1MDB umum RM20 juta untuk dana PIBG – Bernama


1MDB umum RM20 juta untuk dana PIBG

13 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memperluaskan lagi program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) melalui pengumuman peruntukan berjumlah RM20 juta untuk Dana PIBG, satu platform yang memberi bantuan kepada PIBG menjayakan aktiviti dan program di sekolah.

Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata dana tersebut bertujuan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG sekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan kerajaan menjalankan aktiviti pendidikan, kokurikulum dan infrastruktur.

“Berdasarkan penyelidikan, kami dapati antara masalah utama dihadapi PIBG adalah bagi mendapatkan dana mencukupi untuk mempertingkat kemudahan sekolah serta menjalankan kelas tambahan kepada murid yang kurang berkemampuan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif terutama bagi sekolah di luar bandar.

“Justeru Dana PIBG ini dilancarkan bagi membantu meringankan beban PIBG dalam melaksanakan aktiviti pembangunan murid dan sekolah,” katanya semasa melancarkan dan menyerahkan Dana PIBG kepada 11 penerima perintis di sini.

Lodin Wok berkata sebagai permulaan dana ini diserahkan kepada PIBG sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan pembangunan Kuala Lumpur International Financial District (KLFID) yang merupakan projek strategik 1MDB.

Menurut beliau lagi dana ini juga boleh digunakan untuk tiga jenis pembiayaan termasuklah aktiviti berasaskan pendidikan seperti penganjuran kelas
tambahan, aktiviti kokurikulum seperti aktiviti sukan dan penambahbaikan infrastruktur berskala kecil seperti menaiktaraf makmal komputer.

Katanya permohonan Dana PIBG terbahagi kepada dua iaitu untuk sekolah menengah dengan peruntukan maksimum RM50,000 manakala sekolah rendah layak memohon peruntukan sehingga RM30,000.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Imbi, Law Seah Keong, 36, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan khususnya 1MDB yang meluluskan permohonan persatuannya.

“Peruntukan maksimum sebanyak RM30,000 yang diterima ini akan digunakan untuk menampung kerja penyelenggaraan sekolah yang semakin meningkat dan untuk menaik taraf kantin sekolah yang sudah uzur demi keselesaan murid.

“Pemberian dana ini juga sangat tepat pada masanya kerana kami mengalami defisit sejak tiga tahun lalu kerana penurunan jumlah murid dari lebih 1,000 ke sekitar 300 orang tetapi kos penyelenggaraan sekolah tetap tinggi,” katanya.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (L) Jalan Pasar 2, Nordiana Mustafa Kamal pula pihaknya berasa sungguh gembira dan teruja apabila sekolah tersebut terpilih untuk menerima sumbangan dana PIBG ini.

“Walaupun sekolah kami baru dan pelajar hanya 33 orang sahaja namum kami akan menggunakan dana yang diberikan sebaik mungkin terutama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah seperti membantu pelajar-pelajar miskin, kem-kem kecemerlangan pelajar, kelengkapan aktiviti kokurikulum dan sebagainya.” katanya.

Nordiana turut menggalakkan PIBG lain di seluruh negara supaya menghantar permohonan kepada 1MDB bagi mendapatkan sumbangan dana seterusnya memastikan kelangsungan aktiviti anjuran persatuan tersebut demi pembangunan pendidikan generasi akan datang.

PIBG sekolah yang berminat untuk memohon Dana PIBG 1MDB boleh berbuat demikian dengan melayari laman web http://www.danapibg.com.my- Bernama

Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional – Bernama


Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional

13 Julai 2012
BUTTERWORTH – Ibu bapa diminta supaya mengubah tanggapan kononnya pendidikan vokasional adalah sebagai kelas kedua, kerana kelulusan bidang vokasional sekarang ini mempunyai masa depan yang cerah berbanding pendidikan akademik biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kelulusan dalam bidang kemahiran sebenarnya kini mendapat permintaan tinggi dari sektor swasta dan tenaga kerja mahir juga diperlukan untuk menjana ekonomi negara.

