti mengendalikan kaunter.

“Kami juga berhasrat untuk mengendalikan program center to workplace, iaitu mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk belia autisme.

“Tujuannya ialah melatih mereka untuk menjalankan pekerjaan mereka di tempat kerja dan melatih majikan dan rakan sekerja untuk menyediakan sokongan kepada mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga berharap akademi ini akan dapat menghasilkan satu modul kemahiran kendiri dan vokasional yang efektif untuk kegunaan negara.

“Bagi menjayakannya, kami mungkin akan menjalankan kerjasama dengan tenaga akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjadi pusat penyelidikan untuk program latihan belia autisme,” katanya.

Seterusnya, katanya, ia mampu menjadi projek perintis yang dapat meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa, guru dan masyarakat khususnya tentang keperluan latihan belia autisme.

Stabilkan perkhidmatan

Beliau berkata, buat masa ini, Akademi Remaja Islam Autisma hanya mengambil golongan belia autisme lelaki yang berumur 15 hingga 20 tahun. “Apabila umur sudah menginjak ke usia remaja, mereka sudah bernafsu.

Walaupun mental mereka kadang-kadang kurang matang, tetapi daripada segi tubuh badan ada yang sudah baligh.

“Jadi, bagi mengelakkan daripada terjadi sesuatu yang tidak baik, maka kami tidak akan mencampurkan mereka sekali,” kata Siti Khadijah.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya akan membuat pengambilan pelajar lelaki terlebih dahulu sebelum menstabilkan perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, katanya, Akademi Remaja Islam Autisma yang baru ditubuhkan sejak dua bulan lalu kini beroperasi di premis sementara di Ukay Perdana, Ampang.

“Sebagai sebuah akademi baru, kami amat mengalu-alukan sokongan dan sebarang bentuk kerjasama daripada orang ramai,” katanya.

Beliau menambah, bantuan dan sumbangan boleh diberikan sama ada dalam bentuk tenaga kerja atau material. Dalam pada itu, beliau sempat menasihatkan kepada ibu bapa agar tidak malu sekiranya mempunyai anak autisme sebaliknya banyakkan membuat pembacaan mengenainya.

“Ibu bapa digalakkan menyertai sebarang persatuan atau kumpulan sokongan supaya sebarang permasalahan boleh dikongsi bersama,” katanya.

Sehubungan itu, untuk maklumat lanjut, Akademi Remaja Islam Autisma boleh dihubungi melalui e-mel arisma2012@gmail.com atau datang sendiri di 23, Jalan UP3/5A, Ukay Perdana, 68000 Ampang, Selangor.

Remaja curi motor dicekup – Sinar Harian


Remaja curi motor dicekup
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2012

Antara motosikal yang dileraikan untuk mendapatkan alat ganti.
IPOH – Walaupun pelbagai taktik dan helah digunakan untuk mengelak dicekup namun kegiatan seorang remaja berusia 15 tahun akhirnya tumpas di tangan sekumpulan ahli Persatuan Keselamatan Bandar Baru Pengkalan (PKBBP) dengan kerjasama polis selepas mendapati terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak setahun lalu.

Remaja yang baru dibuang sekolah itu dipercayai melakukan kegiatan itu bersendirian dan menjual motosikal curi tersebut dengan harga murah iaitu antara RM300 ke RM500 kepada pelanggannya yang terdiri daripada mat rempit.

Ketua PKBBP, Liew Hong Meng berkata, ahlinya mendapat aduan mengenai kecurian motosikal itu daripada salah seorang rakan remaja terbabit yang turut menjadi mangsa apabila motosikalnya dicuri baru-baru ini.

Katanya, selepas mendapat maklumat tersebut, salah seorang daripada ahli persatuan menyamar berkawan dengan remaja terbabit dan meminta agar menjual motosikal kepadanya.

“Helah itu menjadi apabila remaja terbabit terpedaya dengan kata-kata ahli kami yang kemudian membawanya ke tempat simpanan motosikal curi di dalam semak di Pengkalan Pegoh Seberang.

“Bagaimanapun, rakan kami meminta remaja itu membawa motosikal yang hendak ‘dibeli’ ke rumah kelab di Taman Pakatan.

“Lebih kurang jam 1.30 pagi kami menahan remaja terbabit dan menghubungi polis untuk menjalankan tindakan lanjut,” katanya.

Hong Meng berkata, remaja itu sudah mencuri 13 motosikal dan menerima ribuan ringgit sepanjang melakukan kegiatan tersebut.

“Motosikal itu dicuri dan kemudiannya dijual kepada mat rempit yang lazimnya hanya mahukan alat ganti bagi tujuan mengubahsuai motosikal mereka. “Antara motosikal yang paling banyak menjadi ‘habuan’ remaja terbabit adalah daripada jenis Honda EX5,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan pihaknya ada menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal.

Menurutnya, remaja itu direman sehingga 5 Julai ini bagi membantu siasatan.

Tapak tanah baharu untuk SJKT Batu Ampat – Kosmo


Tapak tanah baharu untuk SJKT Batu Ampat

SRJKT Batu Ampat di Kampung Jawa, Klang akan dinaik taraf sebaik proses pembelian tapak baharu selesai dilakukan bagi membina bangunan tambahan.

KLANG – Nasib lebih 1,000 murid dan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Ampat, Kampung Jawa di sini yang selama ini terpaksa belajar dalam bangunan yang terjejas teruk akibat serangan anai-anai dan masalah banjir bakal berubah.

