Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas terjatuh longkang – Bernama


Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas terjatuh longkang

21 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam longkang besar di kawasan deretan rumah kedai di Jalan Bunga Tanjung, Pandan Indah semasa hujan lebat petang tadi.

Saksi kejadian berkata kanak-kanak itu dipercayai dibawa arus longkang itu selepas terjatuh ke dalamnya ketika mangsa bersama seorang rakannya melintas jalan di kawasan tersebut.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata bomba menerima panggilan daripada orang ramai pada pukul 6.40 petang tadi memaklumkan terdapat saksi kejadian yang melihat seorang kanak-kanak tergelincir ke dalam longkang tersebut.

Ekoran itu, bomba menghantar dua jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian untuk mencari kanak-kanak itu dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, katanya dalam sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama malam ini.

Namun, sehingga kini mangsa yang belum diketahui identitinya, masih belum ditemui.

Gerakan mencari mangsa masih giat dijalankan di sekitar kawasan Ampang dan Cheras.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi berkata mangsa dipercayai dibawa oleh arus deras dan dikhuatiri lemas. – Bernama

Imbuhan Aidilfitri: Najib mahu tengok ‘buku’ – Bernama


Imbuhan Aidilfitri: Najib mahu tengok ‘buku’

21 Julai 2012

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
PEKAN – Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam bergantung kepada kemampuan kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan wajah yang ceria, Najib berkata, beliau akan melihat ‘buku kira-kira’ kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu.

“Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena tengok-tengok buku kira-kira dahulu…kalau apa-apa pun kita semak dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pemberian imbuhan itu baru-baru ini.

Pada 16 Julai, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan.

Najib ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan cek Durian Runtuh Felda Fasa 2 dan pakaian kepada Pegawai-pegawai Masjid serta sumbangan Apron kepada peniaga dan bantuan cermin mata kepada penduduk Pekan di Dewan Umno Pekan, di sini.

Dalam ucapannya beliau menegaskan agar pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tidak menghalang usaha kerajaan dalam memajukan negara.

Mengambil contoh penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, beliau berkata, pihak yang cuba menghalang disifatkan sebagai busuk hati kerana tidak suka melihat kerajaan membantu meningkatkan kehidupan rakyat.

“Jangan halang usaha kerajaan untuk majukan negara dan rakyat, tidak sokong tidak apa… dalam hal ini (penyenaraian FGVH) kita tak boleh halang sebab ini adalah hal yang baik dan untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian Najib berkata, jika peneroka ingin membeli tambahan saham, mereka perlu membelinya di pasaran saham terbuka.

“Pihak Felda perlu membantu peneroka untuk membelinya di pasaran terbuka dengan harga semasa. Walaupun peneroka telah ditawarkan dengan 800 unit saham ketika saham tersebut dilancarkan mereka juga tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGVH telah dimasukkan ke dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun kepada mereka,” katanya.

Ditanya mengenai laporan akhbar berhubung senarai awal calon Barisan Nasional yang ditolak 50 peratus daripadanya, Najib berkata: “Kita belum memuktamadkan calon-calonnya dan kita akan memutuskannya apabila tiba masanya, jadi semuanya hanya spekulasi. Umno pun belum, kita tengah semak-semak dan belek-belek lagi,” katanya. – Bernama

Guru lega belum ada keputusan lagi – Metro


Guru lega belum ada keputusan lagi
KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam yang memaklumkan masih belum membuat sebarang keputusan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah melegakan guru di seluruh negara yang tidak mahu pelajar mereka ‘rosak’.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya percaya penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah pada masa ini hanya membawa banyak keburukan berbanding kebaikan dan kerana itu enggan ia dibenarkan.
“Kami gembira kerana Timbalan Perdana Menteri berkata masih membincangkan lagi cadangan itu di peringkat Jawatankuasa Disiplin Kementerian Pelajaran, bermakna kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak yang mahu hal ini dikaji secara menyeluruh.

