Semakan Keputusan Kursus Induksi SSM (KISSM) Kumpulan II & III bagi bulan Mei dan Jun 2012


Semakan Keputusan Kursus Induksi SSM (KISSM) Kumpulan II & III bagi bulan Mei dan Jun 2012

Semakan Keputusan Kursus Induksi SSM (KISSM) Kumpulan II & III bagi bulan Mei dan Jun 2012 siri 9/2012-19/201 (kumpulan II) dan 1/2012-2/2012 (kumpulan III) – Perkhidmatan Bukan Guru boleh disemak mulai 7 September 2012 di url www.moe.gov.my/kissm

Tiga beradik kronik masih dirawat – Sinar Harian


Tiga beradik kronik masih dirawat

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.

SELAYANG – Keadaan tiga beradik Nurul Huda Zanery, 12, Muhammad Amir Zanery, 11 dan Nur Fatihah Zanery, 8 yang masing-masing dikesan menghidap penyakit kronik masih menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan dari Hospital Selayang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Khabar gembira kepada adik Muhammad Amir yang mempunyai potensi untuk pulih dan tidak perlu bergantung kepada penggunaan tiub seumur hidup melalui beberapa pembedahan kecil secara berperingkat.

Menurut ibunya, Adiana Othman, 34, pada 14 September ini, anaknya itu akan menjalani ujian imbasan magnetik resonan (MRI) sebelum membuat pembedahan kecil di tulang belakangnya dijangka Oktober ini dan kos itu dirahsiakan pihak hospital serta dibiayai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Pembedahan kecil itu bukan sahaja untuk mengurangkan penggantungan Muhammad Amir dengan penggunaan tiub semasa membuang air kecil tetapi dijangka dapat mengatasi masalah kebas kaki yang kebelakangan ini semakin membimbangkan.

“Muhammad Amir kerap rebah kerana terlalu penat menjalani rutin hariannya ke sekolah ditambah pula dengan faktor cuaca dan terlalu aktif bermain,” katanya semasa mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya di kampung Selayang Indah di sini, semalam.

Sementara itu, keadaan kakak Amir, Nurul Huda pula berada dalam keadaan stabil dan doktor membekalkan ubat untuk memastikan pita suara anaknya yang menghidap tiroid sentiasa berada dalam keadaan stabil.

“Pembedahan tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat memandangkan Nurul Huda perlu menumpukan perhatian kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang  menjelang beberapa hari lagi.

“Ubat yang diberikan juga bukan jenis ubat mengantuk memudahkan dia untuk menumpukan kepada pembelajaran dan pembedahan dijangka akan dilakukan selepas tamat peperiksaan,” katanya.

Manakala anak bongsunya, Nur Fatihah pula yang menghidap kanser tulang katanya, doktor menasihatkan supaya pembedahan tidak dilakukan ke atasnya memandangkan usianya yang masih kecil menyukarkan mengesan ketumbuhan.

“Nur Fatihah hanya akan menjalani pemeriksaan susulan setiap bulan di Hospital Selayang dan ketumbuhannya sukar dikesan dan dipercayai akan membesar mengikut peningkatan usianya dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun.

“Kadangkala Nur Fatihah ada mengadu mengalami sakit tangan kanannya dan tidak kuat untuk mengangkat barang dipercayai mempunyai kaitan dengan ketumbuhan yang menghimpit uratnya hingga tangannya gagal berfungsi dengan baik,” katanya.

7,000 pelajar sekolah menengah Selangor nikmati i-TR1M – Bernama


7,000 pelajar sekolah menengah Selangor nikmati i-TR1M

6 September 2012

SHAH ALAM – Seramai 7,000 pelajar dari 100 sekolah menengah di Selangor akan menikmati kemudahan tuisyen talian terus untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M).

Ini berikutan inisiatif Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) memperluaskan kemudahan tuisyen secara talian itu kepada pelajar sekolah menengah.

