Sekolah Di PJ Setuju Pulangkan Telefon Yang Dirampas Kepada Pelajar – mStar


Sekolah Di PJ Setuju Pulangkan Telefon Yang Dirampas Kepada Pelajar
Oleh JEANNETTE GOON

PETALING JAYA: Seorang pembantu kanan di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya bersetuju untuk memulangkan telefon mudah alih yang telah dirampas daripada pelajar Tingkatan Enam semasa pemeriksaan mengejut baru-baru ini.

Seorang ibu, Lee Peng Peng berkata, dia hanya mengetahui tentang telefon milik anaknya telah dirampas apabila diberitahu mengenainya.

“Saya datang untuk mengambil telefon tersebut tetapi diberitahu yang ia hanya akan dipulangkan semula pada akhir semester. Pihak sekolah berkata bahawa semua telefon mudah alih yang dirampas dalam tempoh tiga bulan akan datang akan dipulangkan pada waktu yang sama,” tambahnya.

Lee berkata, tiada pemberitahuan secara bertulis diberikan mengenai rampasan telefon mudah alih dan menyatakan kebimbangan tentang siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya ia hilang.

Pada masa ini, para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon mudah alih ke sekolah.

Lee dan dua lagi ibu bapa berjumpa dengan pihak berkuasa sekolah mengenai hal tersebut pada Jumaat di mana pihak berkenaan bersetuju untuk memulangkan telefon mudah alih itu kepada ibu bapa pada Isnin ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mewakili mereka berkata, seorang penjaga telah menghubungi beliau dan mengadu mengenai bagaimana sekolah tersebut tidak mahu memulangkan telefon mudah alih milik pelajar kepada ibu bapa serta-merta, yang mendakwa bahawa mereka perlu menunggu sehingga berakhirnya semester pada 30 Oktober depan.

“Walaupun terdapat peraturan yang mengatakan bahawa para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon mudah alih ke sekolah, pihak sekolah seharusnya menggunakan budi bicara mereka,” kata beliau.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong baru-baru ini berkata bahawa para pelajar dibenarkan untuk membawa telefon mudah alih dan gajet ke sekolah bermula tahun depan selepas peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pelajaran 1996 dipinda.

Perubahan itu, tambahnya, selaras dengan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran maya dinamakan sebagai “1Bestari” yang menawarkan WiFI percuma.

Dua beradik tiri didakwa bunuh ibu tiri – Bernama


Dua beradik tiri didakwa bunuh ibu tiri

27 Julai 2012
KLANG – Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu tiri mereka dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal.

Pelajar terbabit dan kakak tirinya yang berumur 29 tahun didakwa membunuh wanita berumur 72 tahun itu, yang juga seorang guru agama, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar di sini kira-kira 5.30 petang 14 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dua beradik yang memakai pakaian reman berwarna ungu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan.

Sepanjang prosiding, pelajar perempuan itu dilihat mengalirkan air mata sementara kakak tirinya yang bekerja di sebuah kelab malam kelihatan tenang.

Majistret Ho Kwong Chin menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin sementara kedua-dua beradik itu diwakili peguam Gerard Lazarus.

Difahamkan sebelum ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, tiga hari selepas mangsa dikebumikan, beberapa anggota keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan barang kemas mangsa.

Ekoran laporan itu, membawa kepada penggalian semula kubur mangsa dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas. – Bernama

Kerajaan Lulus Pembinaan Sekolah Bebas Cina Di Kuantan – mStar


Kerajaan Lulus Pembinaan Sekolah Bebas Cina Di Kuantan
Oleh TAN EE LOO

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi lampu hijau untuk membina sekolah bebas Cina di Kuantan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, sekolah baru itu akan berdasarkan model yang digunakan oleh Sekolah Tinggi Bebas Chong Hwa, Kuala Lumpur, menawarkan peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) dan SPM.

Pengumuman itu dibuat lebih dua bulan selepas perhimpunan di Kuantan 20 Mei lalu bagi mendesak pembinaan sekolah bebas Cina di sana.

Telefon bimbit di sekolah boleh beri kesan negatif kepada pelajar – Bernama


Telefon bimbit di sekolah boleh beri kesan negatif kepada pelajar

27 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (Perbit) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif.