“Kajian lebih mendalam perlu dibuat jika benar kementerian mahu menguatkuasakannya kerana kami berpendapat, lima juta pelajar yang masih bersekolah belum mampu untuk menggunakan telefon dan gajet elektronik lain dengan baik.
“Penggunaannya lebih-lebih lagi di sekolah hanya membawa kepada masalah sosial, gangguan struktur komunikasi kerana kurangnya interaksi selain cenderung tidak memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan, Muhyiddin dipetik sebagai berkata, kerajaan belum menerima laporan mengenai cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana masih dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Disiplin Peringkat Kementerian Pelajaran.
Katanya, satu daripada subjek dibincangkan jawatankuasa itu sejak beberapa minggu lalu ialah penggunaan telefon bimbit serta iPad di sekolah dan ketika ini ia masih dibincangkan dan belum dibawa ke pengetahuannya untuk bersetuju atau menolak cadangan berkenaan.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan juga perlu menilai kewajaran tindakan pemerintah negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Singapura yang hingga kini enggan membenarkan alat teknologi komunikasi itu digunakan pelajar di pekarangan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21

‘Jangan panik…’ – Metro


‘Jangan panik…’
Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor
norfaezah@hmetro.com.my

PUCHONG: Semua pihak terutama ibu bapa diminta tidak panik berhubung cadangan Kementerian Pelajaran untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah bermula tahun depan kerana perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi disuarakan ibu bapa dan pemimpin sekolah selepas pengumuman mengenai perkara itu dibuat, baru-baru ini.
“Seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, ia akan diselidik dan pandangan daripada semua pihak akan diambil dalam usaha mencapai keputusan terbaik.

“Keputusan muktamad hanya akan diberitahu apabila sudah diteliti sepenuhnya dan saya serahkan kepada Perdana Menteri dan timbalannya untuk memutuskannya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis kerjasama antara IOI Properties Berhad dan Rafflesia Education Group, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Harta IOI Properties Berhad, Teh Chin Guan; Pengurus Besar Kanan IOI Properties, Tan Ken Seng; Ketua Pegawai Eksekutif Rafflesia Education Group, Teh Siew Lan dan Pengerusi Rafflesia Education Group, A Shukor S A Karim.
Sementara itu, beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak selaras dengan objektif kerajaan yang mahu meningkatkan jumlah pelajar di sekolah antarabangsa kepada 75,000 orang menjelang 2020.

Beliau berkata, pada masa ini, bilangan pelajar yang belajar di sekolah antarabangsa mencecah 27,000 orang dan daripada jumlah itu, 15,772 dari negara asing dan baki seramai 11,278 adalah pelajar tempatan.
“Jumlah pelajar asing akan ditingkatkan, sekali gus membolehkan hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan tercapai,” katanya.

“Sebanyak 71 sekolah antarabangsa beroperasi di seluruh negara dan akan meningkat kepada 94 sekolah menjelang 2014,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21

Polis cari anak perempuan mangsa – Metro


Polis cari anak perempuan mangsa
KLANG: Polis masih mengesan dua individu iaitu anak perempuan mangsa dan seorang rakannya yang dipercayai berada di rumah ketika seorang wanita warga emas berusia 72 tahun ditemui mati di Kapar, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis sudah mengenal pasti wanita berusia 28 tahun dan 20-an itu serta usaha mengesan mereka giat dijalankan. Katanya, pelajar perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai mencekik ibunya ketika cuba merampas gelang emas yang dipakai mangsa kini dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan diberikan.
Semalam Harian Metro melaporkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bersama dua rakan sebayanya menjerut dan mencekik ibu angkatnya hingga mati ketika cuba merampas gelang emas dipakai wanita itu sebelum membiarkan mayat terbabit terlantar selama tiga hari di rumah mereka di Kapar, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu itu, remaja terbabit bersama dua rakannya datang ke rumah dihuni ibu angkatnya untuk meminta wang, tetapi wanita terbabit enggan memberikannya.
Berikutan itu, remaja terbabit dan rakannya bergelut dengan mangsa hingga menjerut dan mencekik mangsa hingga pengsan sebelum meninggalkan rumah tanpa menyedari perbuatan mereka itu menyebabkan mangsa sesak nafas dan meninggal dunia.
Tiga hari selepas itu, remaja terbabit pulang semula ke rumah ibu angkatnya itu sebelum terkejut apabila menemui mayat ibunya itu dalam keadaan sudah mereput dan berbau busuk.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21

Jiran paksa teguk arak sebelum noda – Metro


Jiran paksa teguk arak sebelum noda
KANGAR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun menempuh detik hitam apabila dipaksa meneguk minuman keras sehingga mabuk sebelum dirogol jirannya, seorang pelajar tingkatan empat, di sini, awal bulan lalu.

