‘Cikaro kerana ibu’ – Metro


‘Cikaro kerana ibu’
Oleh Muhd Izawan Baharin, Elrafaei Sapi dan dan Kalidevi Mogan Kumarappa
am@hmetro.com.my

FIZA…dipukul ibu bila kalah judi

LIN…pernah jadi bohsia
KUALA LUMPUR: “Kalau ibu pulang ke rumah dengan muka masam, saya tahu dia kalah judi dan dia akan mencari sebab remeh-temeh untuk marah atau pukul saya sebagai tempat lepaskan geram,” kata remaja perempuan hanya dikenali sebagai Fiza yang terjebak kancah gejala sosial seawal usia 14 tahun.

Fiza kini berusia 17 tahun mengaku walaupun digelar cikaro dan sering mendampingi Mat Rempit, hidupnya sangat gembira berbanding dikongkong ibu dan bapa.

“Ibu kalau tidak berjudi, dia mabuk. Bapa tiri pun sama, tetapi dia langsung tidak pedulikan saya, cuma ibu kerap memukul saya disebabkan perkara kecil seperti rumah tidak berkemas.

“Disebabkan tidak tahan dilayan sebegitu, saya mula mengikut kumpulan Mat Rempit ketika berada di tingkatan dua dan setahun selepas itu, saya dibuang sekolah kerana kerap ponteng, tetapi itu bukan halangan untuk saya berseronok dengan kawan-kawan,” katanya yang ditemui di ibu kota, malam kelmarin.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/07

3 pelajar didakwa perkosa – Metro


3 pelajar didakwa perkosa
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Tiga pelajar sekolah menengah berusia 16 dan 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini, semalam, atas pertuduhan berasingan merogol dan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan di sebuah rumah, awal pagi Ahad lalu.

Semua juvana terbabit mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapi mereka dan meminta dibicarakan pada prosiding dijalankan di Mahkamah Majistret 2 di sini yang bertindak sebagai Mahkamah Kanak-Kanak.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan kes untuk sebutan semula pada 26 September depan bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri manakala semua juvana tidak diwakili peguam bela.
Mengikut pertuduhan, juvana berusia 16 tahun itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Senawang, dekat sini, pada 1 Julai lalu, kira-kira jam 4 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua rakannya masing-masing berusia 15 tahun pula didakwa atas tuduhan berasingan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa sama, dengan memeluk badannya dari belakang pada tarikh dan di tempat sama, antara jam 4 pagi hingga 5 pagi.
Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Kaiyisah mencadangkan jaminan RM5,000 bagi juvana berusia 16 tahun itu manakala dua lagi, RM4,000 dengan seorang penjamin masing-masing.
Majistret menetapkan jaminan RM1,800 bagi juvana berusia 16 tahun itu, manakala dua rakannya, RM1,500 setiap seorang selepas menimbangkan rayuan ibu bapa mereka yang bakal menjadi penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/07

Jadi bohsia lepas emak kahwin lain – Metro


Jadi bohsia lepas emak kahwin lain
KUALA LUMPUR: Tertekan kerana tidak dapat menerima kehadiran lelaki lain sebagai bapa menjadi titik hitam dalam hidup seorang remaja perempuan apabila dia terjebak sebagai bohsia dan ditiduri ramai Mat Rempit.

Lina, 15, berkata, ibunya berkahwin lain manakala bapa tiri tidak pernah memberi kasih sayang kepadanya menyebabkannya mencari teman lelaki bagi menghilangkan kebosanan.
“Sejak ibu bercerai dengan bapa ketika saya berusia 12 tahun, hubungan kami renggang dan sering bergaduh sehingga beberapa kali saya dipukul.

“Saya rapat dengan kakak yang dua tahun lebih tua daripada saya dan sering menemaninya setiap malam mencari teman lelaki di Taman Tasik Titiwangsa bagi menghilangkan kebosanan,” katanya.
Menurutnya, disebabkan perangai itu, dia mendakwa pernah dirogol bergilir-gilir beberapa Mat Rempit di sebuah kawasan rekreasi di Rawang selepas cuba menghalang kakaknya daripada menjadi mangsa nafsu kumpulan lelaki itu.
“Namun kejadian itu tidak menjadi pengajaran kepada saya sebaliknya saya semakin ligat bertukar pasangan asalkan saya suka pada dia,” katanya.

