Imbuhan Aidilfitri: Cuepacs cari pendekatan terbaik – Bernama


Imbuhan Aidilfitri: Cuepacs cari pendekatan terbaik

16 Julai 2012

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mencari pendekatan terbaik untuk memastikan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara mendapat imbuhan menjelang Aidilfitri.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mendapatkan pandangan pihak tertentu berhubung perkara itu sebelum menyerahkannya kepada pihak pentadbiran untuk diputuskan.

Beliau berkata Cuepacs tidak mahu setiap kali kongres itu membuat sesuatu tuntutan terutama bonus, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

“Kita (Cuepacs) sedang mencari ilham supaya perkara ini tak menyusahkan kerajaan, peniaga dan pekerja, kita mahu satu pendekatan yang bijak,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs Bilangan 6 Sesi 2010-2013 di sini hari ini.

Mesyuarat dihadiri 130 orang anggota majlis. Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa juga berkesempatan mengadakan dialog selepas mesyuarat.

Selain itu Omar mengulangi pendirian mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menarik balik dua dasar baru yang diperkenalkan iaitu membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini.

Beliau berkata dasar itu perlu dibatalkan dan satu pendekatan yang lebih berdaya saing diwujudkan untuk memantapkan perkhidmatan awam negara.

Katanya keputusan Cuepacs berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.

Omar berkata beliau difahamkan terdapat 800 jawatan untuk peringkat SPM telah ditawarkan kepada pemegang ijazah sarjana muda.

Sementara itu Ali berkata pendekatan turun padang yang dilaksanakan oleh beliau diharap dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau berkata pendekatan tersebut lebih berkesan kerana dapat melihat keadaan sebenar berbanding hanya bergantung kepada laporan pegawai di peringkat tempatan.

Ali juga berharap Cuepacs yang memperjuangkan nasib penjawat awam supaya dapat berkongsi pandangan atau pendapat dan tidak merasakan wujud sebarang kekangan antara beliau dan kongres itu. – Bernama

PM Jemput Rakyat Kemuka Input Bajet 2013 – Bernama


PM Jemput Rakyat Kemuka Input Bajet 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa rakyat Malaysia menyumbang idea, berkongsi cadangan dan pendapat mereka mengenai Bajet 2013 secara online bermula hari ini sehingga 29 Julai.

Perdana Menteri berkata platform itu merupakan peluang bagi semua rakyat Malaysia mengemukakan idea dan input mereka untuk pertimbangan Kementerian Kewangan.

Orang ramai boleh menyuarakan pendapat mereka dengan mengklik bahagian yang disediakan pada entri terbaharu blog beliau http://www.1malaysia.com.my yang bertajuk ‘Bajet 2013: Saya Hargai Cadangan Anda’.

“Pada 28 September akan datang, saya akan membentangkan Bajet Negara untuk tahun 2013 bagi pihak kerajaan persekutuan selaku menteri kewangan. Pada saya, adalah penting agar rakyat diberikan peluang untuk menyuarakan cadangan dan pendapat mereka tentang cara terbaik untuk bawa negara kita ini ke hadapan di pentas dunia dari segi sosial dan ekonomi.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya amat berharap agar dapat menerima idea-idea baharu yang bernas serta penyelesaian yang berpotensi daripada rakyat Malaysia,” kata Najib dalam blog beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata platform itu akan memberi tumpuan terhadap beberapa topik iaitu kos sara hidup, keselamatan awam, harga hartanah, peranan belia dalam kreativiti dan juga isu-isu yang mempengaruhi kehidupan rakyat.

“Pada masa ini, kurang daripada 10 peratus rakyat Malaysia yang membayar cukai. Oleh itu cabaran utama bagi kita adalah untuk memperluas dan mengubah sumber pendapatan negara bagi memastikan defisit bajet dikekalkan pada paras boleh urus agar perbelanjaan tidak melebihi kemampuan kita,” katanya.

Untuk mencapai matlamat ini, beliau berkata kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap perangsangan pelaburan dalam negeri serta menarik pelaburan asing melalui Program Transformasi Ekonomi.

“Kita sudah pun membuat permulaan yang kukuh di mana LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) tahun lalu telah mengumpul sebanyak RM110 bilion hasil, dan ini membolehkan kita membiayai perkhidmatan-perkhidmatan utama bagi kebajikan rakyat seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan baucar buku.

