Remaja maut, motosikal rempuh kereta ketika merempit – Bernama


Remaja maut, motosikal rempuh kereta ketika merempit

24 Julai 2012
BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditunggang memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Merah, Permatang Pauh, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ASP S. Manogaran berkata Aqmar Azwar Zulkifli, 16, dari Taman Ara Indah di sini, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 10.40 malam itu.

Remaja itu dipercayai menunggang dengan laju bersama sekumpulan rakan apabila motosikalnya memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Manogaran berkata pelajar itu juga tidak memiliki lesen memandu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41 (1)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

5,000 ucapan kasih ibu, guru – Berita Harian


5,000 ucapan kasih ibu, guru
01:15:06 AM Oleh Nas Norziela Nasbah Cetak Emel Kawan

Kuala Lumpur: Kira-kira 5,000 penyertaan diterima bagi peraduan Selamat Hari Guru dan Sayang Ibu Sayang Ayah anjuran Kelab TaHa dan Berita Harian (BH).

Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Kamarudin Mat Ali berkata, peraduan itu yang bermula sejak April sehingga Mei lalu itu khas dibuka penyertaannya kepada seramai 1.07 juta ahli Kelab TaHa yang sudah mendaftar. Beliau berkata, peraduan Selamat Hari Guru dan Sayang Ibu Sayang Ayah itu bertujuan memberi peluang kepada ahli Kelab TaHa untuk menyampaikan kad ucapan kepada ibu bapa dan guru mereka mengikut hasil kreativiti masing-masing.
Generasi muda

“Peraduan ini adalah inisiatif pihak Tabung Haji melalui Kelab TaHa dalam usaha melahirkan generasi muda yang bijak dan pada masa sama berdaya saing apabila menyertai pertandingan kreatif sebegini.

“Selain hadiah individu, lima sekolah akan turut menerima wang tunai RM500 serta sijil kerana menghantar penyertaan terbanyak,” katanya pada majlis pemilihan pemenang bagi kedua-dua peraduan itu di Bangunan Tabung Haji, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar, Bahagian Simpanan dan Pengeluaran, Mohd Ridzuan Wahi, Pengurus kanan, Bahagian Khidmat Pelanggan, Noor Azmima Ismail dan Pengurus Kanan Jualan Korporat The New Straits Times Press (NSTP), Salmah Hanim Hares.

Penyamun campak anak – Metro


Penyamun campak anak
Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my

KUALA SELANGOR: “Saya terkejut kejadian berlaku sekelip mata kerana sewaktu kereta dilarikan saya berada di hadapan pintu rumah memakai stokin sambil memanaskan enjin kereta.

“Tiba-tiba muncul dua lelaki bertopeng membawa parang dan masuk ke dalam pacuan empat roda Honda CRV milik majikan yang diletak di hadapan rumah. Lelaki terbabit mencampak anak perempuan saya berusia tujuh tahun keluar sebelum melarikan kereta berkenaan,” kata Suhaimi Mansor, 35, yang ditemui semalam.
Menurut Suhaimi, dalam kejadian jam 7 pagi itu, dia bersiap untuk menghantar anaknya ke sekolah, namun sempat memanaskan enjin kereta sebelum mengarahkan anaknya menunggu di dalam kereta.

Sebaik melihat anaknya dicampak keluar, keretanya pula dilarikan, mangsa mendapatkan bantuan jirannya mengejar suspek sebelum terserempak suspek di hadapan sebuah sekolah rendah.
“Suspek tak dapat larikan diri kerana jalan ditutup sehingga memaksa mereka berpatah balik ke jalan utama.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24

JKM salur bantuan RM400 sebulan – Metro


JKM salur bantuan RM400 sebulan
JOHOR BAHRU: Bantuan kanak-kanak (BKK), RM400 sebulan akan diberikan kepada keluarga tiga kanak-kanak terpaksa ponteng sekolah hampir 100 hari akibat kepenatan menjual nasi lemak bermula Ogos ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata bantuan, itu diberikan kepada keluarga berkenaan selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan selain semakan terhadap keadaan keluarga itu.
Menurut Manayi, selain bantuan BKK, ibu kanak-kanak berkenaan juga layak menerima bantuan memulakan perniagaan RM2,600 daripada JKM yang memerlukan wanita berkenaan menyenaraikan segala peralatan diperlukan.

