Bimbing remaja autisme berdikari – Sinar Harian


Bimbing remaja autisme berdikari
NORHIDAYYU ZAINAL
4 Julai 2012

Afif Zahiruddin diapit kedua ibu-bapanya, Haryanti Tasmiran danRohaizan Abdul Wahab
Bill Gates sebagai Pengasas Microsoft Corporation, manakala Albert Einstein, Isaac Newton yang pakar dalam teori fizik adalah antara tokoh berjaya dalam bidang masing-masing, namun memiliki satu persamaan iaitu pesakit autisme.

Apa itu autisme? Menurut kajian Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) mendefi nisikan autisme ialah satu kekurangan seumur hidup dan menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan pertama seseorang bayi.

Komunikasi antara mereka terbantut dan tidak dapat berhubung dengan secara langsung.

Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku tetapi ada kelebihan intelek yang luas. Kerap kali kanak-kanak istimewa ini menunjukkan kelebihan dalam bidang matematik, mekanikal atau seni muzik. Namun begitu, terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat hari ini bahawa golongan pesakit autisme sukar berdikari berbanding insan normal.

Golongan itu dilihat serba kekurangan daripada segi mental, fi zikal dan intelektual sehingga kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan normal ada kalanya turut dinafikan. Atas sebab berkenaan, Siti Khadijah Md Zamin mengambil keputusan untuk menubuhkan pusat vokasional iaitu Akademi Remaja Islam Autisma bagi memberi bimbingan dan latihan kepada golongan yang menghidapi penyakit tersebut.

Menurutnya, Akademi Remaja Islam Autisma akan berperanan sebagai pusat sehenti khusus kepada golongan belia autisme.

“Pesakit autisme yang menginjak ke usia remaja perlu dilatih dengan kemahiran kendiri dan vokasional supaya mereka dapat hidup berdikari.

“Akademi ini akan menjadi tempat mengasuh, memberikan pendidikan awal dan latihan vokasional kepada mereka selain turut dilengkapi dengan kemudahan lain,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, golongan yang menghidapi autisme berbeza dengan individu yang mengalami sindrom lain seperti Sindrom Down, bisu, pekak dan buta kerana mereka memerlukan pengajaran dan latihan yang lebih berfokus.

“Ini adalah satu perkara yang memberangsangkan kerana mereka akan lebih gembira berada bersama rakan dan guru yang sentiasa memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, idea utama penubuhan Akademi Remaja Islam Autisma disebabkan ketiadaan pusat vokasional yang berdekatan dengan rumahnya bagi mengasuh anaknya yang kini berusia 20 tahun dan menghidap autisme.

Kemahiran vokasional

Siti Khadijah berkata, objektif penubuhan akademi ini adalah untuk membekalkan belia autisme dengan kemahiran kendiri seperti kemahiran menguruskan diri, berinteraksi dengan persekitaran sekeliling dan bersosial.

“Buat masa ini, kami mengajar di akademik peringkat asas seperti membaca, menulis dan mengira. Kami juga mengajar konsep duit dan membeli-belah,” katanya yang menyasarkan 20 belia di pusat ini.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang untuk membekalkan belia autisme dengan kemahiran vokasional seperti menjahit, kerja dobi, membuat roti dan pastri, katering dan perkhidmatan seperti mengendalikan kaunter.

“Kami juga berhasrat untuk mengendalikan program center to workplace, iaitu mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk belia autisme.

“Tujuannya ialah melatih mereka untuk menjalankan pekerjaan mereka di tempat kerja dan melatih majikan dan rakan sekerja untuk menyediakan sokongan kepada mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga berharap akademi ini akan dapat menghasilkan satu modul kemahiran kendiri dan vokasional yang efektif untuk kegunaan negara.

“Bagi menjayakannya, kami mungkin akan menjalankan kerjasama dengan tenaga akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjadi pusat penyelidikan untuk program latihan belia autisme,” katanya.

Seterusnya, katanya, ia mampu menjadi projek perintis yang dapat meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa, guru dan masyarakat khususnya tentang keperluan latihan belia autisme.

Stabilkan perkhidmatan

Beliau berkata, buat masa ini, Akademi Remaja Islam Autisma hanya mengambil golongan belia autisme lelaki yang berumur 15 hingga 20 tahun. “Apabila umur sudah menginjak ke usia remaja, mereka sudah bernafsu.

Walaupun mental mereka kadang-kadang kurang matang, tetapi daripada segi tubuh badan ada yang sudah baligh.

“Jadi, bagi mengelakkan daripada terjadi sesuatu yang tidak baik, maka kami tidak akan mencampurkan mereka sekali,” kata Siti Khadijah.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya akan membuat pengambilan pelajar lelaki terlebih dahulu sebelum menstabilkan perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, katanya, Akademi Remaja Islam Autisma yang baru ditubuhkan sejak dua bulan lalu kini beroperasi di premis sementara di Ukay Perdana, Ampang.

“Sebagai sebuah akademi baru, kami amat mengalu-alukan sokongan dan sebarang bentuk kerjasama daripada orang ramai,” katanya.

Beliau menambah, bantuan dan sumbangan boleh diberikan sama ada dalam bentuk tenaga kerja atau material. Dalam pada itu, beliau sempat menasihatkan kepada ibu bapa agar tidak malu sekiranya mempunyai anak autisme sebaliknya banyakkan membuat pembacaan mengenainya.

“Ibu bapa digalakkan menyertai sebarang persatuan atau kumpulan sokongan supaya sebarang permasalahan boleh dikongsi bersama,” katanya.

Sehubungan itu, untuk maklumat lanjut, Akademi Remaja Islam Autisma boleh dihubungi melalui e-mel arisma2012@gmail.com atau datang sendiri di 23, Jalan UP3/5A, Ukay Perdana, 68000 Ampang, Selangor.

Leave a comment