KUALA LUMPUR: “Yang lepas tu… lepaslah. Cukuplah dengan apa yang berlaku, saya tidak mahu ia berlanjutan,” kata pelajar berusia 15 tahun yang dilaporkan dikeroyok 10 gadis gengster sehingga bibir bengkak dan telinga bernanah.
Menurutnya, kumpulan gadis berkenaan menyesali tindakan dilakukan hingga menyebabkannya cedera di beberapa bahagian badan.
“Mereka juga tampil untuk meminta maaf. Bagi saya, ia sudah memadai,” katanya ketika dihubungi.
Gadis yang tidak mahu namanya didedahkan itu turut berharap perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi dan rakan yang memukulnya sedar perbuatan mereka.
Katanya, keluarga masing-masing turut tampil dan campur tangan, tetapi ia dapat diselesaikan dengan cara baik.
“Kami dinasihatkan supaya tidak timbulkan pergaduhan lagi.
“Semua yang berlaku menjadi pengajaran buat saya dan pada masa sama saya tidak mahu memikirkannya lagi.
“Saya juga memaafkan perbuatan mereka terhadap saya.
“Saya tidak ambil hati lagi,” katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.
Dalam laporan akhbar ini semalam, gadis yang menjadi mangsa ini bukan saja cedera teruk dipukul, malah dipaksa merokok dan menelan bara rokok, pada 7 Oktober lalu.
Mangsa yang tidak mempedulikan arahan kumpulan terbabit terus dipukul dan diterajang selain ditampar di pipi sehingga jatuh ke lantai.
Difahamkan, mangsa dipukul hanya kerana dia melemparkan senyuman yang membuatkan kumpulan gadis terbabit tersinggung beberapa hari sebelum kejadian berlaku.
Mangsa dibawa oleh ibunya untuk menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 13 Oktober lalu selepas bibir mangsa membengkak dan telinganya bernanah.
Bimbang kumpulan remaja itu mengulangi perbuatan mereka, mangsa turut membuat laporan polis di Pondok Polis HKL.