Presiden Perbit, Ali Ibrahim berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman-laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.

“Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terlibat kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ali berkata pelajar akan berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa sahaja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.

“Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang,” katanya.

Ali berkata penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih perlu.

“Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran,” katanya.

Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, Ali tetap bimbangkan penyalahgunaannya oleh pelajar.

Beliau berkata seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah.

Katanya, Perbit akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan hadapan. – Bernama

Geng Boboy Rawang tumpas – Bernama


Geng Boboy Rawang tumpas

27 Julai 2012
SHAH ALAM – Polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan mencuri kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Boboy Rawang’ dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu yang berumur 17 tahun serta 15 anggota yang lain dalam Ops Lejang yang dijalankan selama 10 hari sejak 10 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata anggota kumpulan itu yang kebanyakannya bekerja sebagai mekanik giat melakukan kegiatan curi kereta di sekitar Lembah Klang dengan menyasarkan kenderaan yang menggunakan sistem turbo.

Katanya dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata polis sedang mengesan empat lagi suspek termasuk dua abang kepada Boboy yang berumur 27 dan 24 tahun yang dipercayai perancang utama kumpulan itu. Kedua-dua mereka berasal dari Jerteh, Terengganu dan bekerja sebagai mekanik.

Zahedi berkata tangkapan pertama adalah hasil dari aduan seorang mangsa mengenai kehilangan keretanya jenis Proton Satri GTI di Flat PKNS Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lepas di mana beberapa jam selepas laporan itu, polis berjaya mengesan kenderaan tersebut di Taman Kota, Cheras.

“Pasukan Cawangan Jenayah Shah Alam yang dibantu oleh anggota Balai Polis Batu 9, Cheras bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan dua suspek termasuk ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Boboy yang menggunakan kenderaan curi terbabit tetapi telah ditukar nombor pendaftaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zahedi berkata hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui satu beg lut sinar mengandungi peralatan dipercayai untuk mencuri kenderaan seperti besi berbentuk T, tukul besi, pemutar skru dan empat batang Ellen Key.

Beliau berkata susulan dari tangkapan itu polis membuat beberapa lagi siri tangkapan disekitar Lembah Klang dan merampas 12 kenderaan iaitu empat Honda, tiga Proton Wira, dua Proton Perdana, masing-masing sebuah kereta Proton Waja, Proton Satria GTI dan Toyota.

Katanya polis turut merampas tiga unit enjin kenderaan yang nombor casisnya telah dirosakkan, sebuah motosikal dan beberapa komponen kenderaan yang dileraikan.

“Tangkapan dan rampasan dilakukan di beberapa lokasi termasuk di sebuah premis rumah kedai di Rawang yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket itu,” katanya.

Zahedi berkata sindiket itu juga didapati menjual kenderaan curi yang telah diubah suai dengan harga sekitar RM30,000 seunit dan komponen kenderaan kepada pelanggan mereka.

“Kita meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 ,” katanya. – Bernama

Maklum Balas Akhbar: “JPA Lengah Naik Gred Guru” – JPA


Maklum Balas Akhbar: “JPA Lengah Naik Gred Guru”
27 JULAI 2012

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil maklum dan prihatin di atas perkara yang dibangkitkan oleh Hashim Adnan, Presiden NUTP agar JPA menaikkan gred 400 guru yang memperoleh ijazah melalui Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Gred DGA32 dan DGA29 kepada Gred DG41 seperti yang dinikmati 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS).

Untuk makluman, Program Pensiswazahan Guru (PPG) adalah merupakan isu Pertukaran Pelantikan kerana ia melibatkan dua skim perkhidmatan yang berbeza dan bukannya kenaikan gred guru. Isu pelantikan guru adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Pihak JPA hanya terlibat dengan keperluan pewujudan jawatan dan tidak terlibat dengan proses pelantikan guru.