“Bagi mengekalkan momentum ini, kita perlukan semua rakyat Malaysia untuk menyumbang idea mereka, dan oleh itu saya ingin menjemput anda semua untuk turut serta dalam perbincangan Bajet 2013 ini,” katanya. BERNAMA

72 pelajar sekolah menengah agama keracunan makanan – Bernama


72 pelajar sekolah menengah agama keracunan makanan

16 Julai 2012
SEREMBAN – Lebih 70 pelajar di sebuah sekolah menengah agama di sini mengalami keracunan makanan dengan 15 terpaksa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) hari ini.

Bernama difahamkan kejadian sejak tengah malam tadi itu membabitkan pelajar tingkatan tiga dan lima yang tinggal di asrama sekolah berkenaan selepas menikmati hidangan di dewan makan asrama.

Pegawai Perhubungan Awam HTSJ Lathifah Abdul Hamid berkata 15 pelajar terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum dibenar pulang.

“Daripada maklumat yang kita terima seramai 72 pelajar di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan.

Semua pelajar terbabit telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata HTSJ telah menghantar sepasukan pegawai perubatan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Ismail bin Taib berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tindakan akan diambil jika didapati pengusaha makanan tersebut bersalah.

Beliau turut mengingatkan pengusaha makanan dan pengusaha kantin sekolah di negeri ini agar menitikberatkan kebersihan makanan bagi mengelak kejadian keracunan makanan.

Dalam pada itu, beberapa pelajar terbabit ketika ditemui Bernama berkata mereka mengalami sakit perut serta pening sejak malam tadi selepas menikmati hidangan di dewan makan.

Nor Syahira Mohd Shah, 16, berkata dia mula mengalami sakit perut sejak malam tadi sehingga menyebabkannya muntah dan tidak boleh tidur.

“Saya mula perasan perut saya kurang selesa selepas solat Isyak, tapi saya ingatkan pada masa itu hanya sakit perut biasa sahaja.

“Tapi sehingga lewat malam perut saya semakin sakit dan saya mula cirit birit dan muntah. Menjelang pagi saya dapati rakan sebilik saya juga turut mengalami keadaan sama sebelum saya melaporkan kepada warden asrama,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Atiqah Mohd Rafi, 13, pula berkata dia turut mengalami simptom yang sama dengan rakan-rakannya malam tadi dan terpaksa berulang-alik ke tandas selain mengalami muntah-muntah.

Bagaimanapun pihak sekolah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen. – Bernama

Pandangan dan maklumbalas mengenai cadangan penggunaan perkakasan ICT termasuk telefon bimbit di kalangan murid-murid sekolah


Pandangan dan maklumbalas mengenai cadangan penggunaan perkakasan ICT termasuk telefon bimbit di kalangan murid-murid sekolah

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipengerusikan oleh YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran 1 telah meneliti draf Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang digubal di bawah Akta Pendidikan 1996 bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 yang digubal di bawah Ordinan Pelajaran 1957.

Beberapa peraturan baru telah dibincang seperti cadangan untuk membenarkan murid membawa dan mengguna perkakasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) termasuk telefon bimbit. Cadangan kebenaran ini perlu mematuhi syarat dan peraturan yang akan ditetapkan.

Mohon orang ramai mengemukakan pandangan dan maklumbalas mengenai cadangan penggunaan perkakasan ICT termasuk telefon bimbit di kalangan murid-murid sekolah menerusi saluran-saluran berikut:-

(1) Khidmat Pelanggan KPM (KPKPM) – Telefon: 03-7723 7070 atau e-mel kpkpm@moe.gov.my
(2) Facebook KPM – Official: Kementerian Pelajaran Malaysia
(3) Twitter KPM – @1KemPelajaran

Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan Khamis Ini – Bernama


Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan Khamis Ini

KUALA LUMPUR: Tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Khamis ini (19 Julai).

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebanyak 30 tempat di seluruh negara telah ditetapkan bagi tujuan itu.

Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh Pulau Pinang.

Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) Setiu, Terengganu.

Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kuala Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak.

Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang akan disiarkan melalui radio dan televisyen. – BERNAMA

Nyawa murid ibarat mainan – Sinar Harian


Nyawa murid ibarat mainan
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012

Walaupun tiada sesiapa yang melintas jalan tindakan pemandu kereta ini tetap salah kerana melanggar lampu merah di hadapan SK Marang.
BANDAR MARANG – “Pengguna jalan raya dengan sesuka hati akan memecut laju walaupun lampu isyarat masih merah. Perbuatan mereka ini amat berbahaya kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Marang di sini.”