“Bidang vokasional jelas mampu melahirkan modal insan kelas pertama ke arah menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Kecekapan Kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada 435 pelatih di Dewan Besar Sungai Dua di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai contohnya, tenaga kerja di negara-negara maju adalah golongan yang mendapat pendidikan dalam bidang vokasional.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti latihan selama sembilan bulan anjuran Akademi Binaan Malaysia Utara Sdn Bhd, (ABM) dan CIDB menikmati gaji antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Beliau berkata, pelatih bekenaan senang mendapat pekerjaan kerana mempunyai kemahiran berbanding siswazah yang menamatkan pengajian di universiti dan ini membuktikan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran adalah meningkat.

Terdahulu Nor Mohamed ketika melawat Pasar Tasek Gelugor di sini, berkata projek menaik taraf pasar itu yang membabitkan peruntukan bernilai RM474,000 telah siap sepenuhnya.

Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM1.4 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan Parlimen Tasek Gelugor pada September 2011. – Bernama

Adam pulang 15 Julai – Sinar Harian


Adam pulang 15 Julai
NOR RAIDAH AWANG
13 Julai 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, kanak-kanak yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang dijadual pulang ke Malaysia 15 Julai ini.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat menunjukkan tahap kesihatan anaknya semakin pulih.

Menurutnya, pada rawatan terakhir fisioterapi 9 Julai lalu, Adam menunjukkan perkembangan positif.

“Tiada komplikasi pada tempat pembedahan dan luka juga semakin pulih,” katanya.

Akbar berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah Adam dan sumbangan orang ramai termasuklah Kerajaan Negeri Terengganu.

Sebelum ini, Sinar Harian menubuhkan tabung adik Adam yang memerlukan kos pembedahan RM175,000.

Selepas liputan disiarkan, tabung Adam mendapat keprihatinan rakyat Malaysia yang simpati dengan nasibnya.

Hasrat Adam yang mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum berlepas ke Amerika turut tercapai apabila Perdana Menteri menerima kunjungannya pada 8 Jun lalu.

Penderitaan Adam selama empat tahun menanggung sakit, kini kembali pulih seperti kanak-kanak lain.

Urusan tukar sekolah lambat – Sinar Harian


Urusan tukar sekolah lambat
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012

Muhammad menggesa pihak berkenaan meluluskan permohonan pemindahan persekolahan anak angkatnya.
PUCHONG - Seorang bapa mendakwa terkilan apabila dimaklumkan oleh pihak berkenaan urusan pendaftaran persekolahan anak angkatnya terpaksa mengambil masa tiga minggu dan tidak boleh diluluskan serta-merta selepas berpindah dari Johor Bahru.

Perkara itu dikatakan menyebabkan anaknya tertangguh untuk ke sekolah dan tidak dapat menerima pelajaran seperti kanak-kanak lain.

Bapa berkenaan, Muhammad Iskandar, 46, berkata, dia terpaksa berpindah ke negeri ini atas urusan kerja dan membawa anak angkat yang dipelihara sejak lahir bersama.

Katanya, apa yang dikesalkan sebelum ini anaknya juga pernah berpindah sekolah namun kelulusan itu hanya mengambil masa sehari.

Yang dikesalkan, pelajaran anaknya akan tertinggal berikutan gagal mendapatkan keizinan agensi berwajib berkenaan menumpang di sekolah bakal dipindahkan sementara menunggu kelulusan
diperolehi.

“Saya sudah menghantar dokumen yang lengkap, malah saya juga sudah ke sekolah dan bertanya sama ada wujud kekosongan untuk menempatkan anak angkat, Muhammad Hafiz Iskandar, 8, pihak sekolah memberitahu masih ada kuota kekosongan.

“Malangnya apabila ke Jabatan Pelajaran Daerah, kakitangan bertugas memaklumkan saya perlu menunggu dalam tempoh tiga minggu untuk mengetahui status kelulusan pertukaran sekolah,”katanya.

Muhammad yang bekerjasebagai tukang masak berkata, dia tidak berpuas hati kerana alasan diberikan pihak itu adalah mereka perlu mematuhi prosedur.