Sehingga 23 Julai 2012, JPA telah meluluskan sebanyak 7,975 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) pelbagai Gred ke jawatan PPPS Gred DG41 di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkuat kuasa 2 Oktober 2010. Pewujudan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 adalah bagi menampung keperluan penempatan PPPLD yang telah tamat dan memperoleh ijazah di bawah Dasar Pensiswazahan Guru secara PJJ yang dilaksanakan oleh KPM. Kelulusan tersebut telah menyelesaikan isu guru yang telah memperolehi ijazah sebelum tahun 2010 sehingga Disember 2011 dan telahpun lulus temu duga dan diperaku oleh SPP untuk dilantik sebagai PPPS Gred DG41.

Berhubung isu 400 guru yang telah tamat pengajian dan belum diluluskan kenaikan gred oleh JPA dan KPM, KPM kini sedang mendapatkan maklumat daripada NUTP berkaitan sumber data 400 guru tersebut termasuk mengemukakan senarai nama penyandang ke KPM. Untuk makluman sehingga kini, JPA masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM bagi menukar ganti jawatan berhubung kohort baharu guru yang telah tamat PPG.

 
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
26 Julai 2012

Didik cara anak Luqmanul Hakim – Sinar Harian


Didik cara anak Luqmanul Hakim
HASANAL AL-BANNA MOHAMED
27 Julai 2012

Ajar anak menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim sejak kecil –

Gambar hiasan
SETIAP pasangan suami isteri secara fitrahnya menginginkan zuriat mereka bagi menyambung salasilah keluarga. Malah saat diijabkabulkan, masing-masing menyimpan hasrat untuk dianugerahkan anak soleh dan solehah.

Ada yang sibuk mencari nama untuk anak yang bakal dilahirkan si isteri tercinta. Aktiviti membeli-belah barangan bayi seperti botol susu, lampin buang, pakaian, katil dan permainan menjadi keutamaan pasangan. Semua yang dilakukan untuk menyediakan segala kelengkapan si manja agar membesar sebagai insan yang bahagia dan berjaya.

Sehubungan itu, agama Islam sebenarnya telah mengemukakan satu panduan lengkap bermula daripada seseorang yang bakal menjadi bapa atau ibu sehinggalah anak dilahirkan, kemudian menjadi remaja, seterusnya dewasa dan akhirnya meninggal dunia.

Malah, saranan Rasulullah SAW menjelaskan betapa seseorang yang ingin membina bahtera rumah tangga seharusnya terlebih dahulu memilih bakal pasangan mereka yang biasanya tergolong dalam empat kategori utama iaitu pemilihan disebabkan harta, kecantikan, keturunan dan pilihan terakhir adalah agama atau akhlak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dikahwini seseorang wanita itu disebabkan kerana harta, cantik, keturunan. Maka pilihlah mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis lain yang berkaitan dengan pemilihan bakal pasangan antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pilihlah (pasangan) yang baik untuk tempat memproses nutfah (benih) kamu, kerana akhlak ibu dan bapa akan menurun (terwaris) kepada anaknya.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat lain.” (Riwayat Ahmad)

Namun yang menjadi persoalan dewasa kini, adakah kita mampu mendidik anak dengan ajaran yang sebenar? Adakah kita sekarang menternak anak kita dengan sekadar memberi makan dan minum? Apakah yang kita berikan kepada anak dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan seumpamanya bertepatan dengan ajaran Islam?

Adakah manusia sekarang bersikap ganas seperti binatang terhadap anak-anak yang tidak berdosa, sanggup merogol, membunuh, menghalau, mendera dan sebagainya? Adakah sudah hilang nilai ihsan dan kasihan belas dalam diri manusia terhadap anak kecil?

Ingatlah sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada ALLAH SWT”.

Penyejuk hati

Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar pelbagai berita pembunuhan kanak-kanak, janin atau bayi tanpa sebab yang dibenarkan agama. Adakah manusia sanggup membunuh mereka kerana bimbangkan makanan dan minuman tidak mencukupi untuk diberikan kepada mereka atau takut menjadi miskin papa kedana.

ALLAH berfi rman bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar”. (Surah Al- Israk : 31)

Rasulullah SAW berfi rman yang bermaksud: “Hari kiamat tidak akan berlaku kecuali menimpa ke atas orang yang paling jahat” (Riwayat Imam Muslim).

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada akan terjadi hari kiamat sehinggalah banyak berlaku Al-Harj. Sahabat bertanya: Apakah maksud Al-Harj, wahai Rasulullah?.

