250,000 Kanak-Kanak Malaysia Guna Facebook Walaupun Di Bawah Had Umur – mStar


250,000 Kanak-Kanak Malaysia Guna Facebook Walaupun Di Bawah Had Umur
Oleh HARIATI AZIZAN

PETALING JAYA: Facebook masih memikirkan sama ada untuk memberi ruang kepada mereka yang berusia di bawah 13 tahun, tetapi di Malaysia, hampir 250,000 kanak-kanak, sebahagiannya semuda tujuh tahun, telah mendaftar di laman rangkaian sosial terbesar dunia itu.

Pengguna Internet muda, yang berjuta-juta di seluruh dunia, telah dapat mengelakkan ketetapan sekatan umur dengan berbohong tentang umur, antaranya dengan bantuan ibu bapa mereka.

Had umur 13 tahun telah ditetapkan oleh Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak di Amerika Syarikat.

Menurut media sosial global dan syarikat analisis digital Socialbakers, kira-kira 248,500 pengguna Facebook di Malaysia merupakan pra-remaja apabila setakat Ogos tahun lalu, menjadikannya kira-kira 2.2 peratus daripada 11.3 juta pengguna.

Bilangan pengguna telah meningkat kepada lebih 12.4 juta, kata syarikat itu bahawa kedudukan Malaysia pada tangga ke-17 di kalangan 213 negara.

CyberSecurity Malaysia telah memberi amaran mengenai bahaya kanak-kanak di bawah umur menggunakan Facebook tanpa bimbingan ibu bapa yang sepatutnya.

“Kami tahu terdapat mereka yang merupakan kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun di Facebook,” kata ketua pegawai eksekutif, Leftenan Kolonel (R) Prof Datuk Husin Jazri.

Beliau percaya dengan memansuhkan sekatan umur itu akan memberi kesan positif.

“Dengan membenarkan kanak-kanak untuk mendaftar, kita dapat memantau berapa ramai sebenarnya yang berusia di bawah 13 tahun,” kata beliau.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi turut bersetuju mengenainya.

“Kanak-kanak boleh berpotensi untuk terbuka dengan akaun Facebook. Ini akan menggalakkan mereka untuk berkongsi pengalaman mereka secara dalam talian.

“Dengan menyembunyikan umur mereka dan tanpa sebarang langkah perlindungam kanak-kanak tidak dapat dilindungi dengan sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, pakar media sosial, Jasmin Choy berkata, keadaan itu akan menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada pembulian siber dan mangsa seksual.

“Ibu bapa mereka sama ada berasa mereka tidak boleh berbuat apa-apa atau mereka tidak tahu apa yang akan berlaku kepada anak-anak mereka apabila di alam siber,” kata Choy, yang mempunyai dua anak yang masih kecil.

Pelajar kolej Syaza Nazura, 18, berkata: “Melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun (menggunakan Facebook) tidak berkesan kerana mereka boleh melakukannnya dengan hanya memalsukan tarikh lahir.”

Had Sekolah Cina: MCA Bidas Dong Zong Kerana Ia Telah Jadi Sejarah – mStar


Had Sekolah Cina: MCA Bidas Dong Zong Kerana Ia Telah Jadi Sejarah
Oleh CHRISTINA TAN

LABIS: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membidas tindakan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang membangkitkan tentang dakwaan perjanjian pada 1960-an antara parti dan kerajaan untuk mengehadkan bilangan-bilangan sekolah Cina bebas.

“Dong Zong mengatakan tentang isu ini bagi menakutkan masyarakat Cina supaya mereka membenci MCA dan Barisan Nasional.

“Mereka mengharapkan orang Cina tidak akan menyokong kita,” katanya.

Beliau berkata, walaupun MCA tidak sempurna, tetapi parti itu sedang melakukan usaha yang terbaik untuk pendidikan Cina.

Sebagai contoh, Dr Chua berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai sistem pendidikan Cina yang lengkap dari peringkat sekolah rendah sehingga ke universiti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi bangunan dua tingkat yang mempunyai 12 bilik darjah di SJK (C) Karas di sini, Sabtu.

Dr Chua berkata, sama ada perjanjian itu pada tahun 1960-an itu wujud atau tidak adalah tidak penting lagi kerana ia telah menjadi sejarah.

