Kontraktor rogol anak tiri gagal rayu hukuman penjara berjalan serentak – Utusan


Kontraktor rogol anak tiri gagal rayu hukuman penjara berjalan serentak

SHAH ALAM 31 Okt. – Impian seorang kontraktor warga Indonesia untuk bebas lebih awal berkecai apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 60 tahun dan sebatan 30 kali bagi tiga kesalahan merogol anak tirinya sehingga melahirkan seorang bayi.

Hakim Noor Azian Shaari memutuskan demikian selepas menolak rayuan lelaki berusia 36 tahun itu agar hukuman penjara 20 tahun bagi setiap tiga pertuduhan yang dihadapinya berjalan serentak.

Beliau semasa membacakan penghakimannya berkata, hukuman itu dikekalkan kerana pihaknya tidak perlu mengusik atau mengubah sesuatu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen berasaskan prinsip undang-undang.

Katanya, perbuatan lelaki itu terhadap anak tirinya yang berusia 15 tahun 11 bulan itu yang sepatutnya dijaga dan dilindungi juga amat tidak bertanggungjawab.

“Walaupun tidak mempunyai pertalian darah, kamu dan ibu mangsa telah berkahwin selama lima tahun. Kamu sepatutnya menjaga mangsa. Tetapi perbuatan kamu umpama harapkan pagar, pagar makan padi.

“Ada pepatah bahasa Inggeris yang mengatakan orang seperti ini patut dikurung dan kuncinya dibuang supaya dia tidak dapat keluar langsung. Orang seperti kamu tidak patut berkeliaran,” kata beliau.

Lelaki itu mengaku merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun 11 bulan (semasa kejadian) dalam bilik tidur mangsa di rumah mereka di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam, 15 Ogos dan pukul 9 malam sekitar Oktober 2010 serta pukul 12.05 malam, Januari 2010.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Hakim Roszinayati Ahmad menerima pengakuan salah tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan 10 kali bagi setiap pertuduhan pada 30 Mac lalu.

Ketiga-tiga hukuman penjara itu diarah berjalan berasingan mulai tarikh dia ditahan pada 5 Februari 2010, dua hari selepas mangsa disahkan hamil 28 minggu akibat dirogol tertuduh.

Terdahulu, lelaki yang bertindak sebagai perayu serta tidak diwakili peguam merayu agar hukuman penjara terhadapnya berjalan serentak dengan alasan perlu keluar lebih awal kerana mempunyai tanggungjawab terhadap isteri, anak-anak serta orang tuanya.

Dia juga mendakwa telah insaf serta bersumpah kepada Tuhan dan diri sendiri untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Mewakili pihak pendakwaan atau responden dalam rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan bagaimanapun menempelak perbuatan perayu yang menggunakan anak tirinya bagi memuaskan nafsu sedangkan mempunyai isterinya iaitu ibu mangsa sendiri.

Malah, katanya, perayu turut mengugut untuk membunuh mangsa jika dia mendedahkan tentang kejadian rogol itu kepada orang lain dan mangsa juga terpaksa dibawa berpindah ke Segamat, Johor akibat peristiwa tersebut.

Leave a comment