Ia berikutan tindakan kerajaan Pusat yang membeli tanah seluas 1.2 hektar di sebelah tapak sekolah itu bagi membina bangunan baharu yang lebih selamat dan selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel berkata, proses jual beli tanah itu daripada pemilik asal sedang diuruskan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

“Lebih menggembirakan, pemilik asal tanah juga bersetuju untuk memberikan tambahan 0.4 hektar tanah secara percuma demi masa depan murid-murid sekolah itu.

“Kita akan mengumumkan secara rasmi pemberian tanah itu untuk pembinaan bangunan baharu sejurus selepas menerima surat pengesahan urusan jual beli daripada pemilik tanah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Ditikam depan sekolah adik – Metro


Ditikam depan sekolah adik
Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Usaha seorang abang untuk mendamaikan pertelingkahan adik perempuannya dengan rakan sekolah bertukar tragedi apabila dia parah akibat ditikam dua kali di depan sebuah sekolah di Bukit Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Shuhadan Usop, 22, dikatakan menunggu bapanya, Usop Embong, 50-an, pergi berjumpa guru disiplin sekolah berkenaan untuk berbincang mengenai kes adiknya yang bergaduh dengan seorang pelajar perempuan lain.
Ketika menunggu bapanya di pondok pengawal, mangsa tiba-tiba didatangi abang kepada pelajar perempuan yang dikatakan bergaduh dengan adiknya dan lelaki terbabit terus meluru ke arahnya.

Suspek yang marah sebaik ditanya tujuannya terus memukul mangsa dengan topi keledar sebelum menggunakan belati untuk menikam perut dan dagu mangsa.

 

Shuhadan yang masih lemah ketika ditemui di Wad Pembedahan Lelaki, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, selepas menikamnya, suspek meninggalkan tempat kejadian sebelum datang semula dengan membawa senjata dipercayai pedang samurai.

2 pelajar harum nama negara – Bernama


2 pelajar harum nama negara

05:13:30 AM Cetak Emel Kawan

Rama Murthi (kiri) dan R. Sri Arivesh (kanan) menunjukkan model ’Neighbours Wonder’ bersama sijil tempat ketiga yang dimenangi di Oswego, New York, semalam. – Foto BERNAMA
Georgetown: Dua pelajar Tingkatan Dua, S Rama Murthi dan R Sri Arivesh, kedua-duanya berusia 14 tahun, berjaya mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa.

Mereka antara pemenang utama hadiah pertandingan ‘Genius Olympiad 2012 International High School Project Fair on Environment’ yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat. Kedua-dua pelajar dari Kulim, Kedah itu menang tempat ketiga dengan ciptaan alat sistem penggera diberi nama `Neighbours Wonder’ pada pertandingan disertai 246 pelajar dari 50 negara itu.
Alat ciptaan terbabit boleh membantu pengguna dalam kecemasan meminta pertolongan jiran menerusi alat penggera tanpa wayar yang boleh dipasang secara selari di semua rumah dalam sesebuah kawasan perumahan.

Rama Murthi berkata, alat penggera itu dipasang dengan pengecas bergerak dan sistem itu boleh dihubungkan di antara rumah.

Menurutnya, ilham mencipta alat itu lahir daripada konsep semangat 1Malaysia diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana alat berkenaan boleh mewujudkan semangat kerjasama antara jiran tanpa mengira kaum.

“Kami membelanjakan kira-kira RM300 membuat model alat sistem bunyi ini untuk dipamerkan pada pertandingan dan kami bangga kerana menang,” kata R Sri Arivesh.
Mereka adalah peserta termuda berbanding peserta lain yang rata-rata berumur antara 16 hingga 17 tahun pada pertandingan berlangsung dari 24 hingga 29 Jun lalu itu di Oswego, New York. – BERNAMA

Sukarelawan guru Inggeris rapatkan hubungan Malaysia-AS – Utusan


Sukarelawan guru Inggeris rapatkan hubungan Malaysia-AS

KUALA LUMPUR 4 Julai – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones yakin program penghantaran pembantu guru bahasa Inggeris (ETA) Fulbright yang dilaksanakan di negara ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Menurutnya, program itu akan diteruskan dengan penghantaran seramai 75 sukarelawan lagi pada tahun depan.

“Mereka yang terlibat dengan program itu juga akan merasai suasana aman di negara ini selain berkongsi budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini,’’ katanya ketika berucap pada sambutan hari kebangsaan negara itu yang ke-236 di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Kira-kira 1,000 tetamu termasuk ahli Parlimen, diplomat asing, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, ahli akademik serta pemimpin agama hadir pada sambutan kemerdekaan tersebut.

Program bantuan mengajar bahasa Inggeris tersebut diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berkunjung ke AS dan bertemu Presidennya, Barrack Obama sebelum ini.

Ketika ini terdapat 50 sukarelawan dari AS yang mengajar di sekolah-sekolah di tiga buah negeri iaitu Terengganu, Johor dan Pahang.

Jones berkata, keutuhan hubungan dua pihak yang terjalin selama ini, mampu meningkatkan pembangunan, hubungan perdagangan dan keselamatan bersama.

Mengenai sambutan kemerdekaan yang disambut 4 Julai setiap tahun, Jones mengharapkan kedua-dua buah negara akan terus optimis mengekalkan hubungan baik pada masa depan. – UTUSAN