“Negara memerlukan bakat lebih tiga bahasa untuk meningkatkan jumlah dagangan dan jumlah dagangan antara Malaysia dengan negara-negara yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa utama mereka adalah kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Itulah sebabnya kita perlu melatih lebih ramai untuk fasih dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin,” katanya.

“Hari ini, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan China dan jumlah dagangan antara kedua-dua negara telah mencedah AS$100 bilion (RM318 bilion),” katanya.

Kanak-kanak 10 tahun mati lemas di lombong – Bernama


Kanak-kanak 10 tahun mati lemas di lombong
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012
IPOH – Seorang kanak-kanak mati lemas ketika mandi di sebuah lombong tinggal di Taman Shatin Baru, Pasir Puteh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, mayat Mohamad Hanafi Radzi, 10, ditemui di dasar lombong berkenaan oleh orang ramai pada pukul 7.15 malam.

Murid Sekolah Kebangsaan Pasir Putih itu dikatakan pergi ke lombong berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya bersama rakan-rakannya pada pukul 5 petang.

Beliau berkata, ketika mereka sedang mandi, Mohamad Hanafi dikatakan tiba-tiba gagal berenang lalu tenggelam.- Bernama

Dua remaja maut dalam kemalangan – Bernama


Dua remaja maut dalam kemalangan
13:57:50 PM Cetak Emel Kawan

IPOH: Dua remaja terbunuh manakala seorang warga Bangladesh cedera apabila motosikal mereka dirempuh sebuah lori yang terbabas di satu persimpangan di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, malam tadi.

Mangsa yang terbunuh ialah Nor Azman Ahmad Jamil, 16, dan Muhammad Fakaruddin Mohamed Rasoi, 15, kedua-duanya dari Tanjung Tualang, Kampung Gajah. Mereka meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Changkat Melintang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, warganegara Bangladesh tersebut yang turut menunggang motosikal dan cedera parah hanya dikenali sebagai Mathir, 40.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan A. Martin Silva, 48, hanya cedera ringan.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.45 malam apabila lori yang dipandu Martin dari arah Teluk Intan ke Bota Kanan dikatakan gagal dikawal semasa mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang berkenaan.

“Akibat kejadian itu, lori terbabit terbabas dan merempuh dua buah motosikal yang dinaiki remaja terbabit dan warga Bangladesh itu yang ketika itu berhenti di simpang itu,” katanya. – BERNAMA

Perlu jalani fisioterapi intensif – Sinar Harian


Perlu jalani fisioterapi intensif
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali,10, perlu menjalani fisioterapi secara intensif bagi memastikan keadaannya pulih dan kembali normal.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, selain fisioterapi, Adam juga perlu rehat secukupnya bagi memulihkan tenaga hilang sebelum ini.

” Setiap pagi kami bawanya ke hospital dan sebelah petang Adam disaran melakukan aktiviti ringan.

“Sokongan rakan sebaya dan sukarelawan di Childrens House, Johns Hopkins juga banyak membantu Adam menyemarakkan semangatnya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Harian, semalam.

Adam yang menjalani pembedahan 22 Jun lalu diketuai Pakar Neuro, Dr Geore Jallo dijangka pulang apabila keadaannya pulih.

Akbar berkata, mereka sekeluarga juga dikunjungi adiknya dan keluarga sebelah mentua yang kini menetap di Texas, Amerika Syarikat.

Ayah lari, perbuatannya rogol anak sendiri diketahui isteri – Sinar Harian


Ayah lari, perbuatannya rogol anak sendiri diketahui isteri
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012

Raja Shahrom
AYER KEROH – Seorang isteri masyarakat Orang Asli di sini terkejut apabila mengetahui anak gadisnya berusia 16 tahun 5 bulan berbadan dua hasil hubungan dengan suaminya sendiri.

Wanita berusia 35 tahun yang mempunyai empat cahaya mata itu hanya mengetahui mengenai bayi dikandung anak keduanya apabila membuat pemeriksaan di sebuah klinik
kesihatan dekat Alor Gajah, 28 Jun lalu.

Pemeriksaan itu dibuat selepas dia sering melihat kemerosotan tahap kesihatan anaknya, selain anaknya mengadu lemah badan.

Menurut sumber, kandungan yang sudah mencecah usia lima bulan itu diketahui adalah hasil hubungan mangsa dan bapanya sendiri selepas diminta memberitahu perkara sebenar.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, pihak klinik memaklumkan mangsa mengandung lima bulan, lalu ibu mangsa memaksa mangsa menceritakannya.