Lina juga mendakwa, seorang rakan perempuannya pernah ‘menjual’ dia kepada sekumpulan Mat Rempit di Cheras untuk mendapatkan bekalan dadah hujung tahun lalu.
“Selepas kejadian itu, saya cuba mengasingkan diri daripada rakan namun disebabkan hanya berpendidikan setakat darjah enam dan masih di bawah umur, saya sukar mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, dia kini menumpang di rumah datuk dan nenek selepas tidak lagi dipedulikan ibu atau bapa tirinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/07

Sekolah satu sesi tetap dilaksana – Berita Harian


Sekolah satu sesi tetap dilaksana

07:45:35 AM Oleh Safuri Kamarudin Cetak Emel Kawan

Babitkan kos tinggi kerana perlu tapak bina sekolah baru, penempatan guru

Baling: Kementerian Pelajaran iltizam melaksanakan sistem persekolahan satu sesi walaupun terpaksa menanggung kos tinggi.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia berikutan kementerian memerlukan tapak dan pembinaan sekolah baru selain penempatan guru.
“Pertambahan penduduk di bandar menyukarkan kerajaan melaksanakan sekolah satu sesi. Kita sentiasa mengkaji untuk memperbanyakkan sekolah tetapi tidak mampu dalam tempoh singkat meskipun beberapa sekolah luar bandar sudah melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wanita UMNO Bahagian Baling di Dewan Tun Abdul Razak, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Timbalannya, Datuk Azmi Che Hussain dan Ketua Wanita, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Puad berkata, setakat ini sebanyak 6,971 sekolah rendah sudah melaksanakan persekolahan satu sesi dengan 1,532 membabitkan sekolah menengah.

Cipta alat bantu tukar tayar – Berita Harian


Cipta alat bantu tukar tayar

07:46:33 AM Oleh Nurhayati Abllah Cetak Emel Kawan

Mohd Yusof melihat pelajar SERATA, Farah Hanis Fadzil menunjukkan cara menggunakan ‘Nutty-Notty’ di Ipoh, semalam.
Hasil rekaan pelajar perempuan sekolah agama menang emas

Ipoh: Kesukaran menukar tayar kenderaan terutama bagi wanita menjadi ilham sekumpulan pelajar perempuan mencipta set membuka dan menukar tayar kereta mudah alih yang mereka namakan ‘Nutty-Notty’.

Kejayaan pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA), di sini, itu diiktiraf apabila menerima anugerah medal emas pada Pameran Antarabangsa Pereka Muda 2012 di Bangkok, 28 hingga 30 Jun lalu.
Kumpulan dianggotai pelajar Tingkatan 4 dan 5 termasuk empat pelajar tahfiz itu juga membuktikan pelajar aliran agama juga kreatif dan mampu mereka cipta produk setanding sekolah aliran sains lain.

Kejayaan itu yang kelima apabila rekaan sama juga pernah menjuarai Pertandingan Anugerah Pencipta Muda Universiti Teknologi Petronas 2011, Ekspo Saintis Muda Perak 2011 (Kategori Inovasi Sekolah Menengah dan Sains), Hari Harta Intelek Negara 2012 (Kategori Inovasi Pelajar Sekolah Menengah) dan Pameran Inovasi dan Penciptaan Kejuruteraan Antarabangsa 2012.

Ketua kumpulan, Nor Ameera Nawi, 17, pelajar aliran sastera berkata, ada 522 penyertaan dari sembilan negara di Bangkok iaitu Thailand, Indonesia, Jepun, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Taiwan, Filipina dan Malaysia.

“Kami bangga kerana dapat membuktikan rekaan pelajar sekolah agama diterima pada peringkat dunia. Sekurang-kurangnya, kami dapat membuktikan, pelajar sekolah agama bukan sekadar mementingkan ilmu keagamaan tetapi pada masa sama seimbang dengan ilmu sains serta bidang akademik lain,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan itu di sekolahnya di sini, semalam.
Beliau berkata, kumpulannya mengambil masa tiga minggu untuk menghasilkan rekaan berkenaan bermula Julai 2011 dan rekaan itu sudah dipatenkan pada 27 Mac lalu.