“Kami juga akan membantu dalam urusan membabitkan yuran persekolahan tiga anaknya bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah yang boleh mengganggu tumpuan pelajaran.
“Kaunselor juga akan dihantar untuk berjumpa kanak-kanak itu bagi membantu mereka berdepan rasa rendah diri yang mungkin memberi tekanan emosi kepada ketiga-tiga beradik berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga kanak-kanak terbabit di Kempas di sini, semalam.
Hadir sama Penolong Pegawai Tadbir Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Endok Khairunisak Beduroding dan Ketua Kampung Kempas, Salim Daud.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24

‘Tak perlu ponteng lagi’ – Metro


‘Tak perlu ponteng lagi’
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Selepas ini, anak saya tidak perlu lagi ponteng sekolah untuk membantu saya menjual nasi lemak bagi menampung kehidupan kami sekeluarga,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini, 35, yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak yang terpaksa ponteng sekolah hampir 100 hari akibat keletihan berjalan kaki untuk menjual nasi lemak.

Noraini berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kempas, di sini, semalam, selepas keluarganya menerima kunjungan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru serta Majlis Agama Islam Johor (Maij), untuk memberikan bantuan, semalam.
Menurutnya, bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi memastikan kehidupan empat anaknya, Nazirah, 16, Hamirul, 11, Nabila, 9, dan Alyah, 8, terjamin.

“Rezeki kami juga semakin bertambah sejak Ramadan selepas menerima tempahan memasak nasi ambang untuk dijual di bazar Ramadan.
“Disebabkan itu, tiga anak saya tidak perlu ponteng sekolah lagi dan saya akan cuba memastikan mereka dapat berehat selain menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran.
“Saya tahu pelajaran itu penting dan hanya dengan pelajaran nasib kami sekeluarga dapat diubah,” katanya.

Menurut wanita yang digantung tidak bertali sejak lima tahun lalu itu, bantuan diterima daripada JKM dan Maij akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi memastikan kehidupan empat anaknya terjamin.
“Pegawai JKM memaklumkan mereka akan menaja peralatan berniaga seperti periuk, kuali, sudip dan yang berkaitan untuk saya memulakan perniagaan,” katanya.

“Ia cukup menggembirakan kerana sebelum ini, semua peralatan itu saya pinjam daripada kenalan yang bermurah hati membantu,” katanya.
Menurut Noraini, harapannya kini memastikan keempat-empat anaknya membesar dengan sempurna selain mendapat pendidikan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24

Mappim tolak usul benar pelajar bawa iPad, telefon – Sinar Harian


Mappim tolak usul benar pelajar bawa iPad, telefon
WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Julai 2012

Sekadar gambar hiasan.
SHAH ALAM – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Islam (Mappim) menolak usul Kementerian Pelajaran mengenai cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Presidennya, Misswadi Sarvini berkata, sekiranya usul tersebut diluluskan, ia akan mengundang risiko kepada pelajar melibatkan pergaduhan, kecurian dan fitnah.

“Perkara tersebut pernah dilaksanakan beberapa tahun lalu, namun mendapat tentangan hebat daripada ibu bapa, pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebagai salah satu NGO yang memantau kecemerlangan pelajar, kami tidak bersetuju jika usul ini dilaksanakan memandangkan pelbagai komplikasi dan impak kepada pembelajaran murid,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.

Misswadi berkata, terlalu banyak keburukan daripada kebaikan sekiranya usul tersebut dilaksanakan dan pihaknya berpendapat masih terdapat kaedah lain yang lebih sesuai untuk memantau pergerakan pelajar.

“Saya berharap kementerian mencari mekanisme yang berkesan dalam membantu ibu bapa agar anak-anak mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah atau sosial.

“Cadangan kami adalah setiap sekolah menyediakan bilik khas untuk berkomunikasi atau pondok telefon bagi memudahkan pelajar menghubungi keluarga,” katanya.

Jasad anak ditemui – Metro


Jasad anak ditemui
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

SEDIH…Misnati (tengah) bersama suami, Markasan dan anak mereka, Nikmatul menunjukkan pakaian kegemaran Yaqin. Gambar kecil, Yaqin.
AMPANG: Mayat kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh di lubang saliran air Taman Putra di sini, sejak Jumaat lalu, Nurul Yaqin Makasar, 11 ditemui di kolam takungan air berhampiran Flat Sri Johor Bandar Tun Razak, di ibu negara, petang semalam.