“Mangsa kemudian memberitahu telah beberapa kali dirogol bapanya iaitu suami kepada ibunya yang telah dua bulan tidak pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian
di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, mangsa dan ibunya mambuat laporan di Balai Polis Tebong, Alor Gajah pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa dirogol bapanya yang berusia 40 tahun dan sehingga kini polis masih cuba mengesan suspek yang dipercayai telah lari ke dalam hutan.

“Setakat ini polis telah meminta bantuan golongan Orang Asli, selain Tok Batin untuk mengesan suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kisah 3 beradik: ‘Makan dua senduk nasi sehari’ – Sinar Harian


Kisah 3 beradik: ‘Makan dua senduk nasi sehari’
NORAIZURA AHMAD
1 Julai 2012

Nordi mengucup pipi anaknya selepas mereka berjaya dibawa pulang ke Malaysia. -FOTO: SAFWAN MANSOR
KUALA LUMPUR – “Terima kasih kerana bawa kami pulang. Kami tak mahu ke sana semula. Kami mahu tinggal bersama ayah. Saya mahu ke sekolah dan tak mahu jumpa ibu lagi.”

Demikian luah Nurul Safiza Fitri Nordi, 11, sejurus sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, tengah hari semalam. Nurul bersama dua adiknya, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, terpisah dengan ayahnya, Nordi Adi, 57, kira-kira lima tahun lalu selepas ibu tirinya membawa mereka tinggal di Lampong, Jakarta.

Nurul berkata, mereka tiga beradik terpaksa bekerja sebagai buruh untuk menampung kehidupan dan masuk ke dalam hutan untuk mencari hasil hutan.

Menurutnya, mereka hanya diberi makan dua senduk nasi sekiranya hasil diperoleh sedikit, manakala upah diterima sebahagiannya perlu dibahagikan kepada ibu tirinya yang tidak bekerja.

“Kami bertiga akan masuk ke hutan dari pagi sehingga petang. Ibu juga akan memarahi kami sekiranya melakukan kesalahan walaupun kesalahan kecil,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kakak sulungnya, Siti Norzana, 12, tidak tinggal bersama mereka sejak setahun lalu kerana dihantar ibu tiri mereka ke Temusuci, Indonesia untuk bekerja di sana.

Isteri enggan balik ke Malaysia

Sementara bapa mereka, Nordi bersyukur dengan kepulangan tiga daripada empat anaknya yang terpisah sejak tahun 2010.

“Saya akan menjaga mereka dan memberi pendidikan yang sempurna walaupun hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Saya gembira dapat bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dan kerajaan kerana membantu saya membawa pulang mereka,” katanya.

Nordi juga meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang anak sulungnya dan yakin ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, empat kanak-kanak itu hasil perkahwinannya dengan isterinya, Muhainah Asmah, 34, dan berpisah pada 2006.

Katanya, setahun selepas itu, dia berkahwin dengan wanita warga Indonesia berusia 18 tahun pada 2007 dan membina hidup baru di kampung halaman wanita tersebut di Lampong, Jakarta bersama anak-anaknya.

“Selepas beberapa bulan, saya balik ke negara ini dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor Bahru. I

steri saya enggan balik bersama dan mahu menjaga anak-anak saya di sana,” katanya.

Nordi berkata, dipercayai isterinya menggunakan empat orang anaknya itu sebagai alasan untuk mendapatkan wang.

Menurutnya, kali terakhir berjumpa anaknya pada 2010 dan isterinya enggan pulang serta menegaskan mahu menjaga anaknya di sana.

“Saya terpaksa mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM27,000 dan hasil perniagaan baja RM60,000 untuk diberikan kepada isteri bagi kegunaan anak-anak,” katanya.

Hanya tiga berjaya dibawa pulang

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, dua pegawainya bersama Nordi ke sana untuk melaksanakan misi membawa pulang empat adik beradik tersebut.

Menurutnya, mereka terpaksa menempuh 16 jam perjalanan sebelum sampai ke sana dan berjaya membawa pulang hanya tiga daripada mereka.

“Kita mengalami pelbagai kesulitan termasuk berunding dengan ahli keluarga di sana dan masalah dokumen perjalanan kerana sebelum ini mereka masuk ke negara itu dengan cara yang tidak sah.