Dia turut mempersoalkan mengapa perbezaan timbul dalam prosedur pemindahan sekolah kerana sebelum ini hanya sehari diperlukan untuk mendapatkan kelulusan pejabat di Johor sedangkan tiga minggu diperlukan di negeri ini.

“Mengapa dinafikan hak anak saya ke sekolah, saya menggesa supaya mereka segera beri kelulusan ”katanya.

Dara sunti dirogol kekasih – Sinar Harian


Dara sunti dirogol kekasih
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012
GEORGETOWN – Tindakan pelajar perempuan berusia 17 tahun keluar rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya untuk bertemu kekasih berakhir dengan episod hitam apabila dia dirogol.

Episod hitam pelajar tingkatan lima bermula selepas dia dipelawa meminum air tin ketika bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah di Bayan Baru, kelmarin.

Mangsa bersama teman lelakinya menikmati air minuman tin sebelum suspek mengajak mangsa menaiki bas ke sebuah lagi pasar raya berdekatan.

Sebaik sampai ke lokasi berkenaan, mangsa dikatakan berasa pening dan berada dalam keadaan separuh sedar.

Ketika itulah mangsa diambil kesempatan dan dijadikan habuan pemuas nafsu kekasih durjana itu.

Menurut sumber, gadis itu hanya menyedari dirinya diperlakukan demikian dan diperkosa selepas kembali tersedar kira-kira jam 10.30 malam. Mangsa apabila melihat kekasihnya berada di sebelah dan di lokasi yang dia sendiri tidak ketahui.

“Mangsa kemudian melarikan diri dan pulang ke rumah dan memaklumkan ibu bapanya mengenai kejadian itu dan membuat laporan polis,” katanya.

Remaja perempuan antara ditahan curi besi – Sinar Harian


Remaja perempuan antara ditahan curi besi
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012

Harun menunjukkan barangan rampasan dalam kejadian mencuri besi di sebuah kilang di kawasan perindustrian Tanjung Agas, Sungai Mati 21 Jun lalu.
MUAR – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun antara 11 suspek yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan mencuri besi di sebuah kilang dalam kawasan perindustrian Tanjung Agas, Sungai Mati, dekat sini.

Lima ditahan pada 21 Jun lalu, jam 2.40 petang, manakala enam yang lain ditahan jam 4.30 petang, pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, ketika ditahan kesemua suspek sedang asyik mencuri besi dalam kilang berkenaan.

Menurutnya, empat daripada suspek yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia dan kegiatan tersebut didalangi warga tempatan yang juga merupakan seorang kontraktor berusia 39 tahun.

“Kilang ini yang menyimpan banyak besi lama menjadi tumpuan suspek sejak beberapa bulan lalu. “Namun, kegiatan mereka terbongkar apabila pengawal keselamatan kilang ini melihat sekumpulan individu mencurigakan memasuki kawasan kilang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam. Beliau berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pengawal keselamatan itu, sekumpulan anggota polis dari IPD Ledang dan Balai Polis Sungai Mati ke kilang berkenaan dan menahan kesemua suspek.

Katanya, turut dirampas ialah sebuah fork lift, tujuh tong silinder gas besar, empat tong gas memasak, satu gulung kabel getah berserta nozel, sebuah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah motosikal dan 10 keping besi.

“Kesemua suspek yang berusia 17 hingga 39 tahun, kemudiannya dibawa ke IPD Ledang untuk siasatan lanjut. “Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan bebas dadah selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka,” katanya.

Cuepacs Bincang Bonus Aidilfitri Untuk 1.4 Juta Penjawat Awam Isnin Ini – Bernama


Cuepacs Bincang Bonus Aidilfitri Untuk 1.4 Juta Penjawat Awam Isnin Ini
KUALA LUMPUR: Tuntutan bonus Aidilfitri untuk 1.4 juta penjawat awam di negara ini adalah antara isu yang akan dibincang pada mesyuarat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Isnin ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata, permintaan bonus itu akan dibincang dari pelbagai sudut termasuk jumlah bayaran.

