Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012


Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun Kertas Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012
Muat turun
Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012

URUSAN PEMANGKUAN PENGETUA CEMERLANG PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG54 DAN JUSA C SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) TAHUN 2012 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


URUSAN PEMANGKUAN PENGETUA CEMERLANG PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG54 DAN JUSA C SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) TAHUN 2012 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun dokumen-dokumen berikut:
1. Surat Edaran
2. Borang BPPC-2012
3. LAMPIRAN B – Kenyataan Oleh Ketua Jabatan
4. LAMPIRAN C – Surat Akuan Pinjaman Pendidikan
5. LAMPIRAN T1 – Tapisan Keutuhan
Muat turun
URUSAN PEMANGKUAN PENGETUA CEMERLANG PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG54 DAN JUSA C SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) TAHUN 2012 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Kementeria Pelajaran peruntuk RM1.3 juta untuk sekolah mubaligh di Selangor – Bernama


Kementeria Pelajaran peruntuk RM1.3 juta untuk sekolah mubaligh di Selangor

10 Julai 2012

Datuk Seri Noh Omar
SHAH ALAM – Kesemua 26 buah sekolah mubaligh di Selangor menerima peruntukan khas berjumlah RM1.3 juta daripada Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk kerja-kerja penyelengaraan.

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata setiap sekolah mubaligh menerima peruntukan RM50,000 bagi tujuan berkenaan.

“Bantuan ini diberikan oleh Kementerian Pelajaran kepada sekolah bantuan modal yang dimiliki oleh lembaga pengelola masing-masing. Kita berikan peruntukan ini untuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan sekolah terbabit.

“Yang penting, peruntukan ini untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dapat ditingkatkan dari segi penambahbaikan kemudahan-kemudahan sekolah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan cek peruntukan itu di Jabatan Pelajaran Selangor di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata terdapat 11 sekolah mubaligh di Klang, Petaling Utama (10), masing-masing dua di Kuala Langat dan Hulu Langat serta satu di Sepang.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan kerajaan Selangor mengenai papan iklan haram yang dipasang di kawasan Tanjong Karang, Noh yang juga Anggota Parlimen kawasan itu berkata ia merupakan tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata kesemua papan tanda itu dipasang oleh agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan, Kemajuan Pertanian Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga bagi memaklumkan kewujudan pusat berkenaan di kawasan Tanjong Karang.

“Semua itu adalah agensi kerajaan, jadi memanglah memamparkan wajah saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

Noh dalam pada itu menyelar tindakan Kerajaan Selangor yang menaikkan papan tanda ‘Selamat Datang ke Pekan Ikan Segar’ di beberapa kawasan di Kuala Selangor dan Tanjong Karang kerana projek itu diusahakan oleh kerajaan Persekutuan.

“Apa sumbangan mereka (kerajaan Selangor). Kerajaan persekutuan yang bangunkan dan beri bantuan termasuk jeti di Kuala Selangor yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia…mereka ambil jalan pintas, pacak papan tanda mereka,” katanya. — Bernama

Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut kerani wanita – Bernama


Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut kerani wanita

10 Julai 2012
MELAKA – Polis menahan seorang remaja yang dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang empat hari lepas.

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah itu ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia 20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok bermula 1.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt R. Gunarajan berkata kesemua mereka dipercayai merupakan ahli kumpulan yang terlibat dalam 15 kes pecah rumah dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah dan Jasin sejak tahun lepas.

Beliau berkata hasil siasatan, remaja terbabit mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa dalam kejadian berkenaan.

“Ketika kejadian, remaja itu membonceng motosikal yang ditunggangi seorang lagi rakannya yang masih dijejaki,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35 yang menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Gunarajan berkata dalam operasi itu polis turut menemui tiga komputer riba, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, beg duit dan matawang asing dan empat topi kaledar yang dipercayai hasil ragut dan pecah rumah.

Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai menggunakan taktik bersembunyi di inap desa atau hotel dan keluar meragut untuk membeli dadah.