Demikian rungutan ibu empat anak, Norhayati Zaman, 46, yang merupakan antara lebih 100 ibu bapa murid di sekolah itu yang bimbang mengenai keselamatan anak mereka apabila melintas jalan di hadapan sekolah kerana pengguna jalan raya sering melanggar lampu isyarat merah.

Menurutnya, pengguna jalan raya tidak beretika itu bukan hanya terdiri daripada remaja, tetapi termasuk golongan dewasa sekali gus keselamatan murid tidak terjamin walaupun lampu isyarat ‘push botton’ disediakan.

“Pernah saya melihat seorang penunggang motosikal meluru ke depan walaupun lampu isyarat menunjukkan isyarat berhenti. Kebetulan sebuah kereta berada di hadapan berhenti lalu penunggang itu tidak dapat mengelak dan terlanggar sisi kenderaan itu.

“Walaupun tiada yang cedera dan hanya sisi kiri kereta tersebut tercalar, namun tidak mustahil penunggang motosikal itu berisiko terlanggar murid yang sedang melintas pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Tinjauan Sinar Harian mendapati perkara itu kerap berlaku ketika tiada pengguna jalan raya yang melintas jalan, namun ada ibu bapa mendakwa keadaan itu turut berlaku pada waktu puncak iaitu pada sebelah pagi dan pada waktu tengah hari persekolahan.

Dakwa mereka, pada waktu itu, jalan raya amat sibuk dengan kenderaan manakala murid pula melintas jalan untuk ke sekolah dan pulang ke rumah.

Sementara itu, seorang bapa murid dari sekolah itu, Mohamad Muda Awang, 57, berkata, kadang-kadang bukan hanya penunggang motosikal sahaja yang bersikap sedemikian malah ada juga pemandu kereta yang tidak mempedulikan lampu isyarat.

“Jadi, saya amat berharap agar polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka. Namun, untuk memerangkap mereka, pihak berkuasa tidak perlu memakai uniform rasmi semasa membuat pemantauan.

“Perkembangan ini perlu dibendung segera agar tidak berlaku sebarang tragedi. Sepatutnya dengan adanya lampu isyarat keselamatan mereka lebih terjamin tetapi kini nyawa murid sekolah itu boleh diibaratkan seperti pin boling,” katanya.

Tauke ikan tidak mengaku bersalah rogol anak angkat – Sinar Harian


Tauke ikan tidak mengaku bersalah rogol anak angkat
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Seorang tauke ikan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam atas pertuduhan merogol ‘anak angkat’nya yang berumur 16 tahun dalam kejadian di Jambu Bongkok, Merchang di Marang pada November tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Sabri Mohd Yanon@Mohamed, 50, yang berasal dari Jambu Bongkok, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala Mohd Sabri diwakili peguam, Nik Mohd Radhia Nik Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga gadis bawah umur, di sebuah rumah di Jambu Bongkok, Marang antara jam 2.15 petang hingga 4 petang pada November tahun lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesala-han, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebat.

Hakim Wan Fadhilah Nor kemudiannya menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Mohd Sabri diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tumbesaran remaja 15 tahun terbantut – Sinar Harian


Tumbesaran remaja 15 tahun terbantut
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012

Mohamed Suffian (dua, kanan) dan Wan Azlan (kanan) bertanyakan sesuatu kepada ibu Syam, Rosli (kiri) ketika berkunjung dan menyampaikan sumbangan Bakkis.
KUANTAN – Walaupun sudah berumur15 tahun, seorang remaja kelihatan seperti kanak-kanak berusia 3 tahun berikutan tumbesarannya terbantut setelah diserang demam panas.

Mohd Badrul Hisham tidak mampu berjalan mahupun bercakap dan hanya mampu terlantar sejak diserang demam panas ketika berusia tujuh bulan walaupun normal ketika dilahirkan.

Remaja malang tersebut yang dikenali Syam oleh ahli keluarganya hanya mampu merengek seperti anak kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibunya, Rosli Ramli, 52 untuk menguruskan segala keperluan dirinya.

Ibunya berkata, dia terpaksa menguruskan anak bongsu daripada enam beradik itu sama seperti bayi termasuk dipakaikan lampin dan diberi makan makanan bayi.

