Puad: Kerajaan Selangor, Pulau Pinang tak pernah beri tanah bina sekolah – Bernama


Puad: Kerajaan Selangor, Pulau Pinang tak pernah beri tanah bina sekolah

14 Julai 2012
SUNGAI PETANI – Kerajaan persekutuan terpaksa memberikan tanah miliknya untuk pembinaan sekolah di Selangor dan Pulau Pinang berikutan dua negeri pembangkang itu tidak memberikan tanah mereka untuk tujuan itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi.

Malah, beliau mendakwa kerajaan kedua-dua negeri mengubah tanah-tanah disedia untuk pembinaan sekolah bagi tujuan komersil seperti kawasan perindustrian.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang tidak serius dalam soal pendidikan. Mereka langsung tak beri tapak tanah untuk buat sekolah…sekelumit tanah pun tak ada.

“Kerajaan Pusat terpaksa mengorbankan beberapa tanah miliknya untuk dibina sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina bagi memastikan kemudahan sekolah di kedua-dua negeri itu mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Bahagian Sungai Petani di sini hari ini.

Hadir sama Naib Ketua Puteri Umno Malaysia Shahanim Mohd Yusoff yang juga Ketua Puteri Umno Sungai Petani. – Bernama

Zaiton Othman beri motivasi kepada kumpulan band sekolah – Bernama


Zaiton Othman beri motivasi kepada kumpulan band sekolah

14 Julai 2012

Zaiton Othman
KUANTAN – Dalam satu program motivasi kepada sekumpulan pelajar yang menganggotai sebuah band orkestra sekolah, bekas atlet negara Zaiton Othman menceritakan bagaimana beliau sengaja mencari cabaran untuk dikejar oleh anjing bagi menguji kepantasannya berlari.

Beliau yang kini merupakan pakar psikologi sukan terlatih berkata beliau memang sukakan cabaran sejak kecil.

Misalnya untuk menguji kepantasannya berlari, katanya beliau sengaja mencuri buah-buahan dari dusun berhampiran rumahnya kerana mahu anjing pemilik kebun itu mengejarnya.

“Namun anjing-anjing itu tidak pernah dapat mengejar saya kerana saya lagi laju dari mereka. Kalau mereka terlalu hampir dapat mengejar saya, saya akan memanjat pokok untuk mengelakkan mereka,” katanya kepada anggota-anggota orkestra Jass Wind yang terdiri daripada para pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Semsas) di sini dan menambah cabaran sedemikian adalah sangat menyeronokkannya.

Zaiton, 53, dijemput untuk memberi motivasi kepada anggota kumpulan band itu yang akan bertanding di Festival Band Antarabangsa di Singapura bermula dari 18 hingga 23 Julai ini.

Beliau memberitahu mereka bahawa semua orang mempunyai peluang yang sama rata untuk menang jika mereka bekerja keras dan mempunyai semangat yang membara dalam apa jua yang dilakukan.

“Orang yang memiliki keinginan yang membara dan percaya bahawa mereka boleh memberikan yang terbaik akan sentiasa menang dalam sebarang pertandingan, sama ada dalam sukan atau muzik,” katanya yang kini merupakan Pengarah Pembangunan Organisasi dan Jabatan Hal Ehwal Atlet, Majlis Sukan Negara.

Sementara itu Presiden Jasa Wind, Mohd Naim Jaafar, 17, berkata anggota orkestranya adalah seramai 49 orang.