Sebelum kejadian antara jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam itu, mangsa yang berjiran dengan suspek berusia 16 tahun di Flet Seri Sena, di sini, dibawa bersiar-siar ke satu lokasi rahsia pada petang 4 Julai lalu, sebelum gadis terbabit yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah, di sini, dirogol.
Selepas dipaksa, mangsa yang ketakutan terpaksa akur dengan arahan suspek kerana diugut untuk dicederakan, sebelum dirogol remaja lelaki itu ketika berada dalam keadaan khayal.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi, mengesahkan kes itu, termasuk laporan polis dibuat keluarga mangsa berhubung kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21

Penyamun tak sempat bergaya, ditahan polis – Sinar Harian


Penyamun tak sempat bergaya, ditahan polis
NUR FARHANA ABDUL MANAN
21 Julai 2012

Anggota forensik melakukan pemeriksaan ke atas kereta curi yang dipandu suspek dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sunway, lewat malam kelmarin.
SUBANG JAYA – Hasrat sekumpulan penyamun bergaya lebih lama menggunakan kereta dicuri awal bulan lalu punah apabila ketiga-tiga mereka berjaya ditahan anggota polis berhampiran Plaza Tol Sunway, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic melalui sebuah stesen minyak di Bandar Kinrara sebelum tindak-tanduk mereka dicurigai anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Anggota kemudian membuat semakan nombor pendaftaran dan mendapati jenis kereta dinaiki suspek sepadan, namun warna didaftarkan berlainan menyebabkan mereka mengesyaki ia adalah kereta curi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kedua-dua anggota menaiki kereta Proton Wira mengekori suspek sejauh dua kilometer dan dalam masa sama mendapatkan bantuan polis peronda.

“Suspek yang terkejut melihat kehadiran kereta polis peronda di kaunter tol bertindak melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di depan. Disebabkan gagal meloloskan kenderaan ke depan, suspek mengundurkan kereta dan melanggar Proton Wira dipandu anggota polis dengan kuat.

“Melihat anggota polis mengepungnya, suspek kemudian cuba melanggar anggota menyebabkan tiga das tembakan terpaksa dilepaskan,” katanya dua mengenai cermin depan, manakala satu lagi di sebelah pintu kereta dipandu suspek. Yahaya berkata, tembakan terkena bahagian bahu pemandu berusia 24 tahun serta pinggang penumpang berusia 19 tahun di kerusi depan.

Katanya, kedua-duanya mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Menurutnya, semakan mendapati pemandu mempunyai tiga rekod jenayah samun dan mendatangkan kecederaan sebelum ini.

“Seorang lagi suspek duduk di tempat penumpang belakang berusia 16 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, kereta dinaiki suspek dilaporkan dicuri pada 4 Jun lalu di Kelana Jaya.

Pelajar sekolah dipercayai hanyut dibawa arus deras – Utusan


Pelajar sekolah dipercayai hanyut dibawa arus deras

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
KUALA LUMPUR 21 Julai – Seorang remaja lelaki dipercayai dihanyutkan arus deras Sungai Krayong selepas terjatuh dari longkang berhampiran Plaza Puteri di Taman Putra Ampang di sini.

Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan remaja lingkungan usia 14 tahun itu juga dikatakan terjatuh selepas gagal melangkah sebuah lubang saliran di situ.

Remaja berketurunan Melayu itu difahamkan masih berpakaian baju sekolah dan orang ramai gagal menyelamatkan mangsa kerana dia terus menggelongsor masuk ke sungai sebelum hilang dari pandangan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, seorang wanita telah menghubungi bilik gerakan kira-kira pukul 6.44 petang dan sepasukan anggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, usaha mengesan mangsa gagal tetapi polis dengan bantuan jentera Balai Bomba Jelatek dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan operasi di sungai terbabit.

“Kami menyusuri kira-kira 10 kilometer hingga ke Taman Maluri dan mencari mangsa di tebing-tebing sungai berkenaan.

“Bagaimanapun mangsa masih belum dijumpai meskipun telah mencari di kawasan perangkap sampah di beberapa tempat,” katanya.

Katanya, setakat ini bomba mahupun polis masih belum mendapat maklumat lengkap tentang mangsa.

” Operasi terpaksa dihentikan kira-kira pukul 12 malam dan akan bersambung hingga ke Sungai Besi pada pukul 8 pagi esok,” katanya. – UTUSAN