Menurutnya, anaknya tidak boleh menjamah makanan pejal dan hanya diberi makanan lembut seperti nestum atau bubur yang dikisar, menyebabkan badannya berubah menjadi kurus dan hanya mempunyai berat kira-kira 20 kilogram.

“Segalanya berubah apabila dia diserang demam panas sehingga menyebabkan Syam lumpuh dan cacat.

“Doktor mengesahkan anak saya menghidap sejenis penyakit Cerebral Palsy (lumpuh otak),” katanya semasa menerima kunjungan dan sumbangan daripada ahli Badan Kebajikan Kemanusiaan Mukim Sungai Karang/Beserah (Bakkis) yang diketuai Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh di rumahnya di 568, Lorong 18 Tanah Putih Baru di sini, kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamed Suffian Awang yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuantan.

Ditanya perasaannya, Rosli mengakui hatinya remuk melihat nasib yang dialami anaknya kerana tidak mampu bersekolah seperti remaja lain.

“Kami sudah mencuba pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan alternatif untuk mengubati penyakit Syam, namun keadaannya tidak berubah dan mahu tidak mahu terpaksalah kami sekeluarga menerima keadaannya.

“Tidak sukar menjaga Syam kerana dia hanya akan merengek atau menangis sekiranya lapar ataupun berasa tidak selesa. Hanya saya dan suami boleh mengangkatnya kerana anak-anak lain tidak berani berbuat demikian kerana keadaan tubuhnya lemah dan lembik,” katanya.

Paling mengejutkan, remaja terbabit masih tidak mempunyai kad pengenalan (Mykad) dan hanya menggunakan sijil kelahiran sebagai dokumen diri.

“Abang dia pernah ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) untuk memohon Mykad, namun pegawai bertugas ketika itu tetap menyuruh anak saya, Syam hadir ke pejabat.

“Dengan situasi yang dialami dan ketiadaan kenderaan sendiri, bagaimana saya ingin membawanya dan sehingga kini, permohonannya untuk mendapatkan Mykad masih tertangguh,” katanya.

Rosli berkata, anaknya ada menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluannya termasuk ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang.

Menurutnya, suaminya, Mahmud Awang, 56, hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM700 sebulan.

Sementara itu, Mohamed Suffian menggesa JPN turun padang ke rumah keluarga Syam untuk menguruskan proses permohonan MyKadnya.

Beliau berkata, JPN seharusnya bertolak ansur dan prihatin dengan keadaan remaja itu yang mempunyai pergerakan terbatas dan keluarganya tidak mampu untuk membawanya ke pejabat JPN.

Kemalangan: Datuk maut, abang selamatkan adik – Sinar Harian


Kemalangan: Datuk maut, abang selamatkan adik
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012

Mohd Faiq patah tangan kiri dalam kemalangan yang meragut nyawa datuknya, kelmarin.
ALOR GAJAH – Seorang abang sempat menyelamatkan adiknya selepas motosikal ditunggang datuknya dirempuh sebuah kereta di hadapan rumah mereka di Jalan Kampung Pulau, Durian Tunggal, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, mangsa, Omar Muhammad, 62, disahkan meninggal dunia selepas 12 jam menerima rawatan, sementara cucunya, Mohd Faiq Amni Mazlan, 7, patah tangan kiri akibat dirempuh kereta Proton Iswara sebelum tercampak ke jalan raya.

Difahamkan, mangsa bersama cucunya itu dalam perjalanan pulang dari kedai berdekatan, dari arah Alor Gajah kemudian dirempuh kereta yang dipandu seorang remaja berusia 18 tahun yang datang dari arah pekan Durian Tunggal ke Alor Gajah.

Anak bongsu mangsa, Azlina Omar, 31, berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah terkejut mendengar dentuman kuat.

Menurutnya, ketika itu dia melihat anak saudaranya, Mohd Fakrul Naim, 10, yang juga abang kepada Mohd Faiq menghalang kenderaan dan menarik adiknya yang menangis kesakitan di tepi jalan.

“Dalam keadaan kelam kabut itu ibu, Asmah Jalil, 55, turut keluar membantu,” katanya.

Azlina berkata, sebelum kejadian arwah bapa baru selesai menunaikan solat Jumaat bersama dua cucunya itu dan menurunkan Mohd Fakrul di tepi jalan sebelum membawa Mohd Faiq ke kedai berdekatan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

“Ayah disahkan meninggal dunia keesokan harinya berikutan kecederaan parah di kepala dan kaki kiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian berkenaan. “Mangsa yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.