Pengetua atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari 100 sekolah berkenaan hadir pada perasmian perluasan i-TR1M yang disempurnakan Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed di sini, hari ini.

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kemudahan tuisyen interaktif itu sebelum ini memberi kemudahan kepada 8,000 pelajar dari 107 sekolah rendah di Selangor dalam menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Setakat ini, sambutan menggalakkan,” katanya pada majlis tersebut.

Program i-TR1M dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas, dan Selangor dipilih melaksanakan projek rintis sebelum ia diperluas ke seluruh negara.

Alimuddin berkata melalui program itu, calon UPSR, PMR dan SPM menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara ‘online’ itu dari rumah, sekolah atau pusat komuniti yang membolehkan mereka mengoptimumkan penggunaan Netbook 1Malaysia.

Sementara itu, Mohd Zin berkata program rintis tuisyen secara dalam talian itu sesuai dilaksanakan di Selangor yang memiliki prasarana internet yang lebih lengkap. – Bernama

RM100 juta diagih kepada 428 sekolah mubaligh seluruh negara – Bernama


RM100 juta diagih kepada 428 sekolah mubaligh seluruh negara

06/09/2012 – 15:25:02 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Kerajaan mula mengagih peruntukan RM100 juta yang diumum pada pembentangan Belanjawan 2012 kepada 428 sekolah mubaligh di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata sebagai permulaan, 75 sekolah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan menerima peruntukan masing-masing hari ini.

“Jumlah peruntukan adalah berbeza antara sekolah yang lain kerana ia bergantung kepada keperluan sekolah,” katanya selepas majlis penyampaian peruntukan itu, di sini.

Koh berkata, sebelum agihan dibuat, kerajaan berbincang terlebih dulu dengan badan yang mewakili sekolah mubaligh terbabit bagi memastikan agihan adil dan saksama.

“Secara puratanya setiap sekolah akan menerima antara RM40,000 dan RM50,000 dan sekolah yang mendapat peruntukan lebih adalah disebabkan ada projek pembinaan,” katanya. – BERNAMA

Budak minta sedekah di bank – Sinar Harian


Budak minta sedekah di bank

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Kanak-kanak (dalam bulatan) ini meminta sedekah sehingga ke parkir kereta.
Kanak-kanak (dalam bulatan) ini meminta sedekah sehingga ke parkir kereta.

BAHAU – Tindakan empat kanak-kanak berumur antara 10 hingga 12 tahun yang berkeliaran sekitar kawasan sebuah perbankan di daerah ini sambil mengutip sedekah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat setempat.

Malah, difahamkan, kanak-kanak ini dipercayai turut memaksa mana-mana pelanggan bank berkenaan agar memberi wang sehingga mengekori mereka ke tempat parkir kereta.

Orang awam, Fauzi, 30-an berkata, dia sering melihat kanak-kanak itu pada waktu pagi dan petang.

“Mereka ini datang dalam waktu pejabat sekitar jam 9 pagi hingga 5 petang. Selagi mereka tidak dapat wang, mereka akan tunggu walaupun sekadar RM1.

“Keadaan ini sudah berlarutan hampir dua minggu dan tindakan mereka berkeliaran sekitar bank itu memang mengundang rasa tidak selesa,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kanak-kanak yang dimaksudkan itu ada datang ke bank itu kelmarin sebelum beredar  beberapa minit kemudian.

Namun hal itu tidak berlarutan begitu lama susulan ia dapat dihidu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah yang mendapat maklumat mengenai keluarga kanak-kanak berkenaan.

Pegawai JKM daerah, Mustafal Bakri Muhammad Yusof berkata, dia sudah menemui ibu dan nenek kanak-kanak itu kelmarin dekat kediamannya di sini.

Menurutnya, dua daripada empat kanak-kanak yang terlibat adalah anak mereka dan selebihnya anak rakan mereka.