Cuepacs juga akan membincangkan dasar baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya kepada Bernama, di sini pada Jumaat.

Omar mengulangi pendirian Cuepacs yang tidak bersetuju dengan dasar itu kerana dianggap menutup peluang kerjaya untuk lepasan SPM, selain boleh membawa masalah kepada SPA pada masa depan.

“Selain itu, Cuepacs juga membantah dasar SPA yang membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini,” katanya.

Katanya, keputusan Cuepacs berhubung kedua-dua dasar itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.

Selain itu, Omar berkata, Cuepacs juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini pada 16 Julai.

Selain beramah mesra, beliau berkata Cuepacs berharap Ali dapat memberikanpendapat dan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam. – BERNAMA

Pejabat diceroboh, dibakar – Metro


Pejabat diceroboh, dibakar
KOTA BHARU: “Saya syak pejabat ini diceroboh dan kemudian dibakar. Ini kerana, ada kesan pintu dicungkil dan barangan berselerak di bilik guru yang terletak bersebelahan pejabat,” kata Hasan Mat Tamat, Mudir Sekolah Menengah Agama Taqaddum Maarif, Pasir Tumboh, di sini, mengenai kejadian kebakaran membabitkan pejabat sekolah itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, sekolah berkenaan bukan saja terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50,000, tetapi pada masa sama terpaksa ditutup buat seketika dan dibuka semula Ahad ini.
Ini kerana, banyak rekod pelajar musnah, selain tiga buah komputer dan beberapa peralatan pejabat lain turut musnah.

Menurut Hasan, penceroboh dipercayai lebih daripada seorang dan memasuki pejabat melalui bilik guru.
“Saya bersyukur kerana seorang bekas pelajar sekolah ini melihat kebakaran yang berlaku sebelum menghubungi bomba. Ini adalah kejadian pertama pejabat sekolah ini dibakar.
“Sebelum ini, sekolah ini pernah beberapa kali diceroboh, tetapi tidaklah dibakar,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian, dekat sini, pada jam 11 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohamad Sabri Ismail berkata, seramai 21 anggota bersama pegawai bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.37 pagi.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit, manakala punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13

Didik insan intelektual – Metro


Didik insan intelektual
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Warga pendidik disaran supaya memainkan peranan sebaik mungkin dalam melengkapkan generasi masa depan dengan membangunkan modal intelektual mereka khususnya kemampuan berfikir pada tahap lebih tinggi iaitu tajam, mendalam, kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha itu penting kerana negara berhasrat melahirkan anak bangsa bukan hanya untuk menikmati kemajuan hari ini semata-mata, tetapi untuk masa depan negara yang lebih gemilang.
Menurutnya, pada masa depan generasi terbabit terpaksa mengisi pekerjaan mungkin masih belum wujud pada hari ini, manakala cabaran dihadapi negara pula ialah usaha mencari jalan untuk menyediakan mereka dalam menghadapinya.

“Kalau sebut modal intelektual itu mungkin kita boleh pecahkan, perincikan kepada kemampuan kita berfikir pada peringkat pemikiran lebih tinggi. “Sebab kita nak melahirkan anak Malaysia bukan untuk hari ini tapi untuk masa akan datang, di mana keadaan masa akan datang mungkin mereka ini terpaksa mengisi pekerjaan yang hari ini belum lagi wujud, hari ini kita tak dapat fikir. “Jadi, bagaimana kita nak menyediakan mereka untuk pekerjaan yang belum lagi wujud. Jawapannya, kita tak boleh sebab kita tak tahu apa jenis pekerjaan akan diisi oleh mereka. Cuma kita boleh menyediakan mereka dari segi kemampuan berfikir,” katanya berucap pada Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
Perhimpunan dihadiri kira-kira 1,500 guru cemerlang itu dikelolakan Biro Tatanegara (BTN) dengan kerjasama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) serta Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) dengan tema Guru Cemerlang Inovatif Merealisasikan Transformasi Pendidikan.