Nabi Muhammad SAW menjawab: ‘Al-Harj’ adalah pembunuhan demi pembunuhan” (Riwayat Imam Muslim dan Imam Bukhari)

Justeru, marilah kita menetapkan satu matlamat dan satu impian untuk memastikan anak memperoleh hak yang sepatutnya, semoga anak menjadi penyejuk hati dan penawar jiwa.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati” (Surah Al-Furqan : 74)

Pesan Luqmanul Hakim

Didiklah mereka seperti yang disarankan Luqmanul Hakim melalui nasihat yang sangat berguna terhadap anak kesayangannya yang dirakamkan ALLAH dalam Surah Luqman, ayat 13 hingga 19 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi nasihat kepadanya: ‘Wahai anak kesayangan ku, janganlah engkau mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan Syirik itu adalah satu kezaliman yang besar’. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (sejak awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesak mu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihat mu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orangorang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): ‘Wahai anak kesayangan ku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh ALLAH (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya ALLAH Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi’. ‘Wahai anak kesayangan ku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa mu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya’. ‘Dan janganlah engkau memalingkan muka mu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri’. ‘Dan sederhanakanlah langkah mu semasa berjalan, juga rendahkanlah suara mu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

LINUS – SARINGAN LINUS KOHORT 1 & KOHORT 3


LINUS – SARINGAN LINUS KOHORT 1 & KOHORT 3

SARINGAN LINUS KOHORT 1 & KOHORT 3
PERHATIAN :

PENGISIAN DATA MURID SARINGAN LINUS
SARINGAN 8 DAN SARINGAN 2, 2012
Tarikh pengisian data murid bagi saringan LINUS bermula dari
23 JULAI 2012
HINGGA
03 OGOS 2012

*** semua sekolah mesti kemaskini data murid walaupun semua murid telah di ALIRAN PERDANA

Maklumat lanjut lawat http://nkra.moe.gov.my/

Remaja maut rempuh sama sendiri – Berita Harian


Remaja maut rempuh sama sendiri
04:12:43 AM Oleh Omar Osman dan Zulaity Zulkiffli Cetak Emel Kawan

Sungai Petani: Dua remaja maut, seorang lagi parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku di kawasan Padang Lembu dekat Gurun, ketika ketiga-tiga motosikal itu dalam perjalanan menghala Kampung Paya Mengkuang dekat Pendang, jam 11.50 malam.

Dua yang terbunuh dikenal pasti sebagai Mohd Azim Azmi Ismail, 17 dan Mohd Hafiz Baharom, 18, manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun, Mohd Khairolnizam Ayob, parah. Semua mangsa dikatakan berasal dari Kampung Paya Mengkuang, dekat sini.
Jalan siasatan

Ketua Trafik Kuala Muda, Deputi Superintendan Mohd Kamil Ahmad, berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ketiga-tiga motosikal dari arah sama atau bertentangan. Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian.

Dalam kemalangan berasingan, seorang remaja maut apabila motosikal dinaikinya terbabas dan melanggar papan tanda di tepi jalan selekoh berhampiran Kampung Tempayan Pecah dekat Ayer Hitam di sini, petang kelmarin.

Mohamad Azizi Ishak, 16, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian jam 7.30 petang.

Keliru dengan pemulangan BISP – Utusan


Keliru dengan pemulangan BISP

JERANTUT 26 Julai – Kementerian Pelajaran diminta memperbetulkan maklumat dan arahan mengenai pemulangan balik Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) Sains dan Matematik kerana berlaku kekeliruan di kalangan pentadbir sekolah.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd. Sabri Arshad berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru sekolah rendah di sini kerana terdapat pentadbir mahupun guru yang mengajar dua mata pelajaran berkenaan memulangkan semula wang BISP yang diperoleh sejak awal tahun ini.

“Terdapat kekeliruan di sini terdapat arahan bahawa pemulangan duit tersebut perlu dilakukan pada Januari dan Mei lalu. Saya hairan mana satu yang betul.

“Ada juga sekolah yang tidak mengarahkan guru membayar semula kerana dikatakan tidak menerima apa-apa arahan atau pekeliling daripada kementerian,” katanya semalam.