“Namun, ibu kanak-kanak ini menjelaskan mereka tidak mengetahui anaknya meminta sedekah dan beranggapan anaknya itu ke sekolah.

“Bagaimanapun, isu itu dianggap selesai selepas kita meminta mereka memantau dan mengambil perhatian lebih mengenai kegiatan anak mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mustafal berkata, sekiranya ingkar, tindakan lebih tegas akan diambil agar isu itu tidak berlarutan.

“Saya mengingatkan agar semua ibu bapa dan penjaga dapat memantau kegiatan anak masing-masing bagi mengelakkan kes sama berlaku.

“Orang awam juga  diminta memaklumkan segera kepada kami sekiranya berlaku kes seperti itu,” katanya.

Bapa buntu fikir kos rawatan kanser dua anak – Sinar Harian


Bapa buntu fikir kos rawatan kanser dua anak

KU NOOR FAIZAH KU MUSTAFA
6 September 2012
kanser
Rosni bersama isteri menunjukkan surat kesihatan dua anaknya Muhammad Alif Irfan (kiri) dan Nur Ain Sakinah.

KUBUR PANJANG – Sepasang suami isteri di Kampung Lahar Tunjung Mukim Rambai di sini merayu supaya orang ramai dapat memberi bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan dua anak mereka.

Nur Ain Sakinah Rosni, 9, dan Muhammad Alif Irfan Rosni, 8, menghidap kanser darah atau dikenali sebagai Relapsed Acute Lymphoblastic Leukaemia.

Oleh itu, mereka memerlukan kos rawatan dan pengangkutan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Universiti Malaya.

Sinar Harian difahamkan Muhammad Alif yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu menghidap penyakit itu sejak Mei 2011 manakala Nur Ain Sakinah menghidap penyakit terbabit pada Mac lalu.

Sejak itu dua beradik tersebut tidak dapat menghadiri persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang  kerana terpaksa memakai alat kemoterapi.

Rosni Shaari, 51, bersama isterinya, Faridah Abdul Rahman, 47, merayu bantuan kewangan daripada orang ramai supaya dapat membantu menampung kos rawatan dan pengangkutan anak mereka ke tempat rawatan.

Rosni berkata, dia tidak berkemampuan menanggung semua kos rawatan dan pengangkutan rawatan anak yang begitu tinggi memandangkan pendapatannya sebagai buruh kasar RM500 hingga RM700 sahaja tidak mencukupi.

“Anak bongsu saya masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala anak ke empat saya pula mendapatkan rawatan kemoterapi yang lebih intensif di Hospital Pulau Pinang setiap minggu.

“Semua kos termasuk kos rawatan untuk anak bongsu saya terpaksa ditanggung sendiri manakala kos Nur Ain Sakinah adalah percuma kerana menggunakan surat persekolahan, tetapi kos pengangkutan sebanyak RM400 sebulan terpaksa saya sediakan.

“Saya bingung memikirkan kos rawatan anak di Kuala Lumpur yang tertunggak kira-kira RM2,500 memandangkan sejak tahun ini saya tidak dapat melakukan kerja kerana sering membawa anak-anak mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rosni berkata, anak bongsunya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang sebanyak RM150 tetapi bantuan itu tidak mencukupi.

Dia turut juga memohon bantuan untuk seorang lagi anaknya itu namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas.

“Saya juga memohon bantuan kepada pejabat zakat dan wakil rakyat melalui pemimpin kampung ini tetapi tidak berjaya menyebabkan saya buntu memikirkan kepada pihak mana lagi masalah ini perlu dirujuk.

“Masalah kewangan yang dihadapi ini menyebabkan saya terpaksa berhutang dengan  rakan dan saudara mara,” katanya.

Sementara itu, Faridah berkata dia bimbang melihat keadaan dua anaknya itu ketika diserang penyakit terbabit badan mereka akan menjadi lemah sehingga tidak boleh berjalan, gusi berdarah dan badan  lebam.

Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbangnya melalui akaun Agro Bank menerusi nombor 200902314006 atas nama Faridah Abdul Rahman.

Remaja dirogol bergilir-gilir – Sinar Harian


Remaja dirogol bergilir-gilir

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012

BUTTERWORTH – Tindakan seorang remaja perempuan yang sanggup berbohong kepada ibu bapa kononnya mahu keluar untuk menyertai sambutan malam kemerdekaan anjuran rakannya, mengundang padah apabila dirogol bergilir-gilir empat remaja.

Lebih malang, kejadian yang menimpa remaja perempuan berusia 15 tahun itu didalangi teman lelakinya sendiri.

Kejadian berlaku pada malam sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos lalu di rumah teman lelakinya di sini, bagaimanapun, hanya didedahkan ibu mangsa selepas mendapati anak perempuannya berada dalam keadaan murung selepas pulang ke rumah.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, remaja perempuan yang berasal dari Tanjung Tokong itu bersama teman lelakinya yang berusia 17 tahun dikatakan menyambut malam merdeka di kawasan Rawat & Rehat, Lingkaran Luar Butterworth (Borr) di sini, sekitar jam 8 malam.

“Selepas menyaksikan pertunjukan bunga api, mangsa dibawa ke rumah teman lelakinya untuk bermalam.Ketika kejadian, ibu bapa teman lelakinya berada di luar daerah dan mereka disertai tiga remaja yang merupakan rakan teman lelakinya itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, mangsa kemudiannya dipaksa melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya setelah dipujuk, sebelum diikuti tiga remaja terbabit dan mangsa dihantar pulang pada keesokan harinya.

“Mangsa dikesan dalam keadaan murung oleh ibunya. Selepas ditanya, mangsa memaklumkan dia dirogol dan ibu mangsa membuat laporan polis sejurus selepas itu.

“Kita hanya berjaya menahan dua remaja, termasuk teman lelaki mangsa pada malam 3 September lalu, manakala dua remaja lain menghilangkan diri,” katanya.

Zakiah rela berjauhan demi masa depan anak-anaknya terjamin – Sinar Harian


Zakiah rela berjauhan demi masa depan anak-anaknya terjamin

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Zakiah rela berjauhan demi masa depan anak-anaknya terjamin
Zakiah yang hanya mampu terlantar ditemani ibu bersama dua anaknya.

BALING – Seorang suri rumah yang terlantar sakit akibat kanser payu dara sejak sebulan lalu risau mengenai masa hadapan dua anaknya.

Zakiah Elias, 31, dari Kampung Charuk Bemban, Mukim Kupang tidak mampu menguruskan kedua-dua anaknya itu yang berusia tujuh dan empat tahun terutama melibatkan pembelajaran.

Keadaan itu mengakibatkan anak sulungnya, Mohd Zafan Abdul Suhol, 7, tidak dapat ke sekolah berikutan berhadapan dengan masalah pengangkutan.

Mohd Zafan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Ketil terpaksa menghabiskan masanya di rumah berikutan ketidakmampuan ibu dan ayahnya.

Suaminya, Sohol Omar, 33, yang bekerja sebagai konduktor bas harian juga hanya bergantung kepada syarikat bas berkenaan yang datang menjemputnya.

Zakiah berkata, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan demi memastikan anaknya dapat kembali meneruskan persekolahan mereka.

“Saya buntu memikirkan keadaan anak-anak yang masih lagi kecil. Saya risau sekiranya mereka langsung tidak mahu ke sekolah kelak,” katanya.

Ditanya mengenai adik beradiknya yang lain, Zakiah berkata, dia tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya yang kebanyakannya juga kurang berkemampuan.

“Mereka pun mempunyai anak sendiri, jadi saya tidak mahu mereka menanggung masalah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia rela anak-anaknya itu dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.

“Ibu mana yang mahu berjauhan dengan anak-anaknya tambahan pula dalam usia yang begitu muda. Tapi, untuk masa hadapan mereka, mungkin ini jalan yang terbaik.