Najib berkata, guru cemerlang adalah ikon komuniti pendidikan yang memainkan peranan kerana mereka tahu mengenai cara menguruskan proses pembelajaran dan pengajaran bagi menyuntik motivasi di kalangan pelajar, di samping mencetuskan idea baru di bidang pendidikan.
“Kita mesti mencabar diri supaya sesuatu yang tidak konvensional itu (idea baru) boleh difikirkan untuk kita memecahkan sesuatu kebuntuan permasalahan ataupun untuk mencari alternatif lebih baik daripada kita terus menerima sesuatu itu,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila jumlah guru cemerlang kini sudah mencecah 13,000 orang, malah sesetengahnya menikmati pangkat lebih tinggi iaitu Jusa C.
“Guru, terutama guru cemerlang boleh kita jadikan ikon di kalangan masyarakat. Keputusan mewujudkan guru cemerlang ini amat tepat sekali. Saya berdoa semoga guru cemerlang ini akan terus kita dapat tambah lagi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau juga berasa amat bimbang apabila mendengar peratusan pelajar yang memilih aliran sains sudah menurun.
“Saya rasa amat bimbang, kita mesti mencapai nisbah 60:40, (iaitu) 60 peratus mesti dalam sains, teknologi. Inilah teras kepada negara maju. Negara maju mestilah berdasarkan bidang utama iaitu berasaskan teknologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13

Kesalahan paling berat – Metro


Kesalahan paling berat
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang didapati bersalah memukul guru berikutan kesalahan itu paling berat berbanding masalah disiplin lain.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kementerian sentiasa memandang serius kes begitu dan mahu pengurusan sekolah serta Jabatan Pelajaran Negeri membuat laporan menyeluruh sebelum tindakan tegas dapat diambil.
“Jika pelajar memukul guru memang kami kelaskan ia kes berat dan takkan berkompromi, namun dalam kes ini saya belum lagi menerima laporan lengkap. Tetapi mengikut amalan, jika ia sudah dilaporkan kepada polis, maka kami perlu menunggu sehingga siasatan selesai.

“Sebaik selesai, barulah keputusan dibuat, namun yang pasti jika terbukti mana-mana pihak bersalah maka tindakan tegas menunggu mereka. “Apapun, saya merasa dukacita dengan kejadian begini kerana ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini yang mana kami dapati disiplin pelajar dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Segamat Batu Anam, Segamat, Johor cedera di kepala dan menerima satu jahitan kerana cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan pelajarnya, Selasa lalu.
Difahamkan dalam kejadian jam 11 pagi itu, kebanyakan guru dan pelajar sedang menyertai kejohanan sukan di padang sekolah, sebelum guru Sains berusia 27 tahun itu melihat dua kumpulan membabitkan 10 pelajar bergaduh di tepi padang.
Berikutan itu, dia dikatakan bertindak menjadi orang tengah dan cuba meleraikan perbalahan berkenaan sebelum tiba-tiba seorang pelajarnya meluru sambil cuba memukul pelajar lain dengan penyapu, namun malangnya terkena kepala guru berkenaan.
Dr Mohd Puad berkata, tahap masalah disiplin pelajar di semua sekolah semakin menurun sekali gus menyaksikan satu perkembangan baik.

Katanya, pengenalan pendekatan baru antara dua pihak bersandar konsep guru penyayang yang menyambut kedatangan pelajar di pintu pagar sekolah juga diyakini boleh mewujudkan suasana kekeluargaan dan harmoni di sekolah.
“Konsep ini penting selain bentuk hukuman kepada kesalahan dilakukan. Dan ini yang kami cuba wujudkan supaya murid dan pelajar tak merasa takut dengan guru bahkan mereka berasa seperti keluarga dan suasana cukup harmoni di sekolah,” katanya.
Jelasnya lagi, kes buli, gengsterism, merokok dan berambut panjang di sekolah juga tidak meruncing kerana masalah disiplin paling tinggi adalah daripada kategori ponteng sekolah, malah ia juga berpunca daripada banyak faktor termasuklah ketiadaan pengangkutan di sekolah pedalaman.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13