“Kami tidak sangka rekaan yang hanya menelan kos kira-kira RM30 kini mampu dijual RM100 seunit bagi tujuan komersial. Ada beberapa syarikat sudah menunjukkan minat mengeluarkan produk berkenaan,” katanya.

Seorang lagi ahli kumpulan, Afifah Husain, 17, berkata set ‘Nutty-Notty’ itu ringan dan tahan karat, mampu membantu pemilik menggantikan tayar dalam tempoh dua hingga tiga minit berbanding enam hingga 12 minit mengikut kaedah biasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusof Husin; Pengetua SERATA, Noor Aini Zainal Abidin dan guru pengiring kumpulan itu, Ahmad Rezaudin Hussein.

Yusof berkata, kejayaan itu mampu meningkatkan imej sekolah agama negeri kerana terbukti mereka mampu bersaing dalam bidang rekaan.

Semua sekolah satu sesi – Utusan


Semua sekolah satu sesi

BALING 6 Julai – Kementerian Pelajaran berhasrat menjadikan semua sekolah di negara ini sebagai sekolah satu sesi pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun ia belum boleh dilaksanakan sepenuhnya dan perlu dilakukan secara berperingkat.

“Kerajaan memang berhasrat melaksanakan sekolah satu sesi, namun atas faktor kekurangan tanah dan tapak sesuai terutama di kawasan bandar menyebabkan masalah itu tertangguh,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Baling di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini terdapat sebanyak 8,468 sekolah telah melaksanakan sekolah sesi pagi sahaja iaitu 6,943 sekolah rendah dan 1,525 sekolah menengah manakala 35 buah sekolah sesi petang sahaja iaitu 28 sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah.

Bot karam di Sandakan, 2 murid lemas – Bernama


Bot karam di Sandakan, 2 murid lemas

6 Julai 2012
SANDAKAN – Dua murid lemas manakala empat terselamat apabila bot yang mereka naiki semasa pulang dari sekolah, karam di perairan berhampiran Pulau Timbang dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu membabitkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru yang dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Kampung Serabut.

Mayat Sabrurina Mohd Noor, 10, murid Tahun Empat telah ditemui manakala seorang lagi murid Zulaika Amri, 12, murid Tahun Enam belum ditemui.

Empat yang terselamat ialah pemandu bot yang juga bapa Zulaika berusia dalam lingkungan 30-an dan tiga lagi anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara setahun dan lima tahun.

Amri dan dua daripada anaknya kini dirawat di Hospital Duchess of Kent Sandakan dan mereka dilapor dalam keadaan stabil.

Bapa Sabturina, Mohd Noor berkata bot yang dinaiki anaknya itu karam dipukul arus deras di perairan berhampiran Kampung Upak.

“Amri yang juga sepupu saya bersama tiga anaknya yang turut berada di dalam bot itu diselamatkan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru.

Sehingga berita ini ditulis, operasi mencari Zulaika oleh penduduk kampung dengan kerjasama Polis Gerakan Marin dihentikan pada pukul 6 petang disebabkan keadaan gelap dan perairan berombak.

Bot yang karam itu ditemui terdampar di Pulau Magandai kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

urut meninjau tempat kejadian dan melawat keluarga mangsa ialah Anggota Dewan Undangan Sekong Datuk Samsuddin Yahya. – Bernama

Permohonan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012 sebagai opsyen tambahan


Permohonan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012 sebagai opsyen tambahan

Adalah dimaklumkan bahawa Bahagian Pendidikan Guru mempelawa semua guru yang berminat untuk mengikuti Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012 Anjuran KPM. Program ini akan dijalankan secara Kursus Dalam Perkhidmatan. Permohonan boleh dibuat secara online menerusi url berikut http://apps.moe.gov.my/abpg/DAPJ2012/ pada atau sebelum 18 Julai 2012. Program akan dijalankan bermula 25 Julai 2012.