Katanya kesemua mereka yang juga positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

Pesara Guru Cedera Disamun Lelaki Bersenjatakan Parang – mStar


Pesara Guru Cedera Disamun Lelaki Bersenjatakan Parang
Oleh YEE XIANG YUN

JOHOR BAHRU: Seorang pesara guru yang berusia 71 tahun terkejut apabila seorang lelaki bersenjatakan parang memecah masuk rumahnya di Permas Jaya di sini selepas dia pulang daripada berjoging pada waktu pagi, seperti biasa.

Insiden itu berlaku di rumah wanita itu di Jalan Permas 13/13 apabila dia memasuki rumahnya tetapi membiarkan pintu hadapan terbuka, apabila dia mahu memandu kereta milik anak perempuanya ke kedai untuk membeli sayur-sayuran pada pukul kira-kira 6.55 pagi pada Isnin (9 Julai).

Wanita berkenaan, yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, ketika kejadian itu, dia mahu keluar melalui pintu hadapan apabila dia menyedari terdapat sebuah kereta warna biru secara perlahan-lahan dan lelaki dalam lingkungan 30-an di tempat duduk penumpang memerhatikannya.

“Secara tiba-tiba, ia mengundurkan kereta di hadapan rumah saya dan saya merasakan akan dirompak maka saya dengan serta-merta menutup pintu hadapan rumah saya.

“Perkara seterusnya yang saya fikirkan adalah lelaki berkenaan sudah berdiri di hadapan saya dan mengarahkan untuk membuka pintu.

“Dia menolak saya ke dinding di tepi rumah, dan meletakkan parang ke leher saya dan berkata “jangan jerit, kasi saya wang” tetapi saya terlalu takut dan menjerit untuk mendapatkan bantuan,” katanya mengenai kejadian ngeri itu kepada The Star pada Selasa.

Katanya, dia cuba bergelut untuk membebaskan diri dan lelaki itu mengelar kedua-dua tangan dan jari-jarinya.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia memancingkan dengan memberikan RM40 tetapi lelaki itu mendesak lebih banyak wang dan mengugut untuk mengelarnya lagi.

“Saya beritahu dia untuk melepaskan saya supaya saya boleh berikan lebih banyak wang daripada beg duit saya di atas meja di ruang tamu dan dia lepaskan tetapi dia sudah hilang apabila saya kembali selepas mengambil wang,” katanya.

Anak perempuannya yang berusia 45 tahun, yang merupakan seorang peguam berkata, dia mendengar ibunya menjerit memanggil namanya supaya tidak turun ke tingkat bawah maka dia menelefon polis dari bilik di tingkat atas dan mereka tiba pada kira-kira pukul 7.20 pagi.

Pesara guru itu dikejarkan ke sebuah klinik di Taman Sentosa dan menerima 21 jahitan dan tujuh suntikan pada kedua-dua tangannya.

Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Permas Jaya yang terletak kira-kira lima minit dari rumahnya pada hari yang sama.

Pelajar sekolah agama ugut ibu dengan parang – Sinar Harian


Pelajar sekolah agama ugut ibu dengan parang
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012

Tertuduh (dua, kanan) dibawa keluar dari mahkamah majistret, semalam.
KOTA BHARU – Seorang pelajar lelaki sekolah agama, sanggup mengugut ibunya dengan parang dan kayu ketika wanita itu cuba menghalangnya dalam satu pergaduhan di Tanah Merah, minggu lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu mengaku melakukan perbuatan itu di mahkamah majistret selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, di sini, semalam.

Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri bagaimanapun menetapkan 7 Ogos depan untuk fakta kes dan laporan akhlak remaja itu sebelum hukuman dapat dijatuhkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja bawah umur itu didakwa mengugut ibunya yang berusia 45 tahun itu dengan menggunakan parang dan besi di rumahnya di Kampung Kuala Kajang Lalang Pepuyu, jam 8 malam, 4 Julai 2012.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Inspektor Adilla Othman menawarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun remaja yang tidak diwakili peguam hanya mendiamkan diri ketika diminta mengemukakan rayuan terhadap jaminan.