“Kami gementar juga kerana ini merupakan pengalaman pertama kami di pertandingan antarabangsa. Walau bagaimanapun kami mempunyai keyakinan untuk menang selepas mendengar ceramah motivasi Zaiton hari ini,” kata pemain klarinet bass itu. – Bernama

Guru Di Perak Korban Terbaru Demam Denggi – Bernama


Guru Di Perak Korban Terbaru Demam Denggi
KUALA LUMPUR: Seorang guru lelaki berusia 52 tahun di Perak menjadi korban terbaru kes demam denggi minggu lepas. Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata kematian itumenjadikan jumlah korban akibat denggi sehingga Sabtu lepas ialah 25 orang,meningkat enam kes berbanding 19 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit diabetes dan darah tinggi dimasukkanke hospital setelah dua hari mengalami demam, sakit kepala dan muntah sebelumdirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia selepas sehari dirawat diunit itu. “Kawasan kediaman mangsa merupakan lokaliti wabak yang sehingga kini sebanyak enam kes telah dilaporkan. Hasil pemeriksaan menjumpai dua tong terbuang yang menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata bagi tempoh 1 hingga 7 Julai, sebanyak 364 kes demam denggidilapor, menunjukkan tiada perubahan berbanding minggu sebelumnya. Walaubagaimanapun, lapan negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu Perak 10 kes (39 peratus), diikuti Terengganu lima kes (50 peratus), Sarawak empat kes (36 peratus), Kedah tiga kes (21 peratus), Negeri Sembilan dua kes (25 peratus) dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang (tujuh peratus), Kelantan (enam peratus) dan Kuala Lumpur serta Putrajaya (tiga peratus).

Jumlah terkumpul kes denggi dari Januari hingga 7 Julai tahun ini ialah 12,158 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 13 peratus atau 1,417 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas, katanya. -BERNAMA

Kejutan tangki air pecah – Metro


Kejutan tangki air pecah
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

DUNGUN: “Saya menekan brek dengan kuat sebaik melihat air melimpah ke atas jalan,” kata Mohamad Abdullah, 35, menceritakan detik cemas sebuah tangki air di Sekolah Kebangsaan Paka, dekat sini, pecah dan nyaris mencederakan penduduk yang melalui kawasan itu, semalam.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah hari ketika dia melalui jalan belakang sekolah berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.
“Ketika kejadian, saya yang memandu kereta mengekori sekumpulan penduduk yang berbasikal dan bermotosikal sebelum terdengar satu letupan kuat.

“Selepas itu, saya melihat serpihan tangki air berkenaan berkecai dan jatuh ke tanah dengan air di dalam tangki melimpah memenuhi memenuhi jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Mohamad berkata, selain itu keseluruhan atap sebuah bangunan sekolah yang berada bersebelahan tangki air berkenaan rosak teruk akibat ditimpa bebanan air dan serpihan tangki itu.
“Beberapa penunggang basikal dan motosikal di depan saya kelam kabut dan mengelak daripada melanggar serpihan dan air yang laju.

“Keadaan itu menyebabkan saya yang mengekori di belakang terpaksa menekan brek sekuat hati bagi mengelak melanggar mereka,” katanya.
Mohamad berkata, dia menjangkakan sebanyak 300,000 liter air berada di dalam tangki setinggi kira-kira 20 meter itu dan kejadian berkenaan juga menyebabkan sebahagian pagar di belakang sekolah itu runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14

Buntu anak tunggal ghaib – Metro


Buntu anak tunggal ghaib
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang bapa kini resah apabila anak gadisnya berusia 13 tahun menghilangkan diri selepas keluar dari rumah di Semenyih, dekat sini, sejak seminggu lalu.

Nur Izatul Yazmin Rosli yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih, sudah tidak hadir ke sekolah sejak seminggu lalu menyebabkan keluarganya kini buntu memikirkan nasib anak mereka yang hilang tanpa khabar berita itu.
Bapanya, Rosli Ahmad, 41, berkata, anak tunggalnya itu dipercayai bertindak sedemikian selepas mengenali seorang lelaki berusia 20-an dikenali sebagai Jeffri berasal dari Sarawak hingga sanggup menipu mereka sekeluarga kononnya ingin menghadiri majlis jamuan makan di rumah rakannya pada 7 Julai lalu sebelum mengikut lelaki berkenaan.