Mangsa ditemui anggota Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak yang menjalankan operasi mencari mangsa jam 5.30 petang.
Sementara itu, ibu mangsa, Misnati Hullah, 48, yang dihubungi mengesahkan penemuan anak bongsunya itu sebelum diminta ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Kami dimaklumkan oleh anggota polis mengenai penemuan Yaqin sejurus masuk waktu berbuka puasa kira-kira jam 7.35 malam dan membuat pengecaman di hospital pada jam 8.35 malam.
“Memang sah itu jasad Yaqin, namun kami hanya dibenarkan membawa pulang jenazah pagi esok (hari ini) kerana hospital perlu melakukan bedah siasat,” katanya.
Misnati berkata, sejak anak bongsunya itu hilang selepas terjatuh dari longkang dan dihanyutkan arus deras, dia sentiasa berdoa dan mengaji al-Quran berharap jasad anaknya itu ditemui untuk disemadikan dengan sempurna.

“Kali terakhir Yaqin mencium saya sebelum ke sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Tasik Tambahan. Saya tidak menyangka itu ciuman terakhirnya. “Malah, kami sekeluarga tidak sempat menyambut kedatangan Ramadan kali ini bersamanya. Sejak Yaqin berusia tujuh tahun, dia tidak pernah tinggal puasa. Dia berpesan kepada saya supaya belikan baju Melayu merah dan sampin hitam untuk hari raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tasik Tambahan, di sini, semalam.
Dengan nada sebak, Misnati yang berstatus penduduk tetap memberitahu dia yakin dan reda dengan takdir Ilahi anak lelaki daripada empat beradik itu sudah tiada lagi selain berdoa anaknya itu ditemui semula.

“Sejak mengetahui Yaqin lemas hingga semalam (kelmarin) kami pergi ke Sungai Kerayong melihat operasi mencari dan menyelamat. Setiap saat saya berdoa jasadnya ditemui kerana sudah tiga hari ia belum ditemui.
“Tadi (semalam) saya membaca surah Luqman sebanyak tiga kali. Mungkin terlalu penat, saya terlelap lebih kurang satu minit dan bermimpi Yaqin senyum kepada saya, malah bibirnya merah,” katanya.
Menurutnya, dia yang tersedar dari tidur menceritakan mimpi itu kepada suami, Markasan Markadi, 58, dan anak perempuan ketiganya, Nikmatul Hanafia, 17. Katanya, anaknya yang bersekolah di tahun lima tergelincir dalam lubang saliran air di Taman Putra jam 6 petang, Jumaat lalu, selepas keluar bermain dengan empat rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24

Isu Tanah SJKT Effingham:MIC Akan Bina Asrama, Padang Sukan Untuk Kegunaan Pelajar India – Bernama


Isu Tanah SJKT Effingham:MIC Akan Bina Asrama, Padang Sukan Untuk Kegunaan Pelajar India
KUALA LUMPUR: MIC akan membina asrama dan padang sukan untuk kegunaan pelajar kaum India yang memerlukan di sebidang tanah seluas 1.2 hektar (3 ekar) yang menjadi kontroversi berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Effingham di Bandar Utama.

Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata padang sukan itu boleh diguna oleh semua sekolah Tamil di kawasan tersebut, selain memanfaatkan pelajar SJKT Effingham.

Beliau berkata asrama pula untuk kegunaan pelajar kaum India dari kawasan luar yang berkunjung ke Lembah Klang.

Katanya, MIC akan menanggung kos pembinaan asrama dan padang sukan itu yang akan dilakukan tahun depan dan selepas siap, ia akan diurus Yayasan Strategik Sosial (YSS).

Terdahulu, Palanivel menyampaikan cek bernilai RM615,000 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kepada Guru Besar SJKT Effingham Datin S.Jayam untuk membina dewan komuniti sekolah itu.

Dalam ucapannya, Palanivel berkata beliau akan meminta peruntukan tambahan sebanyak RM350,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bantuan membina dewan komuniti itu, dan menjangkakan wang tersebut akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Palanivel turut menjanjikan RM50,000 daripada Yayasan Pembina Masyarakat (CBF) di mana beliau menjadi pengerusi, dan RM10,000 lagi yang merupakan sumbangan peribadinya kepada sekolah itu bagi menggantikan meja, kerusi dan atap yang rosak.

Beliau berkata tanah seluas 1.2 hektar itu tidak akan disalah guna untuk tujuan politik atau peribadi, sebaliknya projek komuniti yang akan memanfaatkan pelajar kaum India.

Turut hadir Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan and Datuk S.K Devamany, Setiausaha Agung MIC Datuk S.Murugesan dan Presiden Lembaga Pengelola Sekolah Effingham Gana Pragasam.

Pada Mei lepas, sebuah badan bukan kerajaan ‘the Return Effingham Land Action Team (Reflex), yang dianggotai pelajar, ibu bapa, guru dan alumni SJKT Effingham, mengadakan mogok lapar bagi menuntut tanah itu yang didakwa milik sekolah berkenaan, dipulangkan. – BERNAMA