Bakar kereta sebab langgar remaja – Sinar Harian


Bakar kereta sebab langgar remaja
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012

Keadaan kereta jenis Proton Saga dibakar orang awam yang didakwa melanggar seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa patah kaki kanan, dalam kejadian malam kelmarin.
KLANG – Bengang tindakan pemandu kereta yang didakwa memandu laju hingga menyebabkan kecederaan seorang remaja, orang awam bertindak membakar kereta jenis Proton Saga itu dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam di Batu 2, Jalan Kampung Jawa, di sini malam kelmarin.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, orang awam bertindak sedemikian selepas simpati melihat seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun yang cedera dan patah kakinya terdampar di jalan berkenaan sejurus kejadian.

Menurutnya, mangsa disyaki dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Klang menghala bulatan Jalan Kebun.

“Keadaan di lokasi kejadian sedikit tegang bagaimanapun keadaan dapat dikawal sepenuhnya apabila polis dari IPD Klang Selatan tiba di situ.

“Mangsa berusia 17 tahun yang patah kaki kanan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hingga kini hanya pemandu kenderaan terbabit membuat laporan di Balai Trafik Klang Selatan, semalam.

“Berdasarkan maklumat daripada pemandu itu, dia mendakwa penunggang motosikal datang dari arah bertentangan dan telah memasuki laluannya ketika melintas kenderaan di hadapan.

“Berikutan itu, dia mendakwa gagal mengelak lalu berlaku pertembungan antara keretanya dan motosikal mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian tepat masih belum diketahui memandangkan polis kini hanya mendapat laporan daripada sebelah pihak iaitu pemandu kenderaan.

“Selepas kita mengambil keterangan daripada penunggang motosikal, barulah memudahkan siasatan kita,” katanya.

Rosly berkata, tindakan orang awam membakar kenderaan itu juga dipercayai ada kaitan dengan kemalangan itu dan kini siasatan lanjut masih diteruskan

Pelajar dakwa dirogol ‘Awie’ – Sinar Harian


Pelajar dakwa dirogol ‘Awie’
MOHD TAHA YAACOB
10 Julai 2012

NOORZAINY
BESUT – Rahsia seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini yang sering keluar melalui tingkap bilik tidurnya untuk bertemu teman lelaki pada awal pagi pecah tembelang apabila perbuatan itu disedari ibunya.

Rahsia itu terbongkar pada jam 2.30 pagi, Sabtu lalu oleh ibu remaja itu apabila dia terjaga daripada tidur kemudian selepas memeriksa bilik tidur anaknya namun mendapati anaknya tidak ada di dalam bilik manakala pintu tingkap terbuka.

Lebih malang, gara-gara tindakan mencuri keluar pada awal pagi menyebabkan pelajar itu mendakwa dirogol teman lelakinya yang dikenali dengan panggilan Awie yang tinggal bersebelahan rumahnya di sebuah kampung dekat Kuala Besut.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan tersebut dan memberitahu, sebaik menyedari anaknya tidak ada di dalam bilik, ibu mangsa pergi ke rumah jirannya itu dan mendapati mangsa berada di ruang tamu rumah bersama Awie. Menurutnya, ibu mangsa terus membawa anaknya pulang.

“Ibu mangsa turut mengesyaki Awie melakukan hubungan seks dengan anaknya kerana anaknya mengaku beberapa kali pergi ke rumah suspek ketika ibu dan ahli keluarganya sedang tidur,” katanya

Noorzainy berkata, polis sudah mengenal pasti suspek berumur 35 tahun yang sudah berkahwin itu dan usaha memburunya sedang giat dilakukan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Jangan jual semula netbook – Sinar Harian


Jangan jual semula netbook
NOOR AZIANTY NORMAN
10 Julai 2012

Mohd Zaili menyampaikan netbook 1 Malaysia kepada salah seorang pelajar.
KUANTAN – Guru sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Panching diminta untuk memantau pelajar yang menerima bantuan netbook bagi mengelakkan mereka menjual semula kemudahan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, mana-mana pelajar yang didapati melakukan perkara itu, pelajar lain dari sekolah terbabit mungkin akan dikecualikan daripada menerima bantuan itu.