Beliau berkata, pada mulanya, anak gadisnya itu meminta izin untuk pergi ke rumah rakannya di Kampung Sentosa, Semenyih, namun dia dan isteri tidak membenarkannya.

 

“Namun kasihan melihat Nur Izatul yang tidak berputus asa memujuk kami berdua menyebabkan saya bersetuju dengan syarat saya yang akan menghantarnya ke rumah rakannya itu.

Subsidi, bantuan subur pendidikan – Metro


Subsidi, bantuan subur pendidikan
Oleh Sufian Thauri Muhammed dan Mohd Nasif Badruddin
am@hmetro.com.my

DUNGUN: Kerajaan tidak pernah jemu dan penat untuk memastikan rakyat mendapat pembelaan terbaik termasuk dalam bidang pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ilmu mampu mengubah nasib anak bangsa dan membawa impian Malaysia menjadi negara maju menjadi kenyataan pada 2020.
“Kemiskinan bukan halangan untuk maju. Anak orang miskin bukan tidak boleh dididik, malah boleh jadi manusia sempurna dan berjaya.

“Tetapi untuk berjaya, berlandaskan keinginan saja tidak cukup kalau tiada peluang pendidikan yang disediakan,” katanya pada Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Arena Square, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan lebih 20,000 pelajar UiTM serta penduduk setempat.
Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai subsidi dan bantuan dalam bidang pendidikan termasuk kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita bukan saja beri peluang, tetapi beri subsidi sekurang-kurangnya 90 peratus.
“Kita sediakan PTPTN supaya anak-anak yang tidak mampu dapat peluang ke IPT (institusi pengajian tinggi),” katanya yang turut membidas cadangan pembangkang yang mahu menghapuskan PTPTN kerana langkah itu akan memberikan pelbagai kesan negatif termasuk kenaikan cukai untuk menampung kos pendidikan percuma.

Beliau berkata, pelajar yang berjaya menerusi bantuan PTPTN akan membayar pinjaman berkenaan dan wang terbabit digunakan pula untuk membiayai kos pendidikan pelajar lain. Najib berharap MDAB yang memberikan peluang lebih 10,000 anak miskin melanjutkan pengajian mereka dalam peringkat diploma di UiTM diteruskan dan kerajaan akan memberikan sokongan terhadap program itu.
“Kerajaan akan beri sokongan bukan saja kepada pelajar Melayu dan Bumiputera, tetapi kepada bukan Bumiputera untuk mendapat pendidikan terbaik,” katanya.
Pada majlis sama, Najib memberi khabar gembira kepada warga Dungun apabila mengumumkan kelulusan peruntukan membina sebuah hospital baru di Kampung Pak Sabah, di sini.
Sementara itu dalam Majlis Perjumpaan Bersama Rela Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, Najib berkata, usaha kerajaan mewujudkan Pasukan Relawan Malaysia (Rela) dengan dua dimensi atau kriteria utama sudah tercapai iaitu memulangkan tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan rakyat mengambil tanggungjawab itu di setiap peringkat termasuk mukim dan kampung.
Beliau berkata, jika dulu Rela ditubuhkan untuk membantu melawan komunis, kini tugasnya bertukar kepada usaha mengurangkan kadar jenayah seperti menahan pendatang asing, mengadakan sekatan jalan raya dan terbaru menjaga keselamatan di pusat beli-belah dan parkir yang berisiko seiring dengan transformasi kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.
“Rela sebagai pasukan yang besar dan disegani akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pusat beli-belah dan parkir dan saya percaya ia memberi nilai pencegahan yang cukup tinggi,” katanya.
Najib berkata, menerusi Program Transformasi Kerajaan, indeks kadar jenayah berjaya dikurangkan dan terkawal, tetapi apabila berlaku jenayah, ia disebarkan dengan meluas di media sehingga ada pihak mempertikaikan penurunannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14

Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis – Utusan


Tiga rakan didakwa rogol, liwat gadis

JOHOR BAHRU 13 Julai – Tiga sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah asrama dekat Masai, di sini bulan lalu.