“Kakak mereka tidak ditemui kerana tinggal berasingan, tetapi kita akan terus berusaha untuk membawanya pulang,” katanya

Teguran disalah erti – Sinar Harian


Teguran disalah erti
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012
HUTAN MELINTANG – Niat baik seorang lelaki berusia 48 tahun menegur dua remaja menunggang motosikal secara melulu disalah erti apabila ditumbuk oleh suspek dalam satu kejadian, di Batu 19, Bagan Pasir, di sini.

Lebih malang, anak mangsa berusia 15 tahun yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek turut cedera di dada dan sebahagian telinga.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisiner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada 26 Jun lalu apabila seorang lelaki menegur dua remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya sehingga boleh mengancam nyawa penduduk.

Menurutnya, tidak berpuas hati dengan teguran itu, mangsa kemudiannya ditumbuk dan mengalami kecederaan di bahagian muka.

“Mangsa kemudiannya bergegas pulang ke rumah sebelum anak lelakinya bertanya keadaan kecederaan yang dialami.

“Anak mangsa kemudiannya bertindak menegur tingkah laku suspek berusia 26 tahun yang menumbuk bapanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kok Liang berkata, tindakan menegur itu mengundang kemarahan rakan suspek berusia 19 tahun.

“Rakan suspek ini telah mencederakan dada dan sebahagian telinga kanan anak mangsa menggunakan sebilah pisau.

“Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, anak mangsa menerima sembilan jahitan kerana dicedera di bahagian dada.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Hilir Perak untuk tindakan selanjutnya.

“Kita turut melakukan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek dan mendapati lelaki berusia 26 tahun positif dadah.

“Kes disiasat di bawah 324 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, denda serta sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

108,650 pelajar terlibat salah laku – Kosmo


108,650 pelajar terlibat salah laku
KUALA LUMPUR – Sebanyak 108,650 daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terlibat dengan salah laku disiplin di sekolah tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut, isu ponteng sekolah merupakan penyumbang terbesar salah laku disiplin iaitu 18,550 pelajar.

Katanya, kes-kes disiplin lain yang dicatatkan oleh kementerian ialah memukul, bergaduh dan kekemasan diri.

“Walaupun jumlah pelajar yang melakukan kesalahan disiplin hanyalah sedikit, sekiranya tidak diberi perhatian serius, ia boleh menjadi masalah yang parah,” katanya pada majlis perasmian Program Pemantapan dan Jati Diri Sahsiah Remaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam mengatasi masalah disiplin melibatkan pelajar sekolah, kementerian telah melakukan pelbagai inisiatif termasuklah menjalankan satu kajian terperinci mengenai punca sebenar berlakunya gejala ponteng sekolah tahun ini.

Terdampar atas benteng – Metro


Terdampar atas benteng
Oleh MOHD NOR ASRI YAACOB
metahad@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya ketika mandi di Sungai Kelantan, Kuala Besar, dekat sini, kelmarin, ditemui penduduk kampung jam 9.45 pagi semalam.

Mayat Nurfitriah Mat Yasin dari Kampung Kedai Buluh, dekat sini, ditemui terdampar pada benteng sungai, 150 meter dari tempat dia tenggelam.
Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kota Bharu, Abdullah Mohamad berkata, sekumpulan penduduk yang membantu anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat bermula jam 9 pagi semalam, ternampak mayat Nurfitriah terdampar di benteng sungai sebelum memaklumkan anggota bomba.

“Lapan anggota bomba ke tempat mayat ditemui menggunakan dua bot. Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.
“Mayat ditemui 150 meter dari tempat dia tenggelam semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Harian Metro semalam melaporkan, Nurfitriah dihanyutkan arus deras selepas cuba menarik tangan anak saudaranya, Muhammad Ishrak Mohd Sofian, 9, yang lemas ketika mereka mandi Sungai Kelantan, Kuala Besar, dekat sini.

Bagaimanapun, Muhammad Ishrak diselamatkan penduduk yang melihat kejadian itu, manakala Nurfitriah gagal diselamatkan.
Kakak mangsa, Norzulini Mat Yasin, 24, berkata, dia bersyukur mayat adiknya ditemui dan reda dengan apa yang berlaku.

“Nurfitriah manja dan aktif, dan saya masih terbayang raut wajahnya ketika meminta saya membelikan ayam goreng dan air batu campur di pasar malam sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.