“Ini bukan satu gertakan, tetapi sebagai peringatan kepada pelajar dan guru untuk lebih bertanggungjawab dengan pemberian kerajaan. Jika ada pelajar yang melakukan kesalahan itu, kita mungkin tidak akan memberikan lagi bantuan itu kepada pelajar dari sekolah yang sama.

“Bila kita mengenakan tindakan ini, secara tidak langsung pihak sekolah akan memberikan kerjasama dengan memantau pelajar yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Untuk Pelajar Sekolah Menengah Parlimen Paya Besar, semalam.

Katanya, pelajar yang terpilih seharusnya menghargai pemberian kerajaan kerana masih ramai lagi yang menanti untuk menerima bantuan netbook itu.

“Jika mereka tidak mahu, maklumkan kepada pihak sekolah supaya netbook yang ada boleh diberikan kepada pelajar yang lebih memerlukan. “Kerajaan memberikan kemudahan ini bukan untuk pelajar menjualnya semula, tetapi untuk dimanfaatkan dalam menelaah pelajaran,” katanya.

Mohd Zaili berkata, sebelum ini beliau pernah mendengar khabar angin bahawa ada pelajar yang menjual netbook itu dengan harga ‘suka sama suka’.

“Walaupun tidak pernah terima aduan jelas, namun saya tetap mahu mengingatkan pelajar kerana tidak mahu perkara seperti ini berlaku.

“Saya harap, ibu bapa juga dapat bekerjasama memantau anak-anak mereka serta memastikan kemudahan itu tidak disalahgunakan,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 1,100 pelajar melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, SMK Sri Panching, SMK Pandan dan SMK Bukit Rangin hadir menerima netbook.

Budak dakwa didera bapa tiri – Sinar Harian


Budak dakwa didera bapa tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Shahdan Jaafar
MUAR – “Saya pernah diikat kaki, disimbah air serta dikurung dalam bilik air berjam lamanya hanya kerana kesalahan pulang lewat dari sekolah.

“Puas saya merayu agar tidak dikurung, tapi ayah tak mengendahkannya dan biarkan saya kesejukan dalam bilik air,” demikian luahan mangsa dera bapa tiri.

Mangsa yang berusia 12 tahun itu berkata, bapa tirinya sangat garang dan tidak teragak- agak menggunakan apa saja peralatan yang ada berhampiran untuk memukulnya jika dia membuat kesalahan.

“Selasa lalu, ayah pukul dan tumbuk muka saya kerana mengatakan saya bercakap tidak benar.

“Saya tidak tahu kesalahan apa yang telah saya lakukan sehingga menimbulkan kemarahannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hampir seminggu selepas kejadian, rahsia murid tahun enam itu bagaimanapun terbongkar apabila guru di sekolahnya mengesan kecederaan yang dialami mangsa ketika sesi perhimpunan sekolah, pagi semalam.

“Saya terpaksa berterus terang kerana kecederaan pada mata sangat ketara dan tidak boleh disembunyikan lagi. “Guru terus bawa saya buat laporan polis dan menjalani pemeriksaan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya.

Mangsa yang masih trauma mengalami kecederaan di bahagian mata, pipi dan kedua belah paha dipercayai akibat ditumbuk dan dipukul dengan menggunakan tukul besi serta tin penyembur serangga.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Shahdan Jaafar berkata, pemeriksaan di HPSF itu juga mendapati anak kedua daripada tiga beradik itu turut memiliki kesan luka lama di belakang badan.

“Lelaki terbabit yang juga bapa tiri mangsa ditahan selepas polis menerima laporan daripada pihak sekolah mengenai kecederaan dialami mangsa.

“Ketika ditahan, kami juga menemui dadah jenis ganja, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan,” katanya.

Shahadan berkata, lelaki terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Ibu mangsa walau bagaimanapun tidak ditahan, tapi dia hanya disoal siasat. “Pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kemungkinan dua lagi adikberadik mangsa turut didera atau pun tidak,” katanya.