“Saya tidak mahu mereka tercicir dalam pelajaran semata-mata kerana ketidakmampuan kami sekeluarga,” katanya.

Zakiah yang mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk dari Majlis Kanser Nasional (Makna) berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu keluarganya selama ini.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan kisah mengenai Zakiah yang berputih mata setelah wang simpanannya sebanyak RM10,000 hilang setelah ditipu oleh sindiket perbankan palsu tahun lalu.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi suaminya menerusi 0124138077.

APLIKASI PERMOHONAN MURID KE TINGKATAN 1 DAN 4 UNTUK MURID BERKEPERLUAN KHAS BAGI SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2013


APLIKASI PERMOHONAN MURID KE TINGKATAN 1 DAN 4 UNTUK MURID BERKEPERLUAN KHAS BAGI SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2013

Berikut adalah laman web untuk permohonan murid ke Tingkatan 1 Tingkatan 4 bagi murid berkeperluan khas bagi sesi persekolahan Tahun 2013.

Untuk keterangan lanjut lawat laman web ini : http://apps.moe.gov.my/jpkhas/permohonan/

Tip Penggunaan Aplikasi Web:1.Gunakan Internet Explore 7.0 ke atas  2.Paparan paling sesuai dengan resolusi 1024 x 768 piksel

Kurikulum Subjek Sejarah Sekolah Menengah Sedang Dirangka – mStar


Kurikulum Subjek Sejarah Sekolah Menengah Sedang Dirangka

Oleh RAHIMY RAHIM

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyiapkan draf kurikulum baru bagi subjek buku teks Sejarah berdasarkan cadangan yang dibuat Jawatankuasa Khas, terutamanya bagi peringkat sekolah menengah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini adalah satu tugas yang besar dan laporannya juga telah dihantar kepada saya. Kami berharap dapat melaksanakan apa yang dirancang dalam kerangka ini dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya uang juga Menteri Pelajaran dalam ucapan perasmian masyuarat agung tahunan Persatuan Sejarah Malaysia di sini, Khamis.

Difahamkan jawatankuasa khas ditubuhkan untuk meneliti kandungan kurikulum Sejarah di sekolah menengah bagi memastikan bahawa ia boleh memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan pelajar.

Penubuhannya selaras dengan dasar kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan profesionalisme guru-guru Sejarah agar mereka dapat membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual yang tinggi di kalangan pelajar untuk membolehkan mereka menghargai nilai-nilai murni yang terkandung dalam warisan sejarah negara.

“Zaman yang menganggap sejarah boleh diajar oleh sesiapa sahaja dan menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

“Kami mahu mata pelajaran Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam tentang ilmu Sejarah,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berharap dengan pelaksanaan dasar menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM dan pengajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah mulai 2014, semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dapat dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Bagi tujuan yang sama, beliau turut berharap PSM serta badan-badan bukan kerajaan berkaitan dapat terus bergerak aktif melaksanakan program-program yang memartabatkan kedudukan sejarah dan warisan bangsa.

“Saya yakin selepas 59 tahun penubuhannya, ahli PSM memiliki banyak pengalaman untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Kerjasama dan peranan pertubuhan-pertubuhan yang mendokong aspirasi negara mengenai warisan sejarah budaya adalah penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap asal-usul negara kita dan pembentukan satu identiti nasional,” katanya.

Sementara itu, Omar ketika ditemui pemberita berkata Jawatankuasa Khas itu telah menyerahkan laporan perbincangan mereka kepada kementerian kira-kira dua bulan lepas, yang turut mengandungi cadangan penambahbaikan termasuk cara pengajaran dan kandungan mata pelajaran Sejarah.

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Galeri Sejarah PSM, melancarkan buku-buku terbitan PSM tahun 2012 dan menyampaikan hadiah Pertandingan Mengarang Esei Sejarah Malaysia kepada pemenang.