Norizam Bahri, 22, didakwa atas enam pertuduhan, Mohammad Fauzi Rahmad, 20, empat pertuduhan dan Abdul Halim Rahamat, 20, dua pertuduhan.

Ketiga-tiganya yang bekerja sebagai pembantu kedai dituduh merogol dan meliwat remaja tersebut di asrama pekerja Armour Security, Nombor 59A, Jalan Sena 9, Taman Rinting, Masai antara pukul 2 petang, 29 Jun lalu dan pukul 2 petang keesokan harinya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Najib lulus RM530,000 untuk bola sepak sekolah Tamil – Bernama


Najib lulus RM530,000 untuk bola sepak sekolah Tamil
16:02:57 PM Cetak Emel Kawan
Tweet
KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM530,000 untuk membiayai kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil di seluruh negara, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel hari ini.

Beliau berkata, kejohanan dikenali sebagai ‘Road to England’ itu dijadual bermula lewat bulan ini dan membabitkan 10 venue serta 523 sekolah. Katanya, 11 pemain terbaik yang dikenalpasti melalui kejohanan ini akan dihantar berlatih dengan kelab bola sepak Manchester United (MU) di England akhir tahun ini.
“Objektif projek ini ialah untuk melahirkan rakyat Malaysia keturunan India yang mampu menjadikan bola sepak sebagai kerjaya dan mencapai standard permainan yang setanding dengan pemain England dalam jangka masa panjang.

“Mereka juga boleh menyumbang ke arah meningkatkan standard permainan bola sepak tempatan apabila pulang dan mewakili negara di kejohanan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM330,000 kepada 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India di Selangor di sebuah kuil berhampiran Bestari Jaya di sini.

Palanivel, yang juga Presiden MIC berkata, pemain terpilih daripada 10 venue perlawanan itu akan menjalani latihan singkat di Kuala Lumpur sebelum 11 pemain terbaik daripada mereka dihantar menjalani latihan dengan kelab MU.

Latihan dan pemilihan akhir akan dikendalikan bekas pemain antarabangsa England Peter Barnes.
‘Road to England’ adalah projek kerjasama antara Akademi Bola Sepak Peter Barnes dan Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Malaysia.

Pada sidang akhbar itu juga, Palanivel berkata, sejak tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM2.482 juta kepada 61 kuil Hindu dan 69 NGO India di seluruh Selangor.

Pada majlis berasingan kemudiannya, beliau menyampaikan peruntukan RM100,000 bagi membina sebuah gereja di Bestari Jaya. – BERNAMA

Sistem pendidikan negara dijangka mula dirombak tahun depan – Bernama


Sistem pendidikan negara dijangka mula dirombak tahun depan

JOHOR BAHARU 14 Julai – Sistem Pendidikan Negara dijangka mengalami rombakan besar-besaran dan proses transformasi bermula tahun hadapan dengan mengambil kira hasil dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dijalan sejak April lepas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata transformasi itu akan dijalankan mengikut fasa dengan mendahulukan perkara-perkara yang boleh dilaksana dengan segera tanpa melibatkan perkara besar.

“Kami harapkan satu anjakan berganda dan semua pandangan daripada siri dialog ini telah dicatat, dikaji dan dianalis untuk mendapatkan intipatinya dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan dalam tempoh 15 tahun dan Pelan Strategik Pendidikan bagi tempoh tiga tahun.

“Jadi ia ada pelan jangka pendek, jangka sederhana, dan panjang iaitu selama 15 tahun supaya bidang yang perlu kita perbaiki dapat dilaksanakan kerana ini satu perkara yang besar dan kalau hendak lihat satu perubahan kita kena mengambil kira banyak perkara dan pandangan untuk pastikan kualiti pendidikan kita setanding negara maju,